Adab Menziarahi Mekah

1/4/2022

Tentang Adab

Adab adalah sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan, selain daripada memelihara sempadan kebenaran dan kebatilan. Sekalipun tindak tanduk seseorang itu benar, jika tidak dihiasi adab ianya tetap boleh membawa kepada keburukan. Sekalian tamadun sepanjang zaman dari segenap dunia memandang penting tentang adab.

Setiap tamadun atau individu, memiliki cara tersendiri dalam menunjukkan adab. Namun tujuan atau sebab untuk beradab itu mungkin sahaja sama. Oleh itu terlebih utama untuk difahami mengapa perlu kepada adab daripada difahami bagaimana beradab. Dari situ barulah dapat diaturkan garis panduan adab buat setiap satu perkara.

Tentang Kota Mekah

Maka dalam mengaturkan adab dalam menziarahi Kota Mekah, perlulah dahulu diketahui keutamaan tempat tersebut. Bagi seorang Muslim, kota tersebut sangatlah penting dan dianggap suci dengan wujudnya Kaabah dan Masjidil Haram. Selain itu, kota tersebut juga merupakan kota di mana Rasulullah SAW dilahirkan, membesar dan menerima wahyu yang pertama. Dari situlah cahaya Islam mula terpancar menerangi sekalian alam.

Sejarah telah merakamkan usaha serta pengorbanan yang ditaburkan, oleh generasi Muslimin terawal dalam menyebarkan dakwah dan mempertahankan tauhid. Sewaktu golongan Muslimin masih menetap di Kota Mekah, saban hari mereka dihadapkan dengan pelbagai tentangan oleh pihak musuh Islam.

Akan tetapi, dalam kegelapan akan akan cahaya yang menerangi. Di belenggu Jahiliyyah Mekah, munculnya tokok-tokok awal dalam Islam. Sepertinya kisah sedih keluarga Yasir RA yang terkorban, sehingga kepada kisah pengislaman Sayyidina Umar bin Al-Khattab. Tidak dilupakan juga sejarah yang lebih lama, seperti kedatangan Nabi Ibrahim AS bersama isteri baginda Siti Hajar dan anak mereka Nabi Ismail AS. Juga kisah Nabi Adam AS dan Siti Hawa bertemu kembali di Kota Mekah.

Hasil Kefahaman

Buat para tetamu Allah SWT yang bakal memenuhi panggilan Haji atau Umrah, biasanya akan melakukan persiapan dengan menghadiri kursus ibadat. Akan tetapi, itu hanyalah persiapan bagi amalan zahir. Para jemaah seharusnya melakukan persiapan jiwa, sekiranya ingin mencapai penghayatan yang tinggi sepanjang ibadat tersebut.

Pada zaman kita kini, Kota Mekah disifatkan sebagai sebuah kota yang sibuk dan hiruk-pikuk. Para jemaah sering merasakan tidak selesa sepanjang kehadiran mereka di Kota Mekah, malah di dalam Masjidil Haram itu sendiri seringkali para jemaah dihadapkan dengan pelbagai bentuk ujian.

Buat kita yang ingin memelihara adab sepanjang berada di sana, maka cekalkan jiwa dan renungkan kembali kehidupan Rasulullah SAW dan para sabahat di Kota Mekah. Jauh bezanya cabaran yang mereka hadapi jika dibandingkan dengan apa yang kita hadapi kini di Kota Mekah.

Letakkanlah kehidupan mereka sebagai contoh buat kehidupan kita. Jadikanlah Kota Mekah sebagai tempat di mana kita mempertahankan agama di dalam diri.