Dulu Pemandu Hantar ke Sekolah, Lalu Pandu Lori demi Keluarga - Kisah Inspirasi Dato' Raymond
Nurul Atikah Sarji
2025-07-01
Kejayaan yang sebenar bukan datang daripada nasib. Ia sebenarnya hasil daripada usaha dan ketabahan dalam menempuh liku cabaran. Itulah kisah sebenar Dato’ Raymond Ho, atau nama sebenarnya Raven Ho, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif kepada rangkaian pasar raya Sri Ternak Group.

Nama Sri Ternak amat sinonim dengan pasar raya borong moden yang dibuka 24 jam, menawarkan harga yang sangat rendah serta mempunyai barangan runcit sebanyak 40,000 jenis. Kini, Sri Ternak Group mempunyai dua pasar raya, lapan ST Rosyam Mart serta satu Rosyam Mart Mall yang berkolaborasi dengan aktor Malaysia, Datuk Rosyam Nor, selain mempunyai tiga cawangan Ehsan Mart. Ehsan Mart adalah satu kolaborasi antara Sri Ternak Group dan kerajaan negeri Selangor.
Di sebalik semua kejayaan ini, tersimpan kisah seorang anak muda yang asalnya hidup senang, namun terpaksa bermula dari bawah selepas keluarga hilang segalanya.
Fasa Hidup Mewah ke Titik Terendah
“Saya dibesarkan dalam keluarga yang berada. Dahulu saya pergi ke sekolah dihantar oleh pemandu dan apa yang saya inginkan, pasti akan ibu bapa saya beri,” kata Raymond.
Tetapi, semuanya berubah sekelip masa apabila krisis ekonomi pada 1997 dan 1998 melanda. Keluarganya yang mempunyai perniagaan penternakan ayam terpaksa menjual aset kerana ramai pelanggan gagal membuat bayaran kepada mereka. Akibatnya, keluarga Raymond dibebani hutang jutaan ringgit. Bahkan, pegawai bank juga datang ke rumah untuk mengira aset, selain rumah mereka hampir dilelong.
Akhirnya, tahun 2003 merupakan satu titik permulaan yang baharu. Mereka membuka sebuah pasar raya kecil di Selayang. Menurut Raymond, hari pertama hanya mendapat jualan kurang daripada RM100. Akhirnya, dia terpaksa mengambil keputusan yang sangat drastik untuk berhenti belajar. “Saya berhenti belajar. Saya tahu, saya bukan seorang pelajar yang cemerlang. Tetapi sebagai anak sulung, saya mesti bantu keluarga,” jelas Raymond.
Ini merupakan permulaan kepada segalanya dan dia mula belajar banyak perkara dari bawah. “Saya bangun seawal jam dua pagi dan terus ke pasar borong untuk membeli ikan, buah-buahan serta sayur-sayuran sehingga jam enam pagi. Kemudian, saya uruskan kedai dan menghantar barang yang sudah dibeli ke kedai. Ya, saya sendiri membawa lori. Pada waktu petang pula, saya kembali ke pasar untuk membeli sayur-sayuran. Malam barulah boleh berehat.
“Saya yang selama ini tidak pernah tahu jenis ikan, waktu itulah yang banyak mengajar saya benda baru. Inilah ‘universiti’ saya," terang Raymond.
Ujian Lagi: Krisis COVID-19
Akhirnya Sri Ternak Group kembali stabil. Ketika ditanya tentang apakah halangan atau cabaran yang terpaksa ditanggung, Raymond menjawab pandemik COVID-19 merupakan satu halangan yang sangat sukar dibendung, tetapi dek kerana kesabaran, Sri Ternak sekali lagi mampu untuk beroperasi dengan baik.

“Apabila pandemik COVID-19 melanda, perniagaan kami sekali lagi diuji. Jualan merosot hampir 80 peratus. Ramai pelanggan kami merupakan pengusaha restoran dan peniaga kecil yang tidak dapat beroperasi.
“Namun, Sri Ternak Group tidak sesekali potong gaji atau buang pekerja. Pada ketika itu, kami fikir kebajikan staf terlebih dulu. Biarlah syarikat susah ketika itu, biar kami yang tanggung. Bahkan kami tetap memberikan bonus kepada pekerja seperti biasa walau sedang berhadapan dengan tempoh yang sukar,” katanya.
ST Ternak dan Rosyam Nor
Ketika ditanya mengenai kolaborasi ST Ternak Group dengan aktor hebat Malaysia, Datuk Rosyam Nor iaitu ST Rosyam Mart, Raymond berkata segalanya bermula apabila Rosyam sendiri menyuarakan hasrat untuk menjual buah nangka dari ladangnya di pasar raya Sri Ternak.
“Jujur saya sebenarnya tidak kenal siapa dia (Datuk Rosyam) pada ketika itu. Tetapi, ketika dia datang ke pejabat saya, saya sangat pelik kenapa semua pekerja ingin bergambar dengannya. Saya sangat kagum dengan dia kerana kegigihannya yang menghantar sendiri buah nangka dengan menggunakan pacuan empat roda 4X4. Dia juga seorang yang sangat merendah diri.
“Sehinggalah pada suatu hari, Datuk Rosyam mengutarakan cita-citanya dari kecil untuk membuka pasar raya. Setelah itu saya berfikir, kenapa tidak. Maka lahirlah ST Rosyam Mart yang kini sudah mempunyai lapan cawangan serta satu ST Rosyam Mall yang kesemuanya pasar raya moden. Ramai menyangka yang pasar raya moden mesti mahal. Tetapi jangan risau, harga kami tetap sama seperti Sri Ternak. Semuanya murah dan berkualiti," jelas Raymond dengan penuh semangat.
Beroperasi 24 Jam demi Kemudahan Orang Awam
Berbeza dengan pasar raya yang lain, kesemua cawangan Sri Ternak dan ST Rosyam Mart dibuka 24 jam. Menurut Raymond, ini bukan strategi bisnes semata-mata, tetapi mengambil inspirasi daripada kisah benar seorang pelanggan ST Ternak yang merupakan seorang pengusaha restoran yang terkenal dengan juadah Thailand iaitu tomyam.

