Islam Larang Meminta-minta Orang Belanja

Hanan Latip

5/27/2024

Anda pernah menghadap situasi di mana, ada orang meminta-minta untuk anda belanja mereka sama ada secara bergurau ataupun bersungguh. Lagi-lagi mereka ialah individu yang rapat dengan kita seperti kawan baik mahupun saudara terdekat. Akhirnya, kita yang rasa tersepit dan tidak tahu macammana untuk menolak permintaan tersebut. Susahnya!

Perkara ini sering kali terjadi kepada mana-mana individu tidak kira meminta secara langsung atau secara halus. Tahukah anda, sebenarnya kita tidak boleh sewenang-wenangnya meminta orang belanja? 

Hukum Meminta Orang Belanja 

Perbuatan mengemis dan meminta sedekah tanpa keperluan dan darurat adalah haram dan dilarang di dalam Islam. Namun, sekiranya terdapat keperluan yang mendesak maka ia dibolehkan namun tidak boleh meminta-minta seperti pengemis. 

Tapi, mengapakah umat Islam tidak digalakkan untuk meminta-minta dalam sesuatu perkara? 

Pandangan ini telah dijawab oleh Ustaz Muhammad Syamil Amjad dari Dar Al Maliki. Menurut beliau, ajaran agama Islam itu sendiri menyuruh umatnya sentiasa bekerja dan berusaha dalam meneruskan kehidupan. 

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW telah bersabda:

لأَنْ يَغْدُوَ أَحَدُكُمْ فَيَحْطِبَ عَلَى ظَهْرِهِ فَيَتَصَدَّقَ بِهِ وَيَسْتَغْنِيَ بِهِ مِنَ النَّاسِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ رَجُلاً أَعْطَاهُ أَوْ مَنَعَهُ ذَلِكَ فَإِنَّ الْيَدَ الْعُلْيَا أَفْضَلُ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Maksudnya: “Salah seorang daripada kamu yang keluar pada waktu pagi lalu memikul kayu di atas belakangnya untuk dijual, lalu dia mengeluarkan sedekah sebahagian daripada jualan kayu dan dengan (baki wang) itu dapat mencukupkan dirinya sehingga dia tidak perlu meminta kepada orang lain, adalah lebih baik baginya daripada meminta kepada seseorang (yang tidak pasti) diberi ataupun ditolak. Demikian itu, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang dibawah. Mulai dengan orang-orang yang ada dalam tanggunganmu." Riwayat Muslim (1042)

Adakah perbuatan meminta-minta ini terbatas dengan orang yang kita tidak rapat sahaja?

Tidak juga, bahkan kita juga tidak digalakkan meminta-minta kepada orang rapat untuk menjaga hubungan baik sesama kita dan menjadikan diri kita seorang yang mempunyai harga diri.

Bagaimana cara Islam memandang perbuatan meminta minta orang belanja jika seseorang mempunyai kemampuan untuk bekerja atau mencari rezeki sendiri?

Meminta-minta bagi orang yang mampu untuk bekerja atau mencari rezeki sendiri adalah haram dan dilarang. Terdapat situasi-situasi yang memperbolehkan kita untuk meminta-minta orang belanja yang diterima dalam agama Islam, seperti kutipan derma atau sedekah yang disalurkan kepada fakir miskin dan golongan asnaf yang memerlukan.

Kenapa Kita Tidak Boleh Meminta-minta? 

Untuk fahami dengan lebih lanjut, kami kongsikan beberapa sebab mengapa kita tidak boleh meminta-minta. 

1. Bertimbang Rasa Terhadap Orang Lain

Terlalu sering meminta kepada orang lain dapat menimbulkan beban tambahan bagi mereka. Islam mendorong untuk memperlakukan orang lain dengan baik dan tidak menyusahkan mereka jika tidak diperlukan.

2. Kehormatan dan Martabat Diri

Meminta secara terus-menerus dapat merendahkan martabat seseorang dan menurunkan harga diri mereka. Islam menekankan pentingnya menjaga kehormatan diri sendiri dan menjaga martabat manusia.

3. Memberi Lebih Baik daripada Menerima

Islam menggalakkan umatnya untuk bersikap memberi daripada menerima. Memberi kepada orang lain, terutama kepada yang memerlukan merupakan tindakan yang sangat dianjurkan dalam Islam.

4. Berusaha untuk Mendapatkan Sesuatu Perkara

Islam mengajar kita untuk berusaha keras dan berdikari untuk mendapatkan sesuatu yang diingini. Sikap terlalu meminta akan mempengaruhi kemampuan seseorang untuk belajar, berkembang dan mencapai potensi penuh diri mereka sendiri.

Tetapi, usah dilupakan orang sekeliling untuk meminta bantuan sekiranya anda di dalam keadaan terdesak dan kesusahan. Islam sangat memahami keadaan di mana seseorang memerlukan bantuan untuk membantu individu yang dalam kesempitan dan amat memerlukan pertolongan orang lain. 

Semoga perkongsian ini membantu anda bagi memperbaiki diri dan menasihati orang lain agar bersikap terpuji dan bertimbang rasa. Anda tidak tahu, mungkin sebenarnya rakan atau adik beradik anda mahupun orang sekeliling yang rapat sebenarnya berada di dalam situasi kesusahan.