Ringkas Tentang Umrah

1/4/2022

Menunaikan Haji bagi yang berkemampuan adalah rukun Islam kelima, dan disebutkan dalam masyarakat sebagai ‘Haji Besar’. Kemudian ada juga yang disebutkan sebagai ‘Haji Kecil’ iaitu ibadat Umrah.

Perlu disegarkan kembali buat masyarakat bahawa hukum menunaikan umrah adalah wajib buat kali pertama, setelah itu barulah ia menjadi sunnah. Maksudnya, berdosa bila tidak dikerjakan dan beroleh pahala setelah dikerjakan. Masyarakat kini lebih mengutamakan percutian ke luar negara tanpa menyedari kewajipan umrah ini.

Ibadat umrah tidaklah seberat ibadah haji, pertama kerana ianya tidak terikat dengan waktu yang panjang dan pada tempoh yang tertentu seperti ibadat haji maka ia boleh dikerjakan sepanjang tahun. Sekalipun tidak terikat dengan masa, ibadat umrah masih lagi terikat dengan Kota Mekah. Kerana itu, dari sudut bahasa umrah diertikan sebagai ziarah. Dari sudut istilah yang disepakati oleh para ulama’ pula, diertikan dengan ziarah ke Masjidil Haram di Mekah untuk melakukan tawaf di Baitullah, dan sa’i di antara Safa dan Marwah dengan ihram.

Ringkasnya rukun umrah itu disusun dengan:

  1. Ihram beserta niat umrah; dilakukan di tempat-tempat Miqat yang telah ditentukan.
  2. Tawaf; pusingan mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali.
  3. Sa’i; berulang-alik antara Safa dan Marwah sebanyak 7 kali.
  4. Tahallul; menggunting atau mencukur rambut.
  5. Tertib.


Kefahaman yang selebihnya berkenaan umrah adalah lebih mendalam dan luas sehingga memerlukan para jemaah untuk menghadiri kursus khas. Sekalipun agama itu tidak membebankan, tidak mengertikan agama itu remeh.

Kebiasaan para jemaah umrah selain dari berkunjung ke Kota Mekah demi melaksanakan umrah, mereka turut berkunjung ke Kota Madinah demi menziarahi Masjid Nabawi dan permakaman Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah demi Allah SWT.”

Abu Hurairah RA, meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu Masjid al-Haram, Masjid Rasulullah SAW dan juga Masjid al-Aqsa”. (HR Bukhari)