[Tanya Ustaz] Kenapa Hati Manusia Lebih Terasa Dekat dengan Madinah berbanding Mekah?
Nurul Atikah Sarji
7/3/2024
Kota suci Makkah dan Madinah merupakan tempat yang sangat suci bagi umat Islam dan merupakan kota yang dikunjungi ketika menjalani ibadah haji dan umrah. Bahkan, keutamaan kedua kota ini banyak disebutkan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Asal usul nama Makkah
Berasal dari kata ‘imtakka’ yang bermaksud mendesak atau mendorong, Yaqut al-Hamawi dalam bukunya menjelaskan bahawa kota ini dinamakan Makkah kerana manusia sentiasa berdesakan di tempat tersebut. Apa yang menjadikan Makkah sebagai pusat perhatian umat Islam dari seluruh dunia kerana disinilah terletak Kaabah; yang merupakan kiblat bagi umat Islam dalam beribadah.
Kota Makkah terletak di sekitar 600 km bersebelahan kota Madinah dan kurang lebih 200 km sebelah timur laut kota Jeddah. Kota ini merupakan lembah sempit yang dikelilingi gunung-ganang. Terdapat dua gunung yang mengelilingi kota Makkah iaitu; Gunung Abu Qubais dan Gunung Qa’qan.
Sesungguhnya, kota Makkah memiliki banyak keutamaan. Menurut buku Misteri Mukjizat Makkah & Madinah karya Namin Asimah Asizun, kota Makkah merupakan kota yang penuh dengan berkah. Hal ini dibuktikan dengan dengan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 96 yang bermaksud:
“Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadat) manusia, ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”
Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda bahawa negeri baik di sisi Allah SWT dan paling dicintai Allah iaitu Makkah. Ini berlandaskan hadis baginda yang bermaksud:
“Demi Allah, sesungguhnya engkau adalah negeri yang paling baik disisi Allah dan negeri yang paling dicintai Allah SWT. Andaikan bukan kerana pendudukmu yang mengusirku, aku tidak akan berpindah.” (Hadis Riwayat Al Bukhari).
Rasulullah SAW bersabda hadis di atas ketika beliau hendak berhijrah di Madinah sambil menghadapkan wajahnya ke Makkah.
Madinah, yang nama lengkapnya adalah al-Madīnah al-Munawwarah, berarti kota yang bercahaya atau kota yang cemerlang. Madinah memiliki keistimewaan tersendiri dengan adanya Masjid Nabawi, tempat makam Rasulullah SAW berada. Kedua kota ini tidak hanya suci, tetapi juga mendapatkan naungan dan perlindungan daripada Allah SWT serta dijaga oleh para malaikat.
Dari Abdullah bin Zaid bin ‘Ashim, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Ibrahim mengharamkan kota Makkah dan mendoakan untuk penghuninya. Aku mengharamkan kota Madinah sebagaimana Ibrahim mengharamkan kota Makkah. Aku mendoakan untuk sha; dan mud-nya seperti yang didoakan Ibrahim untuk penghuni Makkah." - Al Bukhari dan Muslim
Menurut hadis di atas, terdapat beberapa faedah hadis yang boleh kita ambil. Salah satunya, hadis di atas menjelaskan bahawa Nabi Ibrahim AS menjadikan Makkah sebagai tanah haram serta mendoakan agar Makkah diberkahi dan diluaskan rezeki. Selain itu, Nabi Muhammad SAW memuliakan kota Madinah sebagai tanah haram iaitu kita tidak boleh menyakiti binatang buruan dan tidak boleh menebang pokok. Baginda juga mendoakan penduduk Madinah supaya sentiasa dikurniakan rezeki yang berkah. Bahkan, hadis di atas menjelaskan bahawa makanan dan minuman di Madinah adalah diberkahi.
Namun hal yang demikian, terdapat di antara kita mengatakan bahawa hati lebih terasa dekat dengan Madinah berbanding Makkah. Adakah ini betul?
Menurut Mutawif IKHLAS, Ustaz Mohd Atiq Mohamad berkata, ini merupakan perkara yang subjektif.
"Hati lebih terasa ataupun tenang ini merupakan subjektif. Ada yang mengatakan tenang di Makkah. Ada pula yang mengatakan tenang di Madinah."
“Sebagai contoh, jika kita berada di Madinah sudah tentu kita rasa tenang dan suka akan Madinah tetapi, adakah kita terfikir, bahawasanya dulu Nabi juga sangat menyayangi Makkah? Oleh hal itu, kita perlu percaya bahawasanya kedua-dua tempat ini sangat istimewa serta masing-masing ada keberkatan dan kebaikannya.”
Semoga artikel ini bermanfaat kepada kita semua. Ingin mengunjungi kedua-dua kota suci ini? Jom tunaikan umrah bersama IKHLAS.