5 Amalan Mudah di Bulan Rejab
Nurul Atikah Sarji
2026-01-19
Tanpa disedari, masa terus berlalu dan kita kini melangkah ke bulan Rejab, sebuah fasa penting dalam kalendar Islam yang sering menjadi titik persediaan rohani sebelum tibanya Ramadan. Rejab bukan sekadar penanda waktu, tetapi ruang untuk memperlahankan langkah, menilai diri dan memperbaharui hubungan dengan Allah SWT.
Sebagai salah satu daripada bulan haram yang dimuliakan, Rejab mengajak umat Islam kembali menyusun niat, memperbanyak amal dan memupuk kesedaran bahawa setiap detik adalah peluang menuju keberkatan.
Setiap amal kebaikan yang dilakukan pada bulan ini mempunyai nilai yang besar di sisi Allah SWT. Oleh hal yang demikian, ramai ulama menggalakkan umat Islam untuk memperbanyakkan ibadah sebagai persediaan menyambut Ramadan.
Jom kita lihat 5 amalan Rejab yang ringkas dan mudah untuk kita praktikkan dalam kehidupan seharian.
Zikir dan Istighfar
Antara amalan yang paling utama pada bulan Rejab ialah memperbanyakkan zikir dan istighfar. Lidah yang sentiasa basah dengan kalimah memuji Allah akan menenangkan hati dan membersihkan jiwa.
Kita boleh melazimi:
- Istighfar: Astaghfirullahal ‘azim
- Tasbih: Subhanallah
- Tahmid: Alhamdulillah
- Tahlil: La ilaha illallah
Tidak perlu menunggu waktu tertentu. Di mana sahaja kita berada; dalam kereta, di rumah atau ketika berehat. Amalan ini boleh dilakukan. Yang penting istiqamah.

Memperbanyakkan Selawat ke Atas Nabi
Selawat merupakan salah satu tanda cinta kita kepada Rasulullah SAW. Pada bulan Rejab, selawat merupakan satu amalan yang sangat digalakkan yang perlu dijadikan sebagai amalan harian.
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesiapa yang berselawat kepadanya sekali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.”
Amalan ini sangat mudah. Tetapi, ganjarannya sangat besar. Jadikan selawat sebagai rutin, sekurang-kurangnya 100 kali sehari.
BACA: Amalan Pagi Pembuka Rezeki yang Ringkas
Membaca Al-Quran
Bulan Rejab adalah masa yang sesuai untuk kita kembali mendekatkan diri dengan Al-Quran. Jika sebelum ini jarang membaca, inilah peluang untuk memulakan langkah baharu.
Tidak perlu terus membaca banyak halaman. Mulakan sedikit demi sedikit. Yang penting, kita cuba menjadikan Al-Quran sebagai peneman hidup, bukan sekadar hiasan di rak.
Bersedekah Mengikut Kemampuan
Sedekah merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam, lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia seperti Rejab. Sedekah tidak semestinya dengan wang ringgit yang banyak. Ia boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti membantu orang yang kurang berkemampuan, menderma ke masjid atau memberi senyuman dan kata-kata baik.
Setiap kebaikan kecil tetap bernilai besar di sisi Allah.
Memperbanyakkan Doa dan Taubat
Bulan Rejab juga dikenali sebagai bulan untuk membersihkan diri sebelum memasuki Ramadan. Inilah waktu terbaik untuk bermuhasabah dan bertaubat atas segala kesilapan lalu.
Antara doa yang boleh diamalkan sepanjang bulan Rejab ialah:
“Allahumma barik lana fi Rajaba wa Sya’ban, wa ballighna Ramadan.”
Maksudnya: Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.
Selain itu, perbanyakkan solat taubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT.
Sebenarnya amalan pada bulan Rejab tidaklah berat. Ia hanyalah usaha kecil untuk mendekatkan diri kepada Allah sebelum hadirnya bulan Ramadan.
Tidak perlu buat semua sekali gus. Mulakan dengan perlahan, ikut kemampuan diri, dan yang paling penting, istiqamah.
Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menghidupkan bulan Rejab dengan amalan yang bermanfaat dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Selamat beramal!