Bagaimana Adab Di Kota Madinah

1/4/2022

Tidak terlepas dari fikiran setiap yang menziarahi Kota Madinah bahawa ianya Tanah Haram. Maka tingkah laku harus dipelihara dengan adab yang sopan sepertimana di Kota Mekah. Namun, di Kota Madinah adab perlu diperhebatkan kerana adanya Rasulullah SAW di sana.


Walaupun baginda sudah bersemadi di sana lebih 1400 tahun yang lalu, namun adab kita dalam memuliakan dan menghormati baginda tetap sama seperti hidupnya Baginda SAW. Sayyidina Anas bin Malik RA meriwayatkan, sabda Baginda SAW, “Barangsiapa yang menziarahiku selepas kewafatanku, samalah seperti dia menziarahiku ketika hidupku.” (HR Daruqutni dan Baihaqi)


Wajib buat sekalian umat Islam apabila mengingati atau diingatkan tentang Baginda SAW, merendahkan dan mengkhusyukkan hati serta menghentikan apa yang dikerjakan. Demi menzahirkan penghormatan seakan berada di hadapan Baginda SAW.


Imam Malik pemuka Mazhab Maliki pernah berkata, "Sepanjang hidupku aku tidak pernah menunggang kuda atau unta di atas Kota Madinah. Sebab aku malu aku berada di atas kendaraan, sedangkan di bawahnya ada terdapat jasad agung baginda Rasulullah SAW."


Demikian adalah contoh adab para ulama, malah ramai lagi tokoh-tokoh lain yang layak ditiru adab mereka kepada Rasulullah SAW dan Kota Madinah. Dengan itu, dirumuskan garis panduan adab untuk memudahkan umum masyarakat kini,


Adab Di Masjid Nabawi


1. Menziarahi Makam Rasulullah SAW.

    Sebaiknya setiap hari menziarahi makam Rasulullah SAW, usahakan pada setiap waktu solat fardhu. Sekira tiada mampu, maka sekali di waktu siang dan sekali di waktu malam.


    2. Jangan meninggikan suara.

      Sama ada ketika mendirikan solat, membaca Al-Quran, berzikir dan mengucapkan salam kepada Baginda SAW, gunakan suara yang lembut dan rendah. Begitu juga selama berada di Kota Madinah.


      3. Memperbanyak bacaan selawat.

        Bagi umat Islam ini adalah satu hadiah dari Allah SWT, sesuatu yang menghubungkan kita kepada Rasulullah SAW sepanjang zaman walau di mana jua. Inikan lagi sepanjang kehadiran di Kota Madinah.


        Adab Di Sekitar Kota Madinah

        1. Hayati Sirah Rasulullah SAW dan para sahabat.

          Kota Madinah disebutkan sebagai kota keimanan dan ketaqwaan. Digalakkan untuk menziarahi setiap lokasi yang mempunyai nilai sejarah sebagai usaha menyusuri perjalanan Rasulullah SAW dan para sahabat. Semoga meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam diri kita.


          2. Menghormati para penduduk.

            Sayyidina Ibnu Umar RA meriwayatkan sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang mampu meninggal dunia di Kota Madinah, maka perlakukan. Sesungguhnya aku akan mensyafaatkan sekalian yang meninggal di Kota Madinah.” (HR Tirmizi dan Ibnu Majah)


            Hadis ini seakan menerangkan bahawa setiap yang berada di Kota Madinah adalah di bawah jagaan dan jaminan Baginda SAW. Begitulah penghormatan yang sewajarnya diberikan kepada mereka, termasuklah tumbuh-tumbuhan, haiwan-haiwan, batu-batu dan selainnya.


            Rumusan

            Menyakiti ahli Kota Madinah sama seperti menyakiti Rasulullah SAW sendiri. Perbuatan itu boleh dianggap sebagai jenayah yang paling berat. Oleh itu, penjagaan adab amat penting demi memelihara kehormatan Baginda SAW.