“Dia berniaga sehingga dua pagi. Kemudian, perlu ke pasar. Tidur tidak cukup, kesihatan pun terganggu. Apabila kami buka 24 jam, peniaga tersebut sangat bersyukur kerana boleh terus membeli barang selepas berniaga dan dia boleh berehat awal. Jadi, hidup peniaga tersebut berubah ke arah yang lebih baik.
“Kisah seperti ini yang menjadi inspirasi kami untuk mengeluarkan satu filem pendek bertajuk 'Warung Kami' yang ditayangkan di YouTube,” katanya.
Menjaga Semua Kaum, Tanpa Kira Latar Belakang
Biarpun dirinya sendiri berbangsa Cina, Raymond sangat dekat dengan semua kaum. Sejak kecil, dia berkawan dengan ramai dari kaum Melayu dan India. Ini juga sebab kenapa sehingga ke hari ini, Raymond memegang prinsip bahawa nilai dan perkhidmatan perlu dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
“Kalau kita buka kedai di mana-mana, kita mesti cipta nilai untuk pelanggan, komuniti, staf dan negara. Ini merupakan empat perkara yang paling penting," ujarnya.
Umrah Bersama ikhlas.com: Hadiah Kepada Staf dan Pelanggan
Menurut Raymond, kolaborasi bersama ikhlas.com mencipta banyak momen yang berharga. Tambahan pula, kolaborasi ini membuka peluang kepada staf dan pelanggannya untuk menunaikan umrah secara percuma. Sehingga kini, mereka sudah menaja seramai 110 orang untuk ke tanah suci.


“Suatu hari, saya ada bertanya apakah impian mereka. Ramai menjawab mereka ingin melaksanakan ibadah umrah. Akhirnya, apabila saya faham betapa pentingnya ibadah ini kepada umat Islam, saya rasa ini merupakan peluang yang sangat baik dan perlu diberikan kepada staf dan pelanggan saya. Kolaborasi dengan ikhlas.com ini perlu diteruskan lagi ke tahun-tahun hadapan,” katanya.
Baca juga: Lembu Sado & Raikan Asnaf Jadi Tumpuan Utama Majlis Korban Perdana ikhlas.com bersama ST Rosyam Mart
Pesanan untuk Anak Muda
Sebagai seorang usahawan muda yang berjaya, Raymond memberikan sedikit pesanan buat rakyat Malaysia terutamanya kepada golongan muda yang ingin memulakan perniagaan.
“Always dare to dream. Kita perlu berjaya dalam apa yang kita lakukan. Apabila kita letakkan target yang tinggi, mesti kita akan fikirkan juga cara untuk mendapatkannya. Abaikan fikiran negatif.
"Kedua, sudah tentu passion. Ia sangat penting! Semua perkara yang kita sedang lakukan sekarang, adakah ini benar-benar perkara yang kita minat? Seperti saya, kerana memikirkan tanggungjawab sebagai anak sulung, saya mengambil langkah untuk masuk ke industri peruncitan. Namun, saya menukar bidang ini kepada minat. Apabila kita suka dengan apa yang kita lakukan, semuanya akan berubah ke arah lebih baik kerana kita lakukannya daripada hati.
"Akhir sekali, perlulah rajin. Dalam tempoh 24 jam setiap hari, kita boleh berikan usaha sepenuhnya kepada apa yang kita lakukan," jelas Raymond mengakhiri perbualan bersama kami.
Semoga kisah Dato’ Raymond Ho ini menjadi inspirasi kepada masyarakat di luar sana. Sebuah kisah anak muda yang sanggup bermula dari bawah, bekerja keras dan kekal merendah diri. Dia bukan sekadar membina legasi perniagaan yang boleh dibanggakan, tetapi berjaya membuka banyak peluang pekerjaan untuk insan lain.