[Tanya Ustaz] Soal Jawab Umrah
Ayu Nadirah
3/5/2024
HUKUM DAN SYARAT
Apakah hukum umrah?
Hukum umrah adalah diwajibkan ke atas setiap Muslim yang berkemampuan dan memenuhi syarat-syaratnya, paling kurang sekali seumur hidup. Inilah pendapat yang lebih kuat sesuai dengan amalan mazhab setempat di negara kita. Selain itu, pendapat ini juga dilihat lebih berhati-hati dan keluar daripada khilaf mereka yang mewajibkannya.
Bagaimanakah cara solat menghormati waktu dalam perjalanan ke tanah suci?
Solat hormat waktu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat. Solat ini wajib di qada semula setelah adanya air atau tanah, ataupun dapat menghadap kiblat. Anda juga boleh qada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar, dengan syarat anda masih berada dalam keadaan musafir. Apabila anda telah kembali ke tempat asal, maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna.
Adakah di tanah haram tiada waktu haram untuk menunaikan sebarang solat?
Secara asalnya, haram untuk melakukan solat sunat ketika waktu yang diharamkan solat. Namun, pengharaman tersebut dikecualikan bagi seseorang yang berada di Masjidil Haram. Pandangan ini merupakan pandangan mazhab Syafie yang membenarkannya secara mutlak tanpa mengkhususkan solat sunat tawaf semata-mata seperti pandangan masyhur dalam mazhab Hanbali. (Lihat: Syarh al-Muhazzab, 4/177)
Bolehkah berhutang untuk melakukan umrah?
Berhutang untuk menunaikan ibadah umrah dibolehkan, asalkan hutang tersebut tidak mengandungi unsur riba dan pendapatan yang dimiliki mencukupi untuk melunaskan hutang dan perbelanjaan yang perlu untuk ibadah ini. Jika seseorang berhutang untuk menunaikan ibadah umrah, namun tidak memiliki kemampuan untuk membayarnya, maka hal ini tidak dibenarkan.
Adakah perlu membaca doa-doa tertentu ketika umrah? Atau bebas membaca doa yang kita mahu dan fahami?
Terdapat beberapa doa yang disunatkan untuk dibaca ketika menunaikan umrah. Namun, tidak ada doa tertentu yang diwajibkan untuk dibaca. Anda bebas membaca doa yang anda mahukan dan memahami ertinya.
Bilakah waktu terbaik untuk mengucup hajarul aswad?
Tidak ada waktu khusus yang ditetapkan untuk mencium hajarul aswad.
PERSOALAN WANITA
Adakah wanita perlu menunggu selama 24 jam setelah habis haid untuk melaksanakan tawaf?
Wanita yang telah habis haid tidak perlu menunggu selama 24 jam untuk melakukan tawaf. Cukup sekadar yakin dan pasti haidnya telah selesai dan boleh terus melakukan tawaf.
Bolehkah wanita mengambil pil menahan atau melambatkan haid untuk menunaikan umrah?
Hukum jemaah wanita menggunakan pil pencegah haid adalah harus. Namun anda perlu mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan terlebih dahulu. Sekiranya penggunaan pil pencegahan haid mendatangkan kemudaratan, maka ia perlu dielakkan.
Adakah wanita yang sedang haid boleh beriktikaf di perkarangan masjid?
Berdasarkan pandangan jumhur fuqaha’, wanita yang sedang haid tidak dibenarkan beriktikaf di perkarangan masjid.
Apakah hukum wanita yang pergi menunaikan umrah tanpa izin suaminya?
Harus bagi seorang wanita untuk pergi menunaikan umrah tanpa mahram dengan syarat ditemani paling kurang oleh dua orang wanita yang boleh dipercayai. Bagi mereka yang menunaikan umrah bagi kali kedua dan seterusnya, maka mengikut jumhur para ulama perlu untuk ditemani oleh suami atau mahram.
Bolehkah wanita yang sedang haid melakukan saie?
Majoriti fuqaha tidak mengharamkan wanita yang sedang haid untuk melaksanakan rukun-rukun haji dan umrah, termasuk saie, melainkan larangan bertawaf. Oleh itu, wanita yang sedang haid boleh melaksanakan saie dari bukit Safa ke bukit Marwah. Hal ini kerana suci daripada hadas hanya termasuk dalam perkara sunat saie dan bukan menjadi syarat saie, maka sah pelaksanaan saie ketika wanita sedang haid.
LARANGAN SEMASA IHRAM DAN DAM
Apakah hukum memakai wangian semasa dalam keadaan ihram?
Penggunaan wangian ketika sedang dalam ihram adalah dilarang dan wajib membayar dam jika melanggar hukum ini, dengan syarat sengaja dan mengetahui haramnya. Tetapi jika anda memakainya dalam keadaan terlupa atau tidak tahu akan hukumnya, maka dimaafkan serta tidak perlu membayar dam. Anda perlu segera menghilangkannya saat anda sedar akan perkara tersebut.
Pakaian ihram berbau wangi selepas dibasuh. Bolehkah ia dipakai untuk melakukan umrah?
Menggunakan kain ihram yang berbau wangi (atas sebab menggunakan pelembut kain) selepas berniat ihram adalah tidak dibenarkan dan dikenakan dam (takhyir dan takdir). Ini kerana tujuan dan maksud penggunaan pelembut kain itu untuk mewangikan. Dan ini seperti yang dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji dalam buku Fiqh Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah menyatakan, "penggunaan tisu lembap yang terdapat wangian dan juga softland bertujuan berwangian tidak boleh digunakan semasa dalam ihram." Sebaiknya hilangkan wangian pada kain ihram tersebut terlebih dahulu sebelum memakainya.
Bagaimana jika pakaian ihram terkena wangian yang ada pada badan?
Sekiranya terdapat wangian pada badan sebelum memakai ihram, anda perlu hilangkan wangian itu terlebih dahulu, kemudian barulah memakai kain ihram bagi mengelakkan bauan tersebut terkena kain ihram yang boleh menyebabkan dam.
Kepala gatal, kemudian menggaru dan ada beberapa rambut gugur. Apakah hukumnya?
Sekiranya rambut itu gugur dalam keadaan kita tidak menyedari akan kegugurannya, maka tidak mengapa selagi mana kita tidak melihat rambut yang gugur itu. Namun sekiranya gugur dan nampak jelas ada rambut di telapak tangan, maka anda dikenakan dam.
Jika rambut gugur dengan sendirinya, perlukah membayar dam?
Sekiranya seseorang yang berihram itu melihat rambut yang gugur dan ia syak adakah rambut itu gugur disebabkan perbuatannya atau gugur dengan sendiri, maka tidak dikenakan dam ke atasnya. Kerana tidak yakin dengan sebab gugurnya rambut itu. Ini kerana (الاصل براءة الذمة) maksudnya keadaan asal seseorang itu bebas daripada tanggungan. (Lihat, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/321)
Bagaimana status wanita yang mengalami keputihan berlebihan ketika dalam ihram?
Hukum keputihan dan kelembapan faraj adalah berbeza seperti berikut:
- Lembapan faraj keluar dari tempat yang diwajibkan basuh ketika istinjak iaitu yang jelas ketika duduk mencangkung (had zahir) adalah suci dan tidak membatalkan wuduk.
- Cecair keputihan yang keluar dari dalaman faraj (batin al-faraj) adalah najis dan membatalkan wuduk.
- Keputihan yang keluar berterusan dihukumkan seperti wanita istihadah dan sah wuduk hanya untuk satu solat fardu.
TAWAF
Apa perlu buat jika jemaah terlupa kiraan pusingan tawafnya?
Jemaah hendaklah mengambil bilangan terkecil sekiranya was-was terhadap bilangan pusingan tawaf. Contohnya, anda ragu-ragu antara pusingan keempat atau kelima, maka anda dikira masih dalam pusingan keempat.
Apakah hukum selfie atau bergambar semasa melakukan tawaf?
Bergambar semasa tawaf adalah dibenarkan selagi mematuhi syarat-syarat sah tawaf dan niat tidak berubah kepada selain tawaf. Namun, anda perlu menghormati tempat suci serta memastikan tindakan anda tidak mengganggu ibadah orang lain.
Apakah hukum melakukan umrah dengan skuter walaupun mampu untuk berjalan?
Hukumnya harus selagi mana tidak menimbulkan riak dalam diri.
Bolehkah seseorang berehat sebentar semasa melakukan tawaf?
Boleh berehat sekiranya letih ketika melakukan tawaf, kemudian sambung semula di tempat anda berhenti.
Apakah hukum memegang kaabah sewaktu melakukan tawaf umrah?
Perbuatan memegang kaabah ketika tawaf merupakan perbuatan yang membatalkan pusingan tawaf tersebut. Ini kerana dengan memegang kaabah, maka sebahagian anggotanya berada di dalam kawasan kaabah.
Apakah hukum berbual semasa melakukan tawaf?
Hukumnya adalah makruh.
Semasa melakukan tawaf sambil membawa anak, si kecil keluarkan najis dalam pampersnya, adakah perlu mengulangi tawaf itu?
Tidak perlu mengulangi tawaf tersebut, cukup sekadar sambung di tempat berhenti untuk pergi cuci. Cukup sekadar mengulangi tawaf di pusingan terakhir waktu keluar sahaja. Contohnya, anda keluar pada pusingan kelima, jadi apabila kembali untuk melakukan semula tawaf, sambung daripada pusingan kelima.
Siapakah golongan yang wajib melakukan tawaf wada’?
Semua golongan yang melakukan Haji dan Umrah wajib melakukan tawaf wada’.
Apakah hukum tidak melakukan tawaf wada’?
Hukum tawaf wada’ adalah wajib. Jika ditinggalkan, maka dikenakan dam iaitu menyembelih seekor kambing.
Apa perlu buat dan dilarang buat selepas selesai tawaf wada’?
Tiada apa yang perlu dilakukan selepas tawaf wada', cuma ada beberapa larangan yang perlu dijaga sehingga keluar dari tanah haram. Jika anda tidak akan terbatal tawaf wada tersebut dan perlu buat semula. Perkara yang menjadi larangan, tidak boleh dilakukan dan membatalkan tawaf wada adalah:
- Membayar hutang yang boleh ditangguhkan.
- Bersedekah semasa dalam Masjidil Haram atau dalam perjalanan balik ke tempat penginapan (jika bersedekah sambil berjalan tidak tercari-cari mukthun maka tidak batal).
- Membeli barangan yang tiada kaitan dengan keperluan perjalanan seperti tasbih, minyak wangi, cincin, tudung, makanan burung dan sebagainya.
- Berlengah-lengah di dalam Masjidil Haram sehingga menyebabkan perjalanan bersama jemaah lain terganggu.
- Mengambil gambar, meminta pertolongan orang lain untuk mengambil gambar dan membantu mengambil gambar di dalam Masjidil Haram atau semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan. Anda hendaklah mengambil gambar dalam Masjidil Haram lebih awal iaitu sebelum tawaf wada'.
Sekiranya anda telah melakukan larangan tersebut, anda perlu mengulangi tawaf wada'. Jika tidak, anda dikira berdosa dan wajib membayar dam.
Apa wanita haid perlu buat bagi menggantikan tawaf wada’?
Wanita yang sedang datang haid ketika ingin melakukan tawaf wada’ diberikan keringanan baginya untuk tidak melakukannya. Sekiranya dia telah bersih daripada haid dan masih berada di Mekah, maka wajib ke atasnya untuk melakukan tawaf wada’.
SAIE
Apakah hukum tidak berwuduk atau terkentut ketika melakukan saie?
Seseorang yang melakukan saie tidak diwajibkan ke atasnya untuk suci daripada hadas mahupun najis ataupun berwuduk. Bahkan jika anda melakukannya dalam keadaan berhadas mahupun terdapat najis pada badan, saie anda tetap dikira sah.
Perlukah melaksanakan tujuh pusingan saie secara berturut-turut? Adakah perlu ulang semula daripada pusingan pertama jika perlu ke tandas pada pertengahan saie?
Jika anda perlu ke tandas pada pertengahan saie, anda boleh berhenti dan melanjutkan semula dari tempat berhenti tadi. Namun, anda perlu memastikan bahawa bilangan pusingan yang dilakukan adalah sebanyak tujuh kali.
BERCUKUR
Adakah boleh menggunting rambut di bilik hotel buat wanita?
Boleh menangguhkan tahalul sehingga ke bilik hotel. Namun perlu dijaga setiap pantang larang ihram kerana selagi tidak tahalul, anda masih terikat dengan pantang larang ihram.
Apakah hukum bertahalul dengan hanya mencabut rambut tanpa menggunakan gunting?
Hukum bertahalul dengan mencabut rambut secara terus tanpa menggunakan gunting atau pencukur adalah dibolehkan dan sah. Namun perlu diingatkan bahawa sekurang-kurangnya tiga helai rambut yang harus dicabut.