Safar Qalbi Bukan Sekadar Drama, Ini yang Dikongsi Pelakonnya

Marini Mat Zain

2026-05-19

Bukan semua drama sekadar hiburan. Ada naskhah yang perlahan-lahan menyentuh hati, membuka ruang untuk penonton memahami tentang kecelaruan, harapan dan perjalanan hidup manusia. Itulah yang cuba dibawakan ikhlas.com menerusi drama Safar Qalbi.

SQ_Main@2x-100.jpg

Perancangan kami untuk menerbitkan drama bersiri di Tontonmy berjalan lancar, termasuk dalam proses pemilihan pelakon. Menerusi sesi temu bual bersama ikhlas.com, ketiga-tiga pelakon, Farah Nabilah, Nunu dan Malia, berkongsi pengalaman, cabaran dan momen paling menyentuh sepanjang menjayakan drama ini. 

Mereka berkongsi pengalaman, inspirasi, serta cabaran yang mereka hadapi dalam menghidupkan watak masing-masing. Safar Qalbi” bermaksud ‘Perjalanan Hati Saya’ atau ‘Perjalanan Jiwa’.

Projek Safar Qalbi bukan sekadar sebuah karya penceritaan, tetapi sebuah pengembaraan di Arab Saudi. Bagi mereka, penyertaan dalam projek ini membawa kisah yang berbeza. Ada yang melihatnya sebagai jemputan untuk kembali ke Tanah Suci, ada yang berani melangkah keluar daripada zon selesa, dan ada juga yang menemukan pelajaran tentang reda dan tawakkal. 

SQ_Farah@1.5x-100.jpg

Bagaimana perkembangan terkini dari segi kerjaya dan kehidupan peribadi ketika ini?

Farah Nabilah
Sekarang Farah lebih memberi fokus kepada keluarga dan juga perniagaan yang sedang diusahakan. Fasa hidup ketika ini lebih tertumpu kepada membina keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kerjaya.

Nunu
Perjalanan kerjaya Nunu banyak tertumpu kepada dunia penceritaan, khususnya melalui podcast dan komunikasi yang merapatkan hubungan dengan pendengar. Penguasaan bahasa Arab juga membentuk cara berfikir dan berinteraksi, menjadikan penceritaannya lebih kaya dengan perspektif budaya dan emosi.

Malia
Tahun ini bagi Malia adalah tentang proses self-rebranding. Saya mahu memberi fokus kepada memperbaiki diri sebagai individu dan meningkatkan kualiti kerja. Walaupun setiap tahun sering sukar untuk konsisten, Malia berusaha menjadikannya sebagai gaya hidup yang berterusan.

SQ_Malia@1.5x-100.jpg

Apakah yang membuatkan anda tertarik untuk menyertai projek Safar Qalbi bersama ikhlas.com?

Farah Nabilah
Farah melihat peluang ini sebagai satu jemputan daripada Allah SWT untuk kembali ke Tanah Suci. Selain itu, saya tertarik apabila mengetahui bahawa ikhlas.com banyak membantu golongan asnaf serta memudahkan orang ramai menunaikan umrah dengan pakej yang lebih mampu milik.

Nunu
Pada awalnya, Nunu berasa berbesar hati terpilih tetapi juga gementar kerana ini merupakan pengalaman baharu. Namun peluang untuk kembali ke kampung halaman serta berkongsi kisah tentang tempat saya membesar memberi makna yang mendalam dan mendorong saya untuk mencuba sesuatu di luar zon selesa. Saya membesar di Jeddah dan kini kami sekeluarga pulang ke Malaysia hujung tahun lalu.

Malia
Bagi Malia, peluang ini sangat istimewa kerana ia merupakan pengalaman umrah pertama dalam hidup saya. Beliau bersyukur dapat menunaikan ibadah bersama pasukan ikhlas.com yang sangat menyokong sepanjang pengalaman itu.

 

SQ_Nunu@1.5x-100.jpg

Apakah cabaran atau perbezaan paling ketara sepanjang penglibatan dalam projek ini?

Farah Nabilah
Walaupun masih mempunyai minat yang mendalam terhadap dunia lakonan, Farah kini meletakkan keluarga sebagai keutamaan. Oleh itu, sebarang tawaran perlu dipertimbangkan dengan teliti serta mendapat keizinan suami.

Nunu
Perbezaan paling ketara bagi Nunu ialah peralihan daripada bercerita di balik mikrofon kepada berada di hadapan kamera. Jika di podcast suara menjadi medium utama, di layar visual pula setiap gerak tubuh dan ekspresi wajah menjadi sebahagian daripada naratif yang disampaikan.

Malia
Cabaran terbesar bagi Malia adalah apabila saya tidak dapat menunaikan umrah ketika berada di sana kerana masalah hormon. Keadaan itu memberi kesan emosi, namun sokongan daripada pasukan produksi dan rakan pelakon banyak membantu saya melalui pengalaman tersebut.

4.jpg
1.jpg

Adakah momen tertentu sepanjang penggambaran yang memberi kesan mendalam?

Farah Nabilah
Bagi Farah, pengalaman mengembara bersama satu kumpulan mengingatkannya tentang pentingnya menjaga perasaan orang lain, terutama ketika berada dalam perjalanan bersama.

Nunu
Salah satu momen yang paling memberi kesan kepada Nunu ialah ketika menyedari bahawa kerentanan emosi sebenarnya menjadi kekuatan dalam penceritaan. Di hadapan kamera, saya belajar untuk benar-benar merasai emosi dan bukan sekadar melakonkannya.

Malia
Watak yang dibawa Malia terasa sangat dekat dengan diri. Ia membuatkan saya rasa lebih mudah menyampaikan emosi dengan jujur, khususnya mengenai makna reda dan ikhlas dalam kehidupan.

2.jpg

Apakah nilai atau prinsip yang anda pegang dalam berkarya dan berinteraksi dengan orang lain?

Farah Nabilah
Farah percaya bahawa dalam apa jua situasi, terutama ketika bekerja dalam kumpulan, penting untuk sentiasa peka terhadap perasaan orang lain.

Nunu
Bagi Nunu, kejujuran dalam penceritaan bermula dengan kesedaran terhadap diri sendiri. Saya sentiasa memastikan setiap cerita disampaikan dengan niat yang jelas dan tulus, bukan sekadar untuk nampak hebat tetapi untuk membina hubungan dengan penonton.

Malia
Prinsip utama Malia adalah untuk sentiasa bersikap baik dan jujur terhadap diri sendiri. Berbuat baik kepada orang lain membuatkan kita sendiri rasa lebih tenang dan bahagia. 

3.jpg

Setiap perjalanan mempunyai maknanya yang tersendiri. Bagi Farah Nabilah, Nunu dan Malia, Safar Qalbi bukan sekadar projek lakonan, tetapi pengalaman yang membuka ruang refleksi tentang kehidupan, keikhlasan dan hubungan dengan Tuhan.

Melalui kisah mereka, jelas bahawa perjalanan hati sering bermula daripada keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu sama ada kembali ke Tanah Suci, melangkah keluar daripada zon selesa, atau belajar menerima takdir dengan penuh reda.

Akhirnya, seperti makna sebenar safar qalbi, perjalanan yang paling penting bukanlah destinasi yang dilihat oleh mata, tetapi perubahan yang dirasai oleh hati. Jangan lepaskan peluang menonton enam episode drama Safar Qalbi di Tontonmy. Terimka kasih Saudi Tourism Authority (portal pelancongan rasmi: Visit Saudi).

Baca juga: Ini Sebabnya Taif Jadi Destinasi Pilihan Pelancong