Tip Umrah Bulan Ramadan. Apa yang Perlu Anda Tahu?
Nurul Atikah Sarji
2025-09-12
Setiap tahun, jutaan umat Islam dari seluruh dunia berlumba-lumba menunaikan umrah pada bulan Ramadan. Tidak ketinggalan, kami bersama jemaah ikhlas.com juga berpeluang merasai ibadah umrah pada bulan suci Ramadan tahun ini.

Untuk pengetahuan anda, banyak kelebihan menunaikan ibadah umrah pada bulan Ramadan. Rasulullah SAW bersabda, "Apabila datang bulan Ramadan, maka laksanakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan menyamai haji bersamaku," Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Seperti semua sedia maklum, ibadah umrah itu sendiri memerlukan daya fizikal dan mental yang kuat. Tawaf dan saie benar-benar menguji kekuatan seorang hamba. Atas sebab itu, mungkin ramai yang masih ragu-ragu untuk menunaikan umrah pada bulan puasa. Apatah lagi kalau diduga dengan cuaca panas, tidak boleh makan atau minum dan perlu pula melaksanakan tawaf, saie dan ibadah lain.

Usah khuatir, di sini kami kongsikan sedikit tip berguna untuk anda kekal bertenaga sepanjang berada di sana.
Ambil vitamin dan makanan tambahan
Kalau anda merancang untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan, jangan lupa untuk menjaga kesihatan badan. Perjalanan ni memerlukan tenaga yang kuat kerana anda akan berpuasa sambil beribadah dengan jadual yang agak padat. Cara paling mudah adalah dengan mengambil vitamin C, minyak ikan kod dan zink.
Makanan tambahan ini boleh menguatkan imun badan dan mengelakkan tubuh daripada cepat penat. Sebaiknya, anda boleh mula mengambil vitamin ini sekurang-kurangnya dua minggu sebelum berlepas ke tanah suci supaya badan lebih bersedia dengan perubahan cuaca dan aktiviti harian di sana.
Lakukan senaman sebelum berangkat
Selain menjaga pemakanan yang sihat dan berkhasiat, fizikal anda juga mesti dilatih lebih daripada biasa. Seperti yang anda sedia maklum, berjuta jemaah dari seluruh dunia akan berkumpul di tanah suci ketika Ramadan. Bayangkan betapa ramainya orang, suasana pasti sesak, ditambah pula dengan perubahan cuaca yang mungkin berbeza daripada Malaysia.
Badan yang kurang stamina dan mudah letih pastinya akan mengganggu ibadah anda. Jadi, mula biasakan diri dengan senaman ringan seperti berjalan laju atau berjoging beberapa kali seminggu. Semoga langkah ini dapat membantu anda untuk kekal aktif, selesa bergerak yang seterusnya membantu menambah fokus pada ibadah.
Jangan tinggalkan sahur

Rasulullah SAW bersabda, “Makan sahur kerana dalam sahur itu ada keberkatan.” Sepanjang berada di tanah suci, anda mesti bersahur. Jangan sesekali tinggalkan sahur supaya anda dapat kekal fokus dan bertenaga sepanjang hari.
Antara makanan berkhasiat yang boleh diambil ketika bersahur ialah seperti, kurma, oat, yogurt, susu serta air yang cukup untuk mengelakkan dehidrasi. Banyakkan minum air zamzam ketika bersahur dan berbuka puasa.
Perbanyakkan zikir dan doa
Bukan sahaja fizikal yang perlu kuat, malah rohani juga sangat penting untuk dijaga. Sepanjang berada di tanah suci, anda digalakkan untuk sentiasa berzikir dan berdoa. Amalan ini bukan sahaja dapat mendekatkan diri dengan Allah, malah dapat menenangkan hati, menghilangkan rasa resah dan menambah keyakinan dalam setiap langkah ibadah yang dilakukan.
Hati yang sentiasa mengingati Allah akan terasa lebih tenang, sabar dan kuat dalam menempuh ujian sepanjang perjalanan umrah. Inilah sebenarnya sumber kekuatan rohani yang akan menyokong anda dari awal hingga akhir ibadah.


Uruskan masa dengan baik
Bagi jemaah yang menunaikan umrah ketika bulan Ramadan, pengurusan masa adalah sangat penting. Jika tidak dirancang dengan baik, mudah rasa letih dan akhirnya ibadah pun boleh terganggu.
Salah satu tip yang boleh anda cuba ialah melakukan ibadah umrah selepas berbuka puasa. Pada waktu ini, badan sudah mendapat tenaga semula selepas seharian berpuasa, jadi lebih mudah untuk bergerak dan beribadah dengan selesa. Suasana malam di sana juga biasanya lebih sejuk berbanding siang, jadi kurang terasa penat atau cepat dahaga.


Semoga perkongsian tip ini dapat membantu anda membuat persediaan yang lebih baik. Mudah-mudahan segala amalan anda di bulan Ramadan nanti, khususnya ketika menunaikan umrah, diterima dan diberkati oleh Allah SWT.
Baca juga: Cara Sediakan Senarai Doa Sebelum Berangkat Umrah
Related Articles
Packages
.png)















.png)























