Puasa Ramadan: Niat, Rukun dan Syarat
Hanan
2/13/2024

LAFAZ NIAT PUASA RAMADAN
Antara contoh lafaz niat puasa yang boleh digunakan adalah seperti berikut;
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ اَدَاءِ فَرْضِ شَهْرِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ ِللهِ تَعَالَى
“Sahaja aku berpuasa esok hari untuk menunaikan fardu Ramadan tahun ini kerana Allah Ta’ala.”
Perbincangan Berkenaan Niat Puasa
Sangat dianjurkan untuk berniat puasa yang wajib pada waktu malam hari bagi puasa yang ingin dilakukan pada keesokannya.
Hal ini sebagaimana disebut dalam sebuah hadis daripada Saidatina Hafsah Ummul Mukminin RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda;
مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ
“Siapa yang tidak berniat puasa pada waktu malam sebelum fajar maka tiada puasa baginya.” [1]
[1] Hadis riwayat Imam an-Nasa’i. Sunan an-Nasa’i, Kitab Puasa, Bab Zikri Ikhtilaf al-Naaqilin li Khabar Hafsah fi zalik, hadis no. 2331. Hadis ini sahih menurut Syeikh al-Albani RH.
RUKUN, SYARAT WAJIB DAN SYARAT SAH PUASA
Rukun Puasa
1. Niat
2. Menahan diri daripada makan dan minum, dan daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar (fajar shodiq) hingga terbenamnya matahari.
Syarat Wajib Puasa
1. Islam
Ibadah puasa hanya disyariatkan bagi umat Islam sahaja, adapun apabila seseorang kafir masuk Islam pada bulan Ramadan, maka dia wajib melaksanakan puasa Ramadan.
2. Baligh
Anak kecil yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, namun adalah sangat digalakkan untuk mengajar mereka berpuasa dari kecil kerana ini bertepatan dengan anjuran dalam sebuah hadis Rasulullah SAW.
3. Berakal
Orang gila tidak diwajibkan berpuasa bahkan tidak wajib menggantikan puasanya ketika dia masih gila.
4. Bermukim
Orang yang sedang dalam safar tidak wajib berpuasa malah mereka diberikan pilihan sama ada untuk terus berpuasa ataupun tidak semasa safar. Jika memilih tidak berpuasa, mereka wajib menggantikan bagi hari puasa yang ditinggalkan tersebut.
5. Suci daripada Haid dan Nifas
Wanita dalam keadaan tidak suci kerana haid atau nifas tidak wajib berpuasa, tetapi mereka wajib menggantikan hari yang ditinggalkan tersebut. Haram untuk mereka berpuasa ketika itu.
6. Mampu Berpuasa
Islam tidak membebankan umatnya yang uzur. Puasa tidak wajib bagi orang yang sakit dan tidak mampu berpuasa, namun mereka wajib menggantikan semula sebanyak hari yang mereka tinggalkan itu.
SYARAT SAH PUASA
1. Islam.
2. Mumayyiz (dapat membezakan yang baik dan buruk).
3. Suci daripada haid, nifas, dan wiladah.
4. Berpuasa pada waktunya.
Diharapkan perkongsian mengenai niat, rukun dan syarat sah puasa dapat membantu anda untuk mengingati semula dan menjalani ibadah puasa tidak lama lagi!
• Dah selesaikan hutang fidyah anda? Semak pautan IKHLAS Fidyah untuk transaksi secara atas talian.