Hukum Buat Haji atau Umrah dengan Pinjaman. Anda Perlu Tahu!
Nurul Atikah Sarji
7/16/2024
Impian bagi setiap Muslim sudah tentu ingin menjejakkan kaki ke Kota Suci Makkah dan Madinah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup untuk menyempurnakan umrah bagi anda yang berkemampuan.
.png)
Menurut kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (30/314), umrah secara bahasa bererti ziarah, sementara daripada segi istilah yang disepakati oleh kebanyakkan ulama adalah tawaf di Baitullah dan sa’ie di antara Safa dan Marwah dengan ihram. Sama seperti Haji, hukum mengerjakan Umrah adalah wajib sekali seumur hidup bagi yang memenuhi syarat-syaratnya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang berbunyi:
الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ
Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya. Dan haji yang mabrur tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan syurga).” Riwayat Al-Bukhari (1773) dan Muslim (1449)
Sudah tentu, untuk menunaikan haji mahupun umrah memerlukan sejumlah kos yang banyak dek kerana melibatkan jarak perjalanan, pengangkutan dan kemudahan hotel sepanjang berada di kedua-dua kota suci ini. Ramai di antara kita teringin untuk menjejakkan kaki kesana, tetapi masih tidak berkemampuan. Namun, pada masa kini, terdapat banyak perbankan Islam yang menawarkan pinjaman kewangan untuk tujuan itu.
Adakah umat Islam boleh untuk membuat pinjaman untuk melaksanakan haji atau umrah?
Menurut bekas mufti, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menurut kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (7/20), jika seseorang yang berhutang melaksanakan ibadah haji menggunakan duit yang dipinjam, hajinya tetap sah sebagai haji wajib (haji fardhu) dalam Islam. Ini bermakna, jika dia kemudian mampu secara kewangan, dia tidak lagi wajib menunaikan haji lagi. Ini sesuai dengan pendapat Imam al-Nawawi dalam kitabnya yang mengatakan haji dianggap sah dan menjadi haji Islam (haji fardhu) jika dikerjakan oleh seorang Muslim yang mumayyiz (berakal), baligh (dewasa) dan merdeka.
Menurutnya, menunaikan haji atau umrah melalui pembiayaan mahupun pinjaman institusi kewangan hukumnya harus tetapi perlu ada dua pertimbangan yakni:
- Pinjaman tanpa riba: Allah SWT bersabda dalam surah al-Baqarah (275) yang bermaksud, “Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”. Jadi, pinjaman tersebut tidak boleh mengandungi unsur riba.
- Pendapatan lebih dari keperluan: Bagi sesiapa yang ingin menunaikan umrah atau haji, perlulah mempunyai pendapatan yang lebih cukup untuk menanggung kehidupan sehariannya dan orang yang dalam tanggungannya. Jika tidak, kewajipan untuk melaksanakan haji atau umrah tidak tertanggung atasnya, walaupun dia mengambil pinjaman dