Keistimewaan Kota Mekah

1/4/2022

Tiada syak lagi bahawa Kota Mekah itu menjadi mulia dengan kemuliaan Kaabah. Dibina oleh Nabi Ibrahim AS bersama anaknya Nabi Ismail AS di atas asas binaan Nabi Adam AS dan menjadi kiblat umat Islam seluruh dunia.

Kota Mekah bermula dengan kisah Siti Hajar dan Nabi Ismail AS menemukan perigi Zamzam. Adanya sumber air di kawasan tanah yang tandus, menjadikannya sumber tarikan buat masyarakat di sekitarnya sehingga tertubuhnya sebuah perkampungan dan akhirnya sebuah kota yang dikenali kini. Kota Mekah menjadi saksi perjalanan sekalian para Nabi dan Rasul dari Adam AS hingga kepada Rasulullah SAW.

Pahala Berganda

Sejumlah sabda yang diriwayatkan mengenai keistimewaan Kota Mekah, menambahkan lagi penghormatan dan kecintaan pada kota agung tersebut. Segala bentuk ibadah di Kota Mekah digandakan 10,000 hingga 100,000 kali. Oleh itu, sangat digalakkan buat para jemaah untuk merebut peluang tersebut dengan menggandakan usaha semampunya dalam beribadah. Mereka yang menenggelamkan diri dalam ibadah di sana, akan terus membawa kebiasaan tersebut ke tanah air.

Telaga Zamzam

Driwayatkan banyak keistimewaan Air Zamzam serta manfaatnya, antara yang utama adalah Air Zamzam mengikut niat peminumnya. Maksudnya di sini adalah, bagi yang mengharapkan sembuh penyakitnya akan disembuhkan. Begitu juga yang mengharapkan kekenyangan dan kelegaan.

Kaabah, Baitullah

Sabda Rasulullah SAW, “Setiap hari ada 120 rahmat yang turun di Baitullah, 60 rahmat bagi orang-orang yang tawaf, 40 rahmat bagi orang-orang yang beriktikaf dan 20 rahmat bagi orang-orang yang melihat Baitullah. (HR Thabrani)

Cukup dengan hadis yang satu ini dalam menjelaskan kemuliaan Kaabah. Seandainya seperti yang disebutkan, bahawa kasih sayang seorang ibu kepada anaknya barulah satu bahagian dari rahmat maka apa sangkaan kita pada 120 bahagian rahmat?

Dikawal Para Malaikat

Hal ini berdasarkan hadis dalam Sahih Bukhari Rasulullah SAW bersabda, “Semua negeri akan dimasuki oleh Dajjal kecuali Mekah dan Madinah, semua jalan masuk dikawal oleh para malaikat yang berbarisan.”

Peringatan

Sesetengah ulama berpendapat bahawa di Kota Mekah apabila dilakukan perbuatan yang buruk, akan dikira berganda sepertimana perbuatan baik dikira berganda. Maka sebaiknya para jemaah memelihara adab-adab sepanjang berziarah ke kota tersebut. Hukum agama memelihara kita dari terjerumus dalam kemaksiatan, amalan sunnah pula menampung kekurangan ibadat. Demikian dipagarkan lagi diri kita dengan adab serta tatasusila semoga tetap di atas jalan kebenaran.