Hukum Melaksanakan Aqiqah Bagi Diri Sendiri
Hanan
1/23/2024
Boleh ke saya buat aqiqah untuk diri sendiri ?
Sehingga kini, masih wujud lagi situasi di mana ada sesetengah keluarga yang kurang mampu untuk melaksanakan aqiqah untuk anak. Ada juga yang kurang mengetahui untuk melaksanakan aqiqah setelah anak menjadi dewasa.
Sebelum kita telusuri hukum melaksanakan aqiqah untuk diri sendiri, mari kita fahami dahulu tanggungjawab untuk melaksanakan aqiqah. Teruskan membaca bagi mengetahui jawapannya.
Siapakah yang bertanggungjawab mengenai aqiqah?
Ibadah aqiqah adalah sunat dilakukan dan merupakan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga kepada anak tersebut. Namun, disebabkan beberapa faktor seperti kurang mampu, mereka boleh melakukan aqiqah setelah berkemampuan sehingga anak mencapai baligh.
Jika ibu bapa sudah meninggal dunia dan belum sempat melakukan aqiqah untuk anak, maka tanggungjawab itu jatuh kepada wali iaitu datuk dan seterusnya bapa saudara ataupun penjaga kepada anak.
Di dalam Islam, ia menuntut orang yang memberikan nafkah kepada anak tersebut untuk melakukan aqiqah. Secara mudah, jika anak tinggal bersama ibu dan ibunya juga yang menyara kehidupan anak itu, maka ibu yang dituntut melaksanakan aqiqah untuknya.
Jika anak sudah mencapai usia baligh tapi masih tidak berkemampuan dan masih mempunyai bapa, jadi si bapa bertanggungjawab untuk melakukan aqiqah untuk anak. Jika bapa telah meninggal dunia, si ibu pula bertanggungjawab untuk melakukannya.
Tetapi jika anak belum diaqiqahkan sehingga dia baligh, dia disunatkan untuk melakukan aqiqah bagi dirinya sendiri sekiranya berkemampuan.
HUKUM AQIQAH SECARA UMUM

- Mudah untuk selesaikan ibadah aqiqah anda kini dengan melayari IKHLAS Aqiqah, semua dihujung jari. Mudah dan pastinya telus.
Hukum aqiqah adalah sunat muakkadah bagi yang berkemampuan. Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadis daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى
Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”.
Riwayat al-Bukhari (2839)
- Hukum melakukan aqiqah adalah sunat muakkad iaitu sangat digalakkan dan bukannya wajib. Maka, meninggalkannya tanpa keuzuran adalah makruh.
- Hukum bagi yang tidak melakukan aqiqah kerana tidak mampu, hukumnya tidak haram mahupun makhruh.
Sebahagian ulama Syafieyyah yang terkemudian (mutaakhkhirin) berpendapat, seseorang yang tidak mampu melakukan aqiqah dan kemudiannya menjadi senang selepas tujuh hari kelahiran maka, tidak sunat lagi untuk melakukan aqiqah.
Manakala, sebahagian Syafieyyah pula berkata sebelum tamat tempoh nifas. Pendapat yang rajih dalam mazhab al-Syafie berpendapat bahawa hukumnya sunat sehingga anak itu baligh.
HUKUM BUAT AQIQAH UNTUK DIRI SENDIRI
Maka, apakah hukum melakukan aqiqah untuk diri sendiri?
Bagi yang berkeinginan membuat aqiqah untuk diri sendiri, semestinya untuk diri yang sudah meningkat dewasa dan berkemampuan.
Hal ini kerana, masih ada ibu bapa yang masih tidak mampu untuk melakukan aqiqah sehingga anak-anak mereka telah capai usia baligh. Ataupun mereka berkemampuan setelah anak-anak meningkat dewasa. Para ulama berpendapat, ibu bapa digalakkan melakukan korban sahaja.
Maka, si anak sunat melakukan aqiqah untuk diri sendiri jika berkemampuan apabila ibu bapa masih belum melaksanakan aqiqah atas sebab tidak mampu. Ia turut terpakai jika ibu bapa itu masih hidup atau telah meninggal dunia. Aqiqah yang dilakukan bagi menunjukkan kesyukuran di atas segala nikmat kehidupan.
Diharapkan perkongsian ini bermanfaat bagi anda yang berniat untuk melakukan aqiqah untuk diri sendiri. Anda merupakan seorang yang celik kerana apabila sudah meningkat dewasa, anda sudah mampu melakukannya sendiri.