Rejab Datang Lagi: Amalan Terbaik yang Disyorkan Ulama
Nurul Atikah Sarji
2025-12-22
Setiap kali umat Islam melangkah ke bulan Rejab, persoalan tentang amalan yang patut dilakukan pasti timbul. Ada yang menjadi terlalu berhati-hati sehingga meninggalkan ibadah yang tidak mempunyai sandaran syarak. Hakikatnya, Rejab menuntut kefahaman yang seimbang, iaitu perlu beramal dengan penuh semangat, namun tetap berpandukan ilmu.
Rejab merupakan salah satu daripada empat bulan haram yang dimuliakan Allah SWT. Perkara ini disebut dengan jelas dalam al-Quran bahawa daripada dua belas bulan, terdapat empat bulan yang dihormati.
Para ulama bersepakat bahawa bulan-bulan tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharaam dan Rejab. Kedudukan istimewa ini menjadikan Rejab bukan sekadar bulan biasa, tetapi waktu yang menuntut kita untuk semakin dekat dengan Ilahi.
Perkara asas yang perlu difahami ialah tiada ibadah khusus yang diwajibkan semata-mata kerana masuknya bulan Rejab. Namun, ini tidak bermaksud Rejab kosong daripada nilai ibadah.
BACA: Utamakan Makan atau Solat? Hukum Berlandaskan Hadis Sahih
Para ulama menegaskan bahawa cara yang terbaik untuk memuliakan bulan Rejab bukan dengan mencipta amalan baru, tetapi dengan memperbaiki kualiti takwa. Sebagai contoh, menjaga solat fardhu pada waktunya, menambah amalan sunat, memperbanyakkan zikir dan istighfar, membaca al-Quran, bersedekah serta mengawal diri daripada maksiat zahir dan batin merupakan amalan yang paling selamat untuk kita melaksanakannya.

Selain itu, menurut penjelasan ulama mazhab al-Syafi’i, seperti Imam al-Nawawi, berpuasa pada bulan-bulan haram adalah sunat secara umum. Oleh itu, puasa sunat dalam Rejab adalah dibenarkan dan dianjurkan, selagi ia diniatkan sebagai ibadah umum dan tidak dikaitkan dengan kepercayaan pahala tertentu tanpa dalil sahih.

Yang perlu dijaga ialah jangan mengkhususkan hari tertentu dengan keyakinan fadhilat khas yang tidak bersumberkan dalil, apatah lagi menganggapnya sebagai kewajipan agama.
Kesimpulannya, setiap umat Islam perlu memperbanyakkan ketaatan, menjauhi maksiat, dan menyiapkan diri secara rohani menuju Ramadan. Semoga semua amalan kita diterima oleh Allah SWT.