[Tanya Ustaz] Anak Perempuan Yang Bekerja Wajib Bayar Zakat Fitrah?

Hanan Latip

4/1/2024

Hukum_anak_perempuan_yang_dah_bekerja_membayar_zakat_fitrah.png

Persoalan seperti wajib atau tidak hukum anak perempuan atau wanita yang dah bekerja untuk membayar zakat fitrah harus diulang-ulang kerana tidak semua tahu dan cakna mengenai info sebegini. 

Ramai dalam kalangan wanita tertanya-tanya sama ada mereka dikehendaki membayar zakat sendiri ataupun masih lagi tanggungjawab wali? Lagi-lagi bagi mereka yang telah mempunyai pendapatan sendiri.

Menurut Maktabah Al Bakri, seorang perempuan wajib membayar sendiri zakat fitrah jika dia berkemampuan khususnya sekiranya seorang perempuan itu sudah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri. Namun begitu, jika bapa perempuan itu mahu membayarkan zakat fitrah bagi anak perempuannya maka hukumnya adalah harus dan sah tetapi dengan syarat mendapat keizinan daripada anak perempuannya.

Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan tidak harus bagi seseorang itu menunaikan zakat fitrah kepada orang lain (ajnabi) melainkan mendapat keizinannya. 

Serta tidak sah sekiranya ia menunaikannya tanpa mendapatkan keizinan. Hal ini kerana zakat fitrah itu ibadah dan tidak akan tertunai melainkan mendapat keizinan daripadanya. 

Daripada segi hukum, zakat fitrah sah dibayar sendiri kepada asnaf, atau menggunakan wakil. 


Cara Membayar Zakat Fitrah

Para wanita di luar sana jangan risau, untuk membayar zakat fitrah mudah saja. Anda boleh bayar secara online atau terus ke kaunter yang dibuka di tempat awam atau di masjid. Kemudian, pilih berdasarkan jenis beras yang digunakan. 

  • RM7 beras ekonomi (beras super spesial tempatan), 
  • RM14 beras biasa (beras putih import, beras perang, beras pulut, beras ponni, beras wangi) atau 
  • RM21 beras premium (beras basmati, beras jepun, beras merah) 

Namun sebelum itu, kita dianjurkan untuk membaca niat untuk membayar zakat fitrah (jika bayar zakat secara fizikal). Ada bacaan niat jika membayar zakat untuk sendiri, untuk mewakilkan, isteri, anak, keluarga atau orang lain. Selepas itu, anda bayar mengikut bilangan dan tanggungan (orang) yang perlu dibayar. Jika anda membayar untuk diri sendiri sahaja, anda hanya perlu membayar mengikut beras yang sering digunakan seperti di atas. 

Ataupun untuk lebih mudah, anda boleh membuat pembayaran di Ikhlas.com (IKHLAS Zakat). Mudah, jimat dan cepat! Segala maklumat juga ada dikongsikan di laman sesawang IKHLAS. 

Semoga perkongsian ini membantu para wanita di luar sana lebih-lebih lagi bagi yang first-timer. Jangan lupa kongsi kepada rakan-rakan anda di luar sana!