Ganjaran Korban

5/24/2022


arafah.jpg


Ganjaran Korban

Setiap apa yang dilakukan oleh hamba yang bertakwa adalah demi meraih keredhaan Allah SWT dan menjauhkan diri dari kemarahanNya. Ibadat korban adalah antara amalan yang mempunyai fadhilat yang besar, ini dapat disahkan apabila Rasulullah SAW sendiri telah mengorbankan sebanyak seratus ekor unta.


Pengampunan Besar


Imran bin Hushain RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda kepada Siti Fatimah RA, “Wahai Fatimah! Pergilah ke tempat (penyembelihan) korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu adalah merupakan pengampunan bagimu di atas dosa-dosamu yang telah lalu.” 

(HR Hakim)


Hadis ini memberikan gambaran seakan dosa-dosa akan luntur dari diri bersama aliran darah dari haiwan yang dikorbankan. Kemudian pahala pula akan mengalir buat kita sebagai ganti.


Pahala Tidak Terhitung


Zaid bin Arqam RA meriwayatkan, “Para sahabat Rasulullah SAW bertanya, “Wahai Rasulullah! Apakah yang ada pada korban itu? Rasulullah menjawab, ‘Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim’ Mereka berkata, ‘Apa yang akan kami perolehi darinya wahai Rasulullah?’ Rasulullah menjawab, ‘Bagi setiap helai rambut satu kebajikan’ Mereka berkata, ‘Bagaimana pula dengan bulu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai bulu satu kebajikan.”


(HR Ibnu Majah)


Tidak ada daya dan kekuatan bagi manusia untuk menghitung jumlah bulu dan rambut sekalipun yang ada pada tubuh dirinya sendiri. Apa sangkaannya pula tentang bulu dan rambut yang ada pada tubuh haiwan yang dijadikan korban? Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya dan berkuasa ke atasnya.


Bercabang Kepada Sedekah


Satu langkah di atas jalan kebaikan akan membuka pintu kepada jalan-jalan kebaikan yang lainnya. Begitu juga keadaannya dalam ibadat korban, setelah selesai urusannya disambung lagi dengan ibadat bersedekah. Kerana ada bahagian dari daging sembelihan itu yang dikhususkan buat golongan fakir miskin.


Peringatan


Oleh kerana besarnya fadhilat yang terhimpun pada ibadat korban, Rasulullah SAW sangat mengharapkan agar umatnya memberikan keutamaan padanya. Sehingga baginda seolah marah kepada mereka yang mengabaikannya.

Sayyidina Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berkorban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat solat kami”. 

(HR Ahmad dan Ibnu Majah)