Pelajaran Dari Korban

5/24/2022

unta.jpg


Pelajaran Dari Korban


Setiap perkara yang telah disyariatkan dalam Islam adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjaminkan kehidupan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Setiap perkara yang disyariatkan juga memiliki rahsia kebijaksaan yang perlu direnungkan oleh setiap umat Islam. Dengan pengetahuan itu, keimanan dalam diri akan dapat diperkukuhkan dan hati akan lebih terbuka untuk memperbanyakkan amal ibadat.


Ibadat korban juga mengandungi pelbagai hikmah atau rahsia kebijaksanaan. Di sini akan dikongsikan beberapa darinya secara ringkas.


Mengingati Kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS


Kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS adalah kisah pengorbanan yang tinggi. Demi memenuhi perintah Allah SWT, seberat mana sekalipun tetap dipatuhi. Sehingga seorang bapa sanggup mengorbankan anaknya, dan anak sanggup menjadi korban buat bapanya. Demikianlah seharusnya pengorbanan seorang hamba yang bertakwa, demi memenuhi segala suruhan Allah SWT dan menjauhi segala larangan.


Sayyidina Zaid bin Arqam RA berkata, “Para sahabat Rasulullah SAW bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Rasulullah SAW menjawab dengan sabdanya, “Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim.’” (HR Ibnu Majah)


Bersyukurlah bahawa Allah SWT tidak mensyariatkan ke atas umat Islam sesuatu yang berat seperti yang berlaku ke atas Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Kiranya diduga dengan perkara yang sama, berapa ramaikah yang sanggup memenuhinya?


Menyemai Kasih Sayang Sesama Umat


Setiap dari hasil sembelihan itu disyariatkan supaya dibahagikan kepada tiga bahagian; diri sendiri dan ahli keluarga, kaum kerabat dan sahabat, dan fakir miskin yang memerlukan. Dengan ini sahaja dapat dirumuskan, bahawa Islam berkehendak supaya umatnya itu saling mencintai dan memelihara antara satu sama lain.


Pernahkah disaksikan kegembiraan yang terzahir pada wajah mereka yang menerima pemberian daging korban? Pernahkah dikenangkan mereka yang hanya dapat menikmati lauk daging hanya jika diberikan daging korban? Tahukah anda bahawa akan datang satu masa di akhir zaman di mana kita tidak akan dapat lagi bersedekah kerana tiada lagi golongan fakir miskin? Oleh itu, manfaatkanlah setiap peluang yang masih tersisa.


Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika Haji Wida’, telah mengorbankan sejumlah seratus (100) ekor unta. Bayangkan, seramai manakah jumlah manusia yang dapat menikmati hidangan dari daging korban tersebut. Dan adakah lagi pada zaman kita kini, yang sudi melakukan korban seperti baginda SAW?