Utamakan Makan atau Solat? Hukum Berlandaskan Hadis Sahih

Nurul Atikah Sarji

2025-11-12

Solat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang beriman. Solat juga menjadi perkara yang membezakan orang Islam dan juga bukan Islam sebagaimana yang disebut dalam banyak riwayat. Jadi, sudah menjadi tanggungjawab anda sebagai umat Islam untuk memahami hukum-hakam berkaitan solat supaya anda boleh melakukan ibadah ini dengan sempurna.

Utamakan Makan atau Solat_ Panduan Berdasarkan Hadis Sahih (2).png

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat beberapa hadis sahih yang menunjukkan keutamaan untuk mendahulukan makan apabila makanan telah terhidang, sekali pun waktu solat telah masuk. Menurut sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA yang bermaksud:

“Apabila dihidangkan makan malam dan pada masa yang sama, iqamah untuk solat dikumandangkan, maka mulakanlah dengan makan terlebih dahulu," Hadis Riwayat al-Bukhari.

Dalam satu lagi riwayat yang hampir sama iaitu, “Apabila dihidangkan makanan (makan malam) dalam keadaan solat didirikan maka mulakanlah dengan makanan," Hadis Riwayat al-Bukhari (5463).

Hukum Solat Ketika Makanan Tersedia

Berdasarkan pandangan ulama', solat dalam keadaan makanan telah tersedia adalah makruh, sekiranya waktu solat masih panjang dan seseorang itu berada dalam keadaan sangat lapar. Dalam situasi ini, lebih baik dahulukan makan agar solat dapat dilakukan dengan baik, tenang dan khusyuk. Namun, jika waktu solat hampir tamat, maka wajib disegerakan solat sebelum makan bagi mengelakkan solat terlewat atau terlepas. Pendapat ini juga turut dikongsi oleh Imam al-Syafie:

Para ulama kami berpendapat bahawa makanan boleh didahulukan daripada solat berjemaah jika seseorang sangat menginginkannya. Imam al-Syafie juga berpandangan demikian," Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 190/27.

Utamakan Makan atau Solat_ Panduan Berdasarkan Hadis Sahih.png

Secara kesimpulannya, Islam amat menitik beratkan khusyuk dalam solat. Maka, apabila makanan telah tersedia dan waktu solat masih panjang, adalah digalakkan untuk makan terlebih dahulu bagi mengelakkan gangguan fokus ketika solat. Namun, jika waktu solat sudah hampir tamat, maka keutamaan adalah untuk menunaikan solat terlebih dahulu.

Semoga amalan solat kita diterima oleh Allah SWT dan menjadikan anda dalam kalangan hambaNya yang sentiasa menjaga kewajipan ini dengan penuh khusyuk dan istiqamah. 

Baca juga: 4 Rahsia Solat di Sebalik Peristiwa Israk Mikraj