Nabi Ibrahim AS Menjadi Ayah

5/24/2022

makamibrahim.jpeg


Nabi Ibrahim AS Menjadi Ayah


Pada musim Raya Haji, umat Islam sedunia akan menjadi sibuk dengan dua bentuk ibadat. Pertamanya adalah ibadat haji dan yang keduanya pula adalah ibadat korban. Oleh kerana itu, Hari Raya Haji dinamakan juga sebagai Hari Raya Korban. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ibadat korban berasal dari Nabi Ibrahim AS.


Kemurahan Nabi Ibrahim AS


Setelah berkelana ke serata rantau menyebarkan dakwah, perjalanan tersebut membawa baginda ke Kota Baitul Maqdis dipilih baginda sebagai tempat tinggal bersama isterinya Siti Sarah dan kaum muslimin. Limpahan nikmat Allah SWT di tanah tersebut menjadikannya subur dan mendatangkan banyak hasil tanaman dan ternakan. Nabi Ibrahim AS sendiri memiliki banyak daripada kedua-duanya, dan baginda tidak pernah menahan hartanya itu daripada dikongsikan bersama orang lain. Setiap kali baginda menyembelih ternakan untuk dimasak, baginda akan menjemput siapa sahaja yang ditemukan untuk menikmatinya bersama.


Hasrat Tergantung


Kehidupan baginda di Kota Baitul Maqdis adalah suatu kehidupan yang diidamkan oleh semua. Serba cukup sekalian keperluan, dan penduduknya semua patuh kepada Allah SWT.

Namun Nabi Ibrahim AS yang pada ketika itu sudah berusia lebih 80 tahun masih belum dikurniakan zuriat. Harapan baginda adalah supaya anaknya itu dapat meneruskan usaha dakwah baginda. Sekitar tempoh inilah disebutkan di mana Nabi Ibrahim telah bernazar, “Ya Allah, telah daku korbankan segalanya ke jalanMu. Dan jika dikurniakan zuriat, akan daku korbankan juga ke jalanMu.” Dalam kefahaman baginda ketika itu, ‘korban’ bermakna; anaknya akan mewarisi usaha dakwah baginda. Bukan ‘korban’ seperti yang bakal dihadapinya kelak.


Menikahi Siti Hajar


Merasakan dirinya tidak lagi mampu untuk mengandungkan anak buat suaminya Nabi Ibrahim AS, Siti Sarah menasihati baginda untuk menikahi Siti Hajar. Sebelum berpindah dan menetap di Baitul Maqdis, Nabi Ibrahim AS ditemani isterinya pernah berusaha untuk menyebarkan dakwah di wilayah Mesir. Dalam satu peristiwa yang menimpa Siti Sarah, Raja Mesir telah menghadiahkan seorang hamba bernama Hajar.


Setelah dipujuk berulang kali, Nabi Ibrahim AS akhirnya akur kepada nasihat isterinya. Hasil daripada pernikahan ini, Allah SWT akhirnya telah mengurniakan zuriat seperti yang diharapkan. Seorang anak lelaki yang dinamakan Ismail, yang kemudian nanti akan diangkat menjadi seorang Nabi dan Rasul.