4 Rahsia Solat di Sebalik Peristiwa Israk Mikraj
Hanan Latip
2025-09-22
Umat Islam wajib menunaikan solat setiap hari kerana ia merupakan salah satu daripada lima rukun Islam. Ketika peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW telah mendapat perintah solat secara langsung daripada Allah SWT.
Pada mulanya, solat difardukan sebanyak 50 waktu sehari semalam dan dikurangkan menjadi lima waktu sehari semalam setelah mendapatkan nasihat daripada Nabi Musa AS dan memohon kepada Allah untuk meringankan jumlah tersebut. Kenapa Allah perintahkan umat Islam untuk bersolat ya? Mari kita kupas dengan lanjut bagi mengetahui hikmah dan rahsia di sebalik perintah solat untuk umat Islam.
Baca Peristiwa Israk dan Mikraj di sini.
Solat Tiang Agama
“Tunjang urusan agama adalah Islam dan tiangnya adalah solat," Hadis Riwayat Tirmizi. Daripada hadis ini dapatlah anda fahami bahawa solat adalah tiang kepada agama Islam. Jika tidak dilakukan dan diamalkan, maka anda tidak akan memperoleh kesempurnaan dalam beragama. Selain mendapat dosa jika meninggalkannya dengan sengaja.
Sebuah hadis daripada Umar al-Khattab RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Solat itu dilakukan pada waktunya. Sesiapa yang meninggalkan solat maka tiada agama baginya. Solat itu merupakan tiang agama Islam," Hadis Riwayat Baihaqi.

Hadiah daripada Allah
Solat ialah hadiah kepada Nabi Muhammad SAW kerana pada tahun itu merupakan tahun kesedihan baginda atas kewafatan isteri dan bapa saudara, iaitu Siti Khadijah dan Abu Talib. Dalam perjalanan baginda bertemu Allah, pelbagai keajaiban dan kebesaranNya yang diperlihatkan kepada Nabi untuk menguatkan hati. Solat juga membawa ketenangan dan kebahagiaan di dalam diri.
Penyatuan Umat Islam
Sedar atau tidak, solat di masjid atau surau telah menjadi alasan penyatuan umat Islam kerana di situlah tempat bermesyuarat atau perjumpaan masyarakat daripada zaman nabi hinggalah sekarang. Solat yang dilakukan lima kali sehari, solat Jumaat, solat hari raya dan sebagainya telah menjadi sebuah platform untuk umat Islam berkumpul tanpa mengira bangsa, kulit dan status.
Identiti Umat Islam
Antara perkara yang membezakan umat Islam dengan agama lain ialah cara bersolat dan menunjukkan kepatuhan kepada Tuhan Yang Maha Esa, iaitu Allah SWT. Dalam persiapan umat Islam untuk menunaikan solat, ia melibatkan beberapa perkara seperti perlu berwuduk, keadaan diri yang bersih, ucapan yang diperkatakan dan gerak geri semasa solat dan sebagainya.
Solat bukan sahaja perintah ibadah yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW, malah kepada pengikutnya. Pelaksanaannya berkembang daripada solat yang ringkas kepada sistem solat yang teratur yang seterusnya menjadi tonggak utama dalam kehidupan umat Islam.