Raya Haji

5/24/2022


ka_bah.png


Raya Haji


Hari Raya Haji adalah perayaan yang paling besar buat umat Islam seluruhnya. Asalnya perayaan tersebut adalah dari tradisi bangsa Arab Kuno. Setelah zahirnya Islam, kesemua tradisi Arab yang batil telah dimansuhkan dan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Begitulah kebijaksanaan dan kelembutan Islam; tidak hanya menghapuskan tetapi menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.


Seperti yang tercalit pada zahir namanya, Hari Raya Haji menjadi perayaan yang terbesar dan paling mulia kerana kaitannya dengan ibadat haji. Di mana perlaksanaanya adalah penyempurnaan rukun-rukun Islam. Selain ibadat haji, banyak lagi bentuk ibadat yang dikaitkan kepadanya, seperti ibadat korban dan puasa-puasa sunat. Amat ajaib bagaimana perayaan ini menjadi besar dan mulia kerana kaitannya dengan ibadat. Sesuai dengan bagaimana kemuliaan seseorang itu bergantung kepada ketakwaannya, begitu juga Raya Haji kerana banyak ibadah yang dikaitkan kepadanya. Ibadah adalah wasilah bagi umat Islam meningkatkan ketakwaan.


Justeru itu, perayaan Raya Haji bukanlah sesuatu di mana hukum-hukum agama itu boleh diabaikan. Musim tersebut sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan keimanan dengan memperbanyakkan amal ibadah semampunya. Buat golongan yang berkemampuan, sehendaknya diusahakan untuk menunaikan haji jika belum pernah dilakukan. Tetapi mengulangi haji tidak ada larangan atau halangan padanya.


Sekiranya tiada kemampuan untuk mengerjakan haji atau sudah pernah, ibadat korban sentiasa terbuka. Sesuatu yang boleh dilakukan buat diri sendiri, ahli keluarga, kaum kerabat dan umat Islam seluruhnya. Selain itu, ibadat puasa sunat pada musim itu juga telah diriwayatkan daripada Rasulullah SAW. Tidak kira ibadat yang mana satu dijadikan pilihan, selagi mana tetap sahaja mengusahakan untuk mengejarkan manfaat, fadhilat dan kemuliaan yang disebutkan berkenaan musim haji itu.


Syariat Islam yang telah diletakkan bukanlah sesuatu yang bertujuan menyusahkan dan membebankan umatnya. Hanya supaya umatnya terpandu dalam setiap urusan kehidupan mereka. Tidak ada walau secebis dari permasalahan dalam kehidupan ini yang tidak diajarkan oleh Islam. Hanya tergantung pada kesungguhan dan kekuatan iman untuk menemukan jawapan dengan bertanya kepada ahli ilmu yang benar. Setiap perkara yang dianjurkan dalam agama juga adalah bertujuan mendekatkan hamba kepada Allah SWT. Dan menjalani kehidupan yang baik di dunia dan akhirat kelak.


Bergembiralah dengan perkara-perkara yang menggembirakan Allah SWT, meraih redhaNya dan limpahan rahmatNya. Jauhilah setiap yang dilarang Allah SWT demi menjauhi marahNya dan azabNya.