1/4/2022
Sewajarnya sentiasa diingatkan bahawa Kota Mekah adalah Tanah Haram, maka perlu dipelihara adab-adab sepanjang kehadiran di sana. Di sini dibawakan beberapa garis panduan ringkas dan mudah buat para jemaah.
Adab Bersendiri
Masjidil Haram itu luas sekali, barangkali susah dipercayai bagi mereka yang pertama kali ke sana. Maka luangkan masa semampunya di dalam masjid sambil ber-iktikaf dan mengerjakan ibadat yang lain lagi.
Memasang niat adalah mudah, tetapi memelihara dan memenuhi niat tersebut amatlah payah. Janganlah jadikan ibadat tersebut tidak diterima akibat niat hati yang banyak berubah.
Ini meliputi sudut zahir dan batin diri dalam setiap perbuatan kita. Sehendaknya diusahakan untuk menundukkan ego dalam diri. Tiada beza antara diri kita dengan sekalian manusia yang ada di sana, hanya hamba kepada Allah SWT Yang Maha Tinggi.
Tidak semua orang mendapat peluang menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Haram, oleh itu janganlah merugikan masa di sana. Elakkan dari banyak berjalan ke pasar, kecuali atas keperluan. Jangan pula hanya di bilik penginapan, kecuali untuk berehat.
Setiap amalan baik yang dikerjakan di Masjidil Haram dikira berganda sehingga 100,000 kali. Rebutlah sebaiknya peluang tersebut dan usahakan pembaikan diri semoga pulang ke tanah air dalam keadaan diri yang jauh lebih baik dari sebelumnya.
Adab Bersama Masyarakat
Sekiranya berlaku perselisihan faham dengan orang lain, lebih utama kita diam dan memaafkan. Seperti yang dilakukan Rasulullah SAW kepada musyrikin Mekah. Apakan lagi kita, kepada saudara Islam yang lain.
Umat Islam seluruh dunia akan menuju ke Kota Mekah bagi tujuan ibadat. Maka di sana kita akan bertemu masyarakat yang berbilang bangsa. Pegangan mereka mungkin berbeza pada mazhab, maka jangan kita terlalu cepat untuk melihat kesalahan yang disangka mereka lakukan.
Di jalanan, jangan kita mengganggu jalan orang lain malah berikan laluan kepada yang ingin bergegas. Di persekitaran masjid, ramai sahaja yang sedang duduk beribadat atau beristirehat, januhi mengganggu mereka. Ketika memasuki masjid, jangan kita berhimpitan. Jangan terlalu meninggikan suara ketika berzikir dan membaca Al-Quran.
Sekiranya bersama kumpulan, rendahkan suara percakapan. Elakkan berbual perkara duniawi dan sama sekali jangan bicara tentang keburukan. Sepanjang di Tanah Suci, perbualan yang penting hanyalah antara kita dan Tuhan.
Mungkin dalam kumpulan kita akan ada golongan warga emas, kurang upaya, dan lain-lain. Jadi ringankan tangan dalam menawarkan bantuan semampunya. Begitu juga kepala yang bukan dari kumpulan kita, berikan bantuan kepada sesiapa sahaja yang kita dapati memerlukan.