Hukum dan Syarat Akikah

Ayu Nadirah

1/16/2024

hukum_&_syarat_aqiqah.jpg

Buat yang baru saja bergelar ibu dan bapa, anda dah tahu tentang hukum akikah untuk anak? Perkataan akikah menurut bahasa membawa maksud rambut yang tumbuh pada kepala bayi ketika dia dilahirkan. Menurut istilah hukum syarak pula, aqiqah adalah penyembelihan haiwan tertentu untuk kepentingan anak, di samping mencukur atau memotong rambut dan diberi nama kepadanya. Akikah dilakukan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT setelah dikurniakan anak, sementara dapat melepaskan anak tersebut daripada godaan syaitan dalam urusan dunia dan akhirat.

HUKUM AKIKAH

Imam Syafie berpendapat hukum melaksanakan akikah adalah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut, bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan akikahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama,” Hadis Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi.  8)

Selain itu, daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Bersama-sama kelahiran bayi ada akikahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah akikah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya,” Hadis Riwayat al-Bukhari (2839). (Al-Quran, Surah Thaa-Haa : 8)

WAKTU MELAKUKAN AKIKAH

Waktu terbaik untuk menjalankan akikah adalah pada hari ketujuh kelahiran bayi. Jika terlepas, anda boleh lakukan pada hari ke-14 atau ke-21. Sekiranya tidak mampu, sunat untuk melakukannya pada mana-mana hari hingga anak mencapai usia baligh.

Hakikatnya, tiada had umur tertentu yang disyaratkan untuk melakukan akikah untuk anak. Bagi anak yang telah meningkat dewasa, ibu bapa boleh melakukan korban untuk mereka dan bukan lagi akikah. Anak yang sudah mencapai baligh atau dewasa, mereka boleh melaksanakan akikah untuk diri sendiri.

SYARAT SAH AKIKAH

Berikut adalah syarat sah akikah yang perlu anda ambil tahu:

1. Niat akikah

Semasa ingin memulakan penyembelihan, orang yang menyembelih perlu berniat akikah dengan nama anak yang diniatkan. Tetapi jika terlupa, ibadah masih diterima jika telah berniat melakukan akikah ke atas anak berkenaan semasa membeli dan proses menyembelih. Ibadah akikah juga sah walau anak yang diniatkan tidak ada sewaktu penyembelihan berlaku.

2. Memenuhi syarat penyembelihan

  • Penyembelih beragama Islam, bukan mumayyiz dan bukan dalam keadaan ihram.

  • Binatang sembelihan halal dimakan. Disembelih mati dengan satu sembelihan, serta putus urat halkum dan urat merih.

  • Alat sembelihan yang tajam digunakan contohnya parang.

3. Haiwan akikah berkaki empat sempurna sifat

Seperti ibadah korban, haiwan untuk pelaksanaan ibadah akikah juga perlu memenuhi syarat tertentu iaitu haiwan berkenaan adalah haiwan ternakan berkaki empat yang halal dimakan. Ia juga mesti sempurna fizikal dan dalaman, tidak cacat, tidak terlalu kurus, tidak sakit dan tidak bunting. 

4. Haiwan akikah cukup umur

Haiwan untuk penyembelihan akikah perlu memenuhi syarat yang serupa dengan haiwan untuk ibadah korban.

  • Kibas - satu tahun atau telah gugur gigi depan selepas usia enam bulan.

  • Biri-biri dan kambing - melebihi satu tahun apabila gugur gigi susu atau depan.

  • Lembu dan kerbau - melebihi usia dua tahun.

  • Unta - melebihi usia lima tahun.

KADAR HAIWAN UNTUK AKIKAH

Apa yang lebih penting adalah kadar akikah untuk seorang anak lelaki adalah dua ekor kambing dan untuk seorang anak perempuan adalah seekor kambing, seperti dalam Hadis Riwayat Aisyah RA yang menyatakan:

“Rasulullah SAW memerintahkan kepada kami supaya menyembelih akikah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing dan untuk perempuan adalah seekor.”

Namun, akikah dua ekor kambing untuk seorang anak lelaki bukanlah wajib. Nabi Muhammad SAW pernah melakukan akikah untuk cucu Baginda iaitu Hasan dan Husin dengan menyembelih seekor kambing, masing-masing. Manakala satu bahagian lembu bersamaan seekor kambing seperti yang disebut oleh al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah dalam Kitab Mughni al-Muhtaj:

“Dan bagi seekor kambing itu 1/7 (satu bahagian) daripada unta dan lembu. Sekiranya disembelih unta atau lembu itu daripada tujuh orang anak atau dikongsi beramai, ia juga dibolehkan sama ada dengan sembelihan itu kesemua bahagian diniatkan untuk aqiqah atau sebahagian untuk aqiqah dan sebahagian lagi hanya untuk mendapatkan daging sahaja.”

PEMBAHAGIAN DAGING AKIKAH

Antara perkara yang membezakan korban dan akikah adalah daging akikah disunatkan untuk dimasak terlebih dahulu, kemudian dijamu bersama ahli keluarga, sahabat dan faqir miskin. Ia boleh dimakan oleh ibu bapa kepada anak yang diakikahkan dan juga keluarga sendiri, serta diberi hidangan itu kepada keluarga terdekat, jiran, sahabat dan faqir miskin. Namun jika akikah itu adalah akikah nazar, daging sembelihan berkenaan tidak boleh dimakan tuan yang berniat akikah beserta ahli keluarga seisi rumah. Selain itu, sunat untuk dimasak manis kerana Nabi Muhammad SAW sukakan madu.

Ini berdasarkan kata-kata Aisyah RA:

“Sesungguhnya haiwan korban untuk akikah itu tidak dipatah-patahkan di bahagian tulangnya, ia juga adalah untuk dimakan oleh kita dan diberi makan kepada faqir miskin.”

Hal ini dilakukan bertujuan untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap kebaikan budi pekerti anak yang diakikahkan. Apabila daging akikah dimasak dengan sempurna, maka ia setanding dengan besarnya harapan ibu bapa akan sempurnya sifat dan kehidupan anak yang dilahirkan.