Ambil Tahu Zakat Fitrah: Hukum, Syarat dan Kadar Mengikut Negeri

Ayu Nadirah

3/12/2024

Ambil_Tahu_Zakat_Fitrah_Hukum_Syarat_dan_Kadar_Mengikut_Negeri.jpg

Zakat fitrah adalah zakat yang difardukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat tertentu. Kewajipan yang dilaksanakan pada bulan Ramadan ini bertujuan untuk membersih dan menyucikan jiwa umat Islam yang berpuasa daripada perkara sia-sia. Melalui zakat ini juga, golongan yang berkemampuan dapat membantu fakir dan miskin di luar sana untuk membuat persiapan menyambut raya.

Hadis_zakat_fitrah.png

Syarat Wajib Zakat Fitrah

Berikut adalah orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya:

  1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau harta daripada keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  2. Anak yang lahir sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.
  3. Individu yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadan dan kekal dalam Islam.
  4. Individu yang meninggal dunia selepas terbenam matahari pada akhir Ramadan.


Kadar Zakat Fitrah

Kadar zakat fitrah adalah satu gantang Baghdad bersamaan 2.7 kilogram beras atau sama nilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri masing-masing. Umat Islam digalakkan untuk membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan kerana ia merupakan kebajikan bagi golongan berkemampuan.


Kaedah Pembayaran Zakat Fitrah

Anda boleh melaksanakan kewajipan zakat fitrah menerusi kaedah pembayaran seperti berikut:

  1. Pembayaran melalui amil yang telah dilantik dan diberi tauliah bagi menjalankan tugas memungut zakat fitrah di seluruh negeri.
  2. Pembayaran zakat fitrah dalam talian mengikut negeri masing-masing.
  3. Pembayaran zakat fitrah terus di kaunter pembayaran zakat negeri.


Waktu Menunaikan Zakat Fitrah

Tempoh untuk menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada lima kategori seperti di bawah:

  1. Waktu wajib iaitu apabila terbenam matahari pada akhir Ramadan sehingga terbit matahari pada satu Syawal.
  2. Waktu afdal iaitu sebelum Solat Sunat Aidilfitri.
  3. Waktu harus iaitu pada sepanjang bulan Ramadan.
  4. Waktu makruh iaitu selepas sembahyang raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.
  5. Waktu haram iaitu selepas terbenamnya matahari pada satu Syawal.


Golongan yang Layak Menerima Zakat

Surah_at-Taubah_60.png


Daripada ayat di atas, Allah telah menggariskan lapan golongan yang berhak menerima zakat iaitu:

  1. Fakir iaitu orang Islam yang tiada harta atau pendapatan, ataupun ada harta atau pendapatan tetapi tidak mencapai 50 peratus untuk memenuhi keperluan asasi diri dan orang yang berada di bawah tanggungannya.
  2. Miskin iaitu orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan yang hanya boleh menampung lebih 50 peratus, tetapi tidak mencapai 100 peratus untuk memenuhi keperluan asasi diri dan orang yang berada di bawah tanggungannya. 
  3. Amil iaitu individu atau organisasi yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri yang bertanggungjawab menjalankan urusan pungutan dan agihan zakat.
  4. Mualaf iaitu seseorang yang dijinakkan hatinya dan telah memeluk agama Islam.
  5. Ar-Riqab iaitu memerdekakan orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan orang-orang tertentu.
  6. Al-Gharimin iaitu golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga dan tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera yang dibenarkan oleh hukum syarak.
  7. Fisabilillah iaitu orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti untuk menegak, mempertahan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.
  8. Ibnussabil iaitu orang dalam perjalanan bagi tujuan yang dibenarkan hukum syarak dari mana-mana negeri atau negara, dan memerlukan bantuan seperti terputus bekalan dalam perjalanan, tidak dapat memanfaatkan hartanya untuk meneruskan perjalanan, memerlukan kemudahan asas dalam masalah perjalanan atau ditinggalkan dalam perjalanan.


  • Jadi ambil tahu tentang zakat fitrah supaya anda boleh menunaikan kewajipan ini mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Jom tunaikan zakat fitrah anda bersama IKHLAS Zakat sekarang!