logo

Skip to content

Skip to footer

Umrah Kini: Hukum Mencium Hajar Aswad, Sunat atau Paksakan Diri?

Ayu Nadirah

4/29/2024

hajarul_aswad.jpg

Hajar Aswad adalah batu yang diletakkan oleh Nabi Ibrahim AS di salah satu daripada penjuru Kaabah (sudut Timur Kaabah dan sebelah kiri Multazam). Allah SWT telah menurunkan batu ini dari syurga seperti sabda Nabi Muhammad SAW:

Hajar_Aswad.png

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata tawaf dan mencium Hajar Aswad adalah ibadah. Namun hukum yang membezakan ibadah berkenaan. Tawaf adalah wajib, sementara hukum memegang dan mencium batu Hajar Aswad adalah sunat.

أنَّهُ جَاءَ إلى الحَجَرِ الأسْوَدِ فَقَبَّلَهُ، فَقالَ: إنِّي أعْلَمُ أنَّكَ حَجَرٌ، لا تَضُرُّ ولَا تَنْفَعُ، ولَوْلَا أنِّي رَأَيْتُ النبيَّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يُقَبِّلُكَ ما قَبَّلْتُكَ

Ertinya, “Sesungguhnya Rasulullah SAW mendatangi Hajar Aswad dan menciumnya, Umar bin Khattab kemudian berkata (kepada Hajar Aswad), ‘Sungguh aku tahu bahawa kau hanya batu, tidak bisa memberikan mudarat dan manfaat. Sungguh, andai aku tidak melihat Nabi SAW menciummu, nescaya aku pun tidak akan menciummu!” (HR Bukhari)

Perlu diingatkan juga bahawa perbuatan mencium batu ini bukan membawa maksud seolah-olah menyembahnya. Tetapi ia dilakukan sebagai sunah Nabi. Selain itu, bagi ulama Syafiiyyah, wanita tidak disunatkan untuk mencium batu ini, kecuali keadaan di mataf tidak sesak dan jemaah dapat pergi dalam keadaan selesa dan selamat. Jadi sebelum mahu melangkah untuk mencium Hajar Aswad, alangkah eloknya jika jemaah lihat dahulu keadaan sekitar. Sekiranya pada ketika itu jemaah terlalu ramai dan perlu bersesak-sesak, memadai sekadar menunjukkan isyarat tangan.

"Sekiranya sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri dan orang lain, atau membahayakan, hukum mencium Hajar Aswad jatuh kepada haram. Cukuplah sekadar memberi isyarat dengan lambaian dan mencium tangan, seperti yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari.

"Agak janggal apabila melihat ibadah yang suci dan mulia ini dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam gambar dan video yang tidak kena pada masanya. Saya juga telah melihat perkembangan terkini yang ramai memuat naik video mereka menyentuh Kaabah dan Hajar Aswad di media sosial. Jika apa yang dilakukan hanya sekadar trend untuk meraih tontonan ramai, maka tinggalkanlah perbuatan yang merugikan itu," jelas Datuk Seri Dr Zulkifli.

Beliau turut menegaskan bahawa umrah adalah satu bentuk ibadah dan bukannya pelancongan kerohanian. Selayaknya, seorang hamba yang penuh dosa hadir ke tanah suci dengan penuh adab. Abadikan niat untuk melaksanakan ibadah umrah yang diterima oleh Allah SWT. Perbanyakkan doa dan memohon keampunan, tanpa sempat pun berfikir tentang content media sosial. Cukuplah segala ibadah yang dilakukan itu dilihat oleh Yang Maha Melihat.