12 Adab-adab Ketika Berpuasa
Hanan
2/26/2024

Apabila puasa semakin dekat, setiap umat Islam harus bersiap-siap untuk menyambut bulan yang mulia yang penuh dengan ganjaran dan keberkatan. Rasulullah SAW ada menyebut Ramadan sebagai bulan yang agung dan penuh dengan keberkatan.
Puasa perlu dilaksanakan mengikut adab-adab yang sempurna bagi memastikan puasa yang dilakukan dapat diterima oleh Allah SWT dan kita mendapat ganjaran pahalanya. Di sini, kami akan ulaskan adab-adab berpuasa yang wajib anda ketahui!
1. Bersahur
Perkara penting sekali sebelum memulakan hari-hari anda ialah bersahur. Dengan bersahur, anda dapat mengalas perut dan memberikan kekuatan kepada orang yang berpuasa.
"Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar." (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih)
2. Melewatkan Sahur
Sunat bagi seluruh umat Islam untuk melewat-lewatkan sahur pada bulan Ramadan. Ia adalah sunat yang dituntut untuk umat Islam melakukannya. Perbuatan meninggalkan sahur tanpa uzur yang syarie seperti malas untuk bangun di awal pagi wajarlah dijauhkan kerana ia akan merugikan diri sendiri kerana akan membuatkan tubuh berasa lemah dan lain-lain ketika berpuasa di siang hari.
Namun, ketika bersahur, anda wajar berhati-hati terutamanya 10 minit sebelum waktu subuh bagi mengelakkan anda leka semasa makan. Waktu Imsak dijadikan sebagai peringatan agar kita tidak terus makan kerana azan Subuh akan berkumandang tidak lama lagi.
3. Meninggalkan Kata-kata Keji
Ketika Ramadan inilah, ramai umat Islam harus berlumba-lumba untuk melatih diri menjadi lebih baik berbanding sebelumnya. Salah satu langkah ialah menjaga percakapan diri dengan meninggalkan kata-kata keji.
Walaupun mengumpat dan berkata keji tidak termasuk dalam membatalkan puasa, tetapi ia akan mengurangkan dan membatalkan pahala puasa. Ia merupakan perkara yang merugikan kerana anda hanya sekadar menahan lapar dan dahaga.
Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda:

4. Memelihara Anggota Tubuh Badan
Pelihara anggota badan seperti mata, telinga, mulut dan perut dari perkara yang tidak penting daripada perkara yang dilarang oleh syarak.
Mata: Menahan penglihatan daripada melihat perkara-perkara yang kotor dan haram.
Perut: Tidak makan ketika waktu berpuasa dan tidak makan makanan dari sumber yang haram.
Lidah: Elakkan dari menipu, memaki hamun dan mengumpat orang.
Telinga: Mendengar bacaan zikir dan al-Quran daripada mendengar nyanyian yang melalaikan, kata-kata kotor, umpatan orang dan perkara keji juga hina.
Hati: Menjaga hati dari perkara yang merosakkannya seperti syirik, perkara yang sesat, penyakit was-was dan sifat-sifat tercela seperti hasad dengki, kedekut, bangga dengan diri sendiri dan sebagainya.
5. Memperbanyakkan Ibadah
Oleh itu, ketika bulan Ramadan inilah masa anda untuk fokus melakukan ibadah sebanyak mungkin seperti bersedekah, membaca al-Quran sehingga khatam, bertadarus, qiyamulail, beristighfar dan beriktikaf di masjid terutamanya pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan.
Ketika ini jugalah ramai orang berebut-rebut melakukan ibadah sebanyak mungkin kerana bulan yang mulia ini hanya datang setahun sekali sahaja dengan manfaat yang berkali ganda. Tetapkan target anda pada Ramadan tahun ini agar lebih baik berbanding dari Ramadan yang lepas. Lagipun, kita tidak tahu sama ada kita akan dapat berjumpa dengan Ramadan lagi pada tahun depan.
6. Berdoa Ketika Berbuka
Doa berbuka puasa bagi yang bersendirian:

Doa berbuka puasa bagi yang beramai-ramai:

7. Bersegera Untuk Berbuka
Sejurus mendengar azan Maghrib, segerakan diri anda untuk berbuka dengan rothb (kurma basah), tamar (kurma kering), manisan atau air untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaga.
Makruh untuk anda menundakan berbuka sehingga melemahkan diri daripada melakukan ibadat seperti solat wajib dan solat sunat terawih. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud Allah berfirman:
"Hamba yang paling Aku sukai ialah orang yang paling bersegera membuka puasa." (Riwayat al-Tarmizi)
8. Berbuka Puasa Dengan Apa Yang Ada
Umat Islam hendaklah sentiasa bersyukur dengan setiap rezeki yang diberikan. Kita digalakkan untuk berbuka dengan makanan yang ada dan tidak berlebih-lebihan ketika memasak atau membeli di bazar Ramadan.
Ia bergerak seiring dengan tujuan berpuasa untuk menghayati kehidupan individu yang kurang kemampuan dan melatih individu untuk mengawal kehendak diri dan nafsu.
9. Menyediakan Makanan Berbuka Untuk Orang Lain yang Berpuasa
Ketika bulan Ramadan ini, ramai orang akan sentiasa berlumba-lumba untuk memberi makanan kepada sesama ahli keluarga dan jiran, anak-anak yatim, orang-orang yang berbuka di masjid dan membuat majlis berbuka puasa.
Hal ini akan menguatkan hubungan sesama umat Islam kerana dapat berkongsi kebahagiaan dan kebaikan kepada yang kurang bernasib baik. Daripada Ummu Ammarah, Rasulullah SAW bersabda:

10. Mandi Wajib Bagi Yang Berjunub
Bagi suami isteri yang berjunub, hendaklah mereka mandi wajib sebelum fajar.
Mantan Syeikhul Azhar, almarhum Syeikh Dr Abdul Halim Mahmud menyebut dalam kitab Fatwa Abdul Halim Mahmud menyebut: “Sesungguhnya mandi junub pada siang hari ramadan adalah harus dan tidak ada halangan padanya, akan tetapi boleh menjadi wajib jika sekiranya ianya membawa kepada melewatkan solat subuh dan luputnya waktu solat.”
Dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah menyebut:
"Sesiapa yang berjunub pada malam hari, kemudian dia berpuasa, maka puasanya sah dan tidak ada qadha puasa ke atasnya."
11. Memperelokkan Akhlak
Ramadan ialah madrasah terbaik untuk umat Islam memperbaiki akhlak diri sendiri agar menjadi lebih takut kepada Allah SWT. Setiap manusia layak untuk menjadi lebih baik.
Sebab itulah kita digalakkan untuk meninggalkan perkara yang sia-sia seperti mengumpat, cakap-cakap kosong, bertengkar, meluangkan masa terlalu lama di media sosial dan sebagainya.
Hal ini telah dinyatakan dengan jelas sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Puasa itu ibarat perisai. Semasa berpuasa, janganlah kamu mengucapkan kata-kata kotor dan tidak enak didengar, dan jangan pula sibuk bertengkar. Jika ada di antara kamu yang memaki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah kamu katakan kepadanya, sesungguhnya aku sedang berpuasa." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
12. Membayar Zakat Fitrah Dalam Waktu yang Ditetapkan
Seluruh umat Islam disunatkan membayar zakat sepanjang bulan Ramadan. Zakat akan menjadi makruh dibayar selepas sembahyang hari raya sehingga terbenam matahari satu Syawal dan ianya haram dibayar selepas terbenamnya matahari satu Syawal.
Setiap umat Islam wajib membayar zakat tidak kira dari kalangan lelaki, wanita, tua, muda, hamba atau merdeka yang mempunyai lebihan atau perbelanjaan yang cukup sehingga hari raya.
Bagi anak perempuan yang masih belum berkahwin, mereka masih dianggap di bawah tanggungan bapanya. Namun, jika anak perempuan tersebut ingin membayar sendiri zakat fitrahnya maka dia perlu meminta keizinan dari bapanya terlebih dahulu.
Diharapkan perkongsian ini dapat memperbaiki amalan dan pengetahuan kita mengenai bulan Ramadan agar kita dapat puasa yang berkualiti dan bukannya dilakukan secara sia-sia.