Ini Sebabnya Taif Jadi Destinasi Pilihan Pelancong

Marini Mat Zain

2026-01-19

Kunjungan berkumpulan bersama sahabat sentiasa penuh warna. Gelak tawa bersahut-sahutan, cerita tidak pernah habis, dan senyuman yang tak lekang dari wajah. Tidak kering gusi dibuatnya. 

Di celah riuh itu, terselit keterujaan yang sama, keinginan untuk menyelami sejarah, menikmati keindahan tempat baharu, dan mencipta kenangan bersama. Bersama rakan-rakan yang sealiran jiwa, setiap langkah terasa lebih bermakna. 

Dari bergambar berkumpulan yang spontan hingga detik-detik kecil yang dirakam tanpa dirancang, perjalanan ini bukan sekadar percutian, tetapi ruang untuk meraikan persahabatan sambil membuka hati untuk mengenal kisah dan warisan Taif yang menunggu untuk diterokai.

8.jpg

Tatkala kabin kereta kabel perlahan-lahan meninggalkan stesen, hamparan pergunungan Taif terbentang luas di hadapan mata. Pengunjung disajikan pemandangan dramatik lembah dan tebing.

Sebaik sahaja tiba di Al Kar Tourist Village, udara yang menyapa wajah terasa lebih segar dan sejuk, seolah-olah mengundang kita untuk menarik nafas lebih dalam dan melupakan seketika hiruk-pikuk dunia.

Taif, yang terletak megah di Pergunungan Sarawat di timur Makkah, sejak dahulu lagi menjadi tempat persinggahan istimewa. Bagi para jemaah haji dan umrah, bandar ini ibarat pelarian yang damai. Ruang untuk menenangkan hati, merenung perjalanan spiritual dan menikmati suhu yang lebih aman selepas menunaikan ibadah di Tanah Suci.

Kedudukannya yang tinggi, mencecah lebih 1,700 meter dari aras laut khususnya di kawasan Al Hada, menjadikan cuaca Taif jauh lebih nyaman berbanding Makkah. Waktu siang dihiasi cahaya matahari yang cerah, manakala menjelang petang, angin gunung bertiup lembut membawa kesejukan yang mendamaikan. 

7.jpg

Saat inilah Taif menampilkan pesona paling indah sesuai untuk menikmati matahari terbenam dalam suasana yang tenang dan mesra keluarga. Pengalaman menaiki Kereta Kabel Al Hada bukan sekadar perjalanan biasa, tetapi sebuah momen yang menyatukan alam dan emosi. 

Gunung Al-Hada sendiri bukan sekadar mercu alam, tetapi saksi sejarah yang menghubungkan Taif dan Makkah melalui laluan gunung yang berliku dan mempesona. Taif, dengan kesejukan udaranya dan keindahan semula jadinya, menanti untuk dirasai, bukan sekadar dilihat.


Lokasi

Perjalanan dari Makkah ke Taif ialah kira-kira 120 km, melalui laluan gunung yang berliku dan menawarkan pemandangan indah sepanjang perjalanan.

Kereta Kabel

  1. Menghubungkan tanah tinggi Al Hada ke Al Kar Tourist Village di lembah.
  2. Perjalanan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai ke destinasi.
  3. Stesen: Bermula di Al Hada (atas) dan berakhir di Al Kar Tourist Village (bawah).
  4. Terdapat pilihan riadah, restoran dan kafe di pangkalan untuk berehat selepas perjalanan.

Tips Berguna

  1. Datang awal pagi atau lewat petang untuk elak cuaca panas di siang hari dan nikmati cahaya matahari lembut untuk bergambar.
  2. Pakai kasut selesa kerana terdapat kawasan yang perlu berjalan kaki di Al Kar Tourist Village.
  3. Bawa jaket ringan kerana udara di puncak gunung lebih sejuk berbanding lembah.
  4. Beli tiket kereta kabel lebih awal semasa musim cuti atau hujung minggu untuk mengelak beratur panjang.