Kelebihan Umrah

1/4/2022

Sentiasa berusaha untuk meraih keredhaan Allah SWT adalah ciri-ciri seorang Muslim yang berjaya. Sebaliknya, Muslim yang rugi adalah Muslim yang mengabaikan segala arahan dan larangan Allah SWT. Antara usaha terbesar yang boleh dilakukan oleh seorang Muslim adalah mengerjakan ibadat haji dan umrah.

Penggunaan kapal terbang sebagai pengangkutan kini telah menjadikan perjalanan ke Tanah Suci jauh lebih mudah berbanding waktu terdahulu. Di mana pilihan termudah adalah kapal laut yang mengambil masa beberapa bulan, dan paling laju adalah dua minggu. Penggunaan jalan darat pula pada zaman kita kini mengambil masa lebih 35 hari, maka apa pula jangkaan kita tentang zaman dahulu.

Apakah yang menjadi motivasi buat para jemaah untuk mengharungi perjalanan ke Tanah Suci malah berulang kali mengerjakan umrah? Antara kelebihan yang diriwayatkan dalam hadis berkenaan umrah adalah seperti berikut, :

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Ibadah umrah ke umrah lainnya akan menghapuskan dosa-dosa yang ada antara keduanya-duanya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah RA juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Duta Allah SWT ada tiga; orang yang berperang, orang yang mengerjakan haji dan orang yang mengerjakan umrah.” (HR Nasa’i)

Ibnu Umar RA pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Orang-orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah duta Allah SWT. Apabila mereka meminta maka akan diberi. Apabila mereka berdoa, maka akan dikabulkan. Apabila mereka berinfak, maka akan diganti. Sungguh, demi Penguasa jiwa Abu Al-Qassim (Rasulullah), tidaklah seseorang membaca talbiyah dan bertakbir dengan penuh pengagungan melainkan semua yang berada di hadapannya pun bertalbiyah dan bertakbir dengan takbirnya, bahkan tanah (tempat berdiri). (HR Imam Al-Razi dan Ibnu Al-Jauzi)

Umar bin Al-Khattab RA meriwayatkan ketika beliau meminta izin untuk mengerjakan umrah, Rasulullah SAW mengizinkannya dan bersabda, “Jangan lupakan kami dari doamu (atau dalam riwayat yang lain sertakan kami dalam doamu). (HR Abu Daud dan Tirmizi)

Hadis ini memberi suluhan bahawa berdoa ketika mengerjakan umrah itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri, sekiranya tiada begitu maka mengapa Rasulullah SAW sendiri berpesan sedemikian kepada Sayyidina Umar RA.

Banyak sahaja lagi sabda Rasulullah SAW berkenaan kelebihan mengerjakan umrah. Tetapi hanya dengan beberapa hadis yang telah disebutkan, sudah cukup untuk merangsang diri seorang Muslim supaya berusaha gigih untuk mengerjakan umrah.