Mendahulukan Umrah

1/4/2022

Dengan dunia yang berterusan mencabar kemungkinan baharu setiap hari melalui kemajuan sains dan teknologi, gaya hidup manusia juga berterusan mengalami perubahan. Dalam bidang pengangkutan khususnya, kemajuan teknologi kapal terbang, kereta api dan perkapalan, telah menjadikan perjalanan yang jauh jaraknya menjadi dekat.


Kesannya yang paling jelas adalah dalam industri perniagaan dan percutian, kemudahan pengangkutan barang dan orang kini boleh digunakan oleh setiap individu dan bukan sahaja oleh badan kerajaan atau syarikat besar. Secara khusus ingin diberikan perhatian bagaimana segala itu telah memberi kesan yang besar kepada ibadat umat Islam; iaitu haji dan umrah.


Sayang sekali, masyarakat kini apabila diberikan peluang untuk bercuti, awal sekali yang difikirkan mungkin negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Korea dan Jepun. Sebahagian lain pula merancang untuk pergi lebih jauh ke benua Eropah dan Amerika. Tabung simpanan dibuat demi percutian tersebut, bahkan ada juga yang sanggup melakukan pinjaman peribadi. Diperhatikan majoriti yang bercuti, adalah dari kumpulan para pelajar atau lulusan universiti. Percutian tersebut dijadikan sebagai suatu cara menghilangkan tekanan atau suatu bentuk sambutan.


Di sini timbul suatu persoalan, mengapa ibadat umrah tidak dijadikan cara menghilangkan tekanan atau suatu bentuk sambutan. Mengapa tabung simpanan atau duit pinjaman dibelanjakan kepada acara yang kurang manfaatnya kalau dibandingkan dengan ibabat umrah. Terasa bahawa bentuk pemikiran kini perlu diubah dan dinilai semula, keutamaan diberikan kepada sesuatu yang lebih manfaat dan berkat.


Tiada dinafikan bahawa percutian ke tempat lain itu ada manfaatnya, di mana kita dapat membuka mata kepada pengalaman yang baru serta memberikan kehidupan lebih warna. Malah tiada juga larangan dalam agama atas percutian yang sedemikian itu. Tetapi percutian ke negara-negara yang bukan Islam contohnya, ternyata banyak ujiannya dari sudut pemakanan, aktiviti dan tempat tinggal. Juga perkara-perkara haram yang mudah dijebakkan diri dalamnya sekaligus meruntuhkan keimanan dalam diri.


Sebaliknya pula, perjalanan demi mengerjakan umrah adalah suatu acara yang meningkatkan dan mengukuhkan keimanan dalam diri. Jarang sekali jemaah umrah kembali ke tanah air tanpa mengalami perubahan dalam diri. Janganlah ditangguhkan atau diabaikan peluang untuk mengerjakan umrah, kerana tiada sesiapapun yang mengetahui apa halangan yang akan diharungi di masa depan dan bila ajal datang menjemput.