Adab Menziarahi Madinah

1/4/2022

Adab adalah cara bagi seseorang menzahirkan penghormatan kepada sesuatu atau seseorang. Adab juga menjadi tembok pertahanan seseorang dalam memelihara sempadan antara halal dan haram.


Para ulama telah sepakat bahawa Kota Madinah itu menjadi mulia kerana kehadiran Rasulullah SAW di situ. Baginda SAW sendiri merupakan semulia-mulia para utusan Allah SWT, bahkan semulia-mulia makhluk Allah SWT seluruhnya. Dengan itu, selayaknya kita menzahirkan setinggi-tinggi adab sebagai penghormatan kepada baginda dan Kota Madinah itu sendiri.


Persiapan

Peribahasa berbunyi, “Tidak kenal maka tidak cinta” sangatlah cocok dibawakan di sini. Kerana cinta dan penghormatan tidak akan tercapai tanpa mengenali sosok diri Rasulullah SAW, dan riwayat hidup baginda bersama para sahabat. Oleh itu, selain dari menjalani kursus ibadat umrah atau haji, para jemaah seharusnya menambahkan pengetahuan tentang sirah Rasulullah SAW dan para sahabat.


Sekiranya diinginkan bahan bacaan, carilah buku yang berjudul ‘Al-Rahiq Al-Makhtum’ karangan Safiy Al-Rahman Al-Mubarakfuri. Ia merupakan kitab sirah nabawiyyah yang terbaik buat bacaan umum kerana hanya mengandungi riwayat yang sahih. Buat mereka yang lebih suka mendengar dan menonton, cubalah mencari rakaman kelas pengajian Sirah Nabawiyyah.


Persiapan seperti ini penting dilakukan sebelum bertolaknya ke sana, ini supaya waktu di sana nanti dapat ditumpukan sebaiknya kepada mengerjakan ibadat. Juga supaya mendapat penghayatan yang lebih tinggi sepanjang ziarah tersebut.


Tentang Kota Madinah

Kota Madinah menjadi destinasi pilihan untuk Rasulullah SAW berhijrah selepas 13 tahun berdakwah secara rahsia di Kota Mekah. Baginda SAW dalam masa yang sama telah membina sebuah kota Islam yang pertama di atas muka bumi. Keadaan ini memudahkan dakwah dijalankan secara terbuka, dan pengukuhan agama dapat dijalankan dalam persekitaran yang lebih aman. Sekalipun setelah Kota Mekah telah dibebaskan dari belenggu Jahiliyyah, Rasulullah SAW tetap pilih untuk kembali ke Kota Madinah dan terus tinggal di sana sehingga wafat.


Kedamaian yang telah dibina oleh Baginda SAW bersama para sahabat sehingga kini dapat dirasakan oleh para penduduk dan pelawat. Keamanan yang dirasakan di situ, menyedarkan bagaimana seharusnya kita bersyukur di atas sekalian pemberian Allah SWT. Andai bukan atas berkat usaha generasi terdahulu dalam memperjuangkan dan mempertahankan agama Allah SWT di atas muka bumi ini, maka kita juga tidak akan dapat merasakan kenikmatan ini.


Sebagai tanda kesyukuran lagi kepada Allah SWT, manfaatkanlah masa sepenuhnya dalam ibadat sepanjang kehadiran di Kota Madinah.