Amalan Pagi Pembuka Rezeki yang Ringkas

Nurul Atikah Sarji

2026-01-14

Islam sangat menitikberatkan bagaimana seseorang memulakan harinya. Waktu pagi adalah waktu yang penuh barakah, serta amalan yang dilakukan pada awal hari memberi kesan besar kepada rezeki serta ketenangan hidup.

Rezeki tidak hanya terhad kepada wang dan harta. Kesihatan, ketenangan jiwa, fikiran yang lapang dan urusan yang dipermudahkan juga merupakan rezeki daripada Allah.

Jom kita ketahui beberapa amalan pagi yang mudah dilakukan, tetapi besar kesannya jika diamalkan secara konsisten.

  1. Solat Dhuha Sebelum Terlalu Sibuk

    Template blog atikah  (60).jpg


    Solat Dhuha adalah antara amalan yang sangat dianjurkan pada waktu pagi. Solat ini dilakukan selepas matahari naik dan sebelum masuk waktu Zohor. Amalan ini melatih diri untuk meletakkan pergantungan kepada Allah sebelum memulakan urusan dunia. Dua rakaat sudah memadai, asalkan dilakukan dengan ikhlas. Ramai yang merasakan urusan harian menjadi lebih lancar apabila membiasakan solat Dhuha.
     

  2. Membuka Hari dengan Sedekah

    Template blog atikah  (61).jpg


    Sedekah di awal pagi atau juga sering disebut sebagai ‘sedekah subuh’ membawa keberkatan yang besar. Ia tidak semestinya dalam bentuk wang, tetapi boleh berupa bantuan kecil, senyuman atau pertuturan yang baik. Memberi pada waktu pagi mengajar hati untuk tidak terlalu terikat dengan dunia dan lebih mudah menerima rezeki yang datang.
     

  3. Zikir Pagi Sebagai Pelindung Diri

    Template blog atikah  (62).jpg


    Zikir membantu menenangkan hati dan melindungi diri daripada tekanan emosi. Amalan zikir pagi menjadikan fikiran lebih jernih sebelum menghadapi tugasan harian. Zikir boleh dilakukan di mana-mana saja, sama ada di rumah, di dalam kenderaan atau di tempat kerja.
     

  4. Membaca al-Quran untuk Ketenangan Hati

    Template blog atikah  (63).jpg


    Membaca al-Quran pada waktu pagi, walaupun sedikit, memberi kesan besar kepada emosi dan sikap sepanjang hari. Tidak perlu membaca panjang, satu surah atau beberapa ayat sudah cukup untuk mengingatkan diri kepada Allah sebelum berurusan dengan manusia. Al-Quran membentuk jiwa yang sabar dan tutur kata yang lebih baik.
     

  5. Syukur dan Doa Sejurus Bangun Tidur
    Amalan pertama sebalik membuka mata ialah sentiasa bersyukur dengan kehidupan di hari yang baru. Ucapkan Alhamdulillah dan niatkan hari tersebut untuk kebaikan. Syukur di awal pagi membantu kita melihat nikmat yang ada, bukan hanya masalah yang menanti.

Secara kesimpulan, amalan pembuka rezeki di waktu pagi bukan sekadar ‘ritual’ kosong, tetapi latihan buat diri kita untuk mendidik hati agar tenang dan lebih bertawakal. Apabila hati terjaga, inshaAllah rezeki pasti akan datang dalam pelbagai bentuk. Bukan hanya harta, tetapi juga ketenangan dan kemudahan urusan.

Mulakan pagi dengan amalan yang kecil, tetapi lakukan secara konsisten. InshaAllah, perubahan akan terasa.