Memahami Zakat dalam Islam

Nurul Atikah Sarji

2025-10-10

Zakat merupakan perkara yang tidak asing lagi dalam agama Islam. Bahkan, zakat merupakan rukun islam keempat yang perlu kita patuhi, menjadikannya satu elemen utama dalam agama Islam. Jom kita ketahui apakah yang dimaksudkan dengan zakat.

Perkataan zakat berasal daripada kalimah Arab ‘زَكَى’ yang bermaksud suci, termasuk bersih, berkat, berkembang, dan baik. Ia meliputi manfaat kepada harta yang diberikan sebagai zakat, pembayar zakat, dan juga penerima zakat.

Manakala, dari segi syarak, zakat merupakan satu kwajipan mengeluarkan sebahagian tertentu daripada harta seseorang yang diberikan kepada mereka yang memerlukan, mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Proses ini bertujuan memberi manfaat kepada golongan tertentu dalam masyarakat.

Hukum zakat
Hukum mengeluarkan zakat adalah fardhu ain, yang bermaksud kewajipan individu ke atas setiap muslim yang memenuhi syarat-syarat wajib. Seorang Muslim yang mengingkari kewajipan ini boleh dianggap murtad, manakala individu yang meninggalkan zakat tanpa mengingkari kewajipannya adalah dosa besar.

Hikmah mengeluarkan zakat 
Zakat memegang kedudukan penting sebagai rukun Islam yang ketiga. Antara sebab dan hikmah yang disyariatkan oleh Allah SWT ialah:

  • Zakat mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada, mengurangkan jurang ekonomi.
  • Zakat membersihkan jiwa dan hati pembayar zakat serta dapat memupuk rasa tidak mementingkan diri dan melahirkan sifat dermawan.
  • Zakat membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat serta dapat menggalakkan keberkahan dan kekayaan rohani.
  • Zakat dapat melahirkan rasa syukur di kalangan golongan yang berada terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
  • Zakat mengurangkan perasaan iri hati di kalangan mereka yang kurang bernasib baik serta memupuk keharmonian dalam masyarakat.
  • Membayar zakat memberi ketenangan dan kedamaian dalam hati dan jiwa pembayar, dengan kesedaran bahawa mereka telah melaksanakan satu kewajipan yang ditetapkan.

Oleh itu, amalan zakat bukan sahaja mengenai sokongan kewangan untuk golongan yang memerlukan, tetapi juga dapat mewujudkan masyarakat yang adil, bersyukur, dan harmoni dibawah panduan Islam.

Siapa yang Perlu Membayar Zakat Pendapatan?  

Zakat pendapatan merupakan satu kewajipan bagi individu yang telah memenuhi syarat-syarat tertentu, iaitu cukup nisab dan haul. Jom kita pelajari syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk menunaikan zakat pendapatan.

Beragama Islam
Zakat pendapatan hanya diwajibkan ke atas individu yang beragama Islam. Bagi mereka yang bukan beragama Islam, zakat pendapatan tidak menjadi kewajipan.

Merdeka
Individu yang ingin membayar zakat pendapatan perlulah merdeka (bukan hamba) serta bebas untuk mencari rezeki yang halal.

Mencapai Nisab dan Kadar Zakat Pendapatan 
Nisab merupakan jumlah minimum pendapatan yang perlu dimiliki oleh seseorang sebelum diwajibkan zakat. Nisab zakat pendapatan ditentukan berdasarkan nilai 85 gram emas atau 595 gram perak. Nisab ini sentiasa berubah dan bergantung kepada harga pasaran semasa.

Di Malaysia, setiap negeri mempunyai kadar nisab yang berbeza, maka adalah disarankan untuk merujuk pusat zakat negeri masing-masing bagi mendapatkan kadar terkini. Kadar zakat pendapatan yang dikenakan ialah 2.5% daripada jumlah pendapatan tahunan individu.

Memiliki Harta Secara Penuh
Individu tersebut perlu memiliki harta yang hendak dizakatkan secara penuh. Harta tersebut juga mestilah bukan memiliki individu lain atau hasil daripada pinjaman. Selain itu, sumber harta tersebut perlu datang dari sumber yang halal.

Harta Tidak Mudah Susut Nilai
Jenis harta yang dimiliki mestilah yang tidak mudah susut nilai serta dapat dikembangkan.

Bilakah Zakat Pendapatan Perlu Dibayar?
Zakat pendapatan hanya perlu dibayar jika cukup nisab dalam tempoh setahun. Kebiasaannya, zakat pendapatan dibayar pada setiap hujung tahun atau secara tahunan. Namun, terdapat juga individu yang memilih untuk membuat potongan zakat atau caruman zakat secara bulanan.

Semoga artikel ini bermanfaat kepada kita semua. Jom bayar zakat melalui ikhlas.com sekarang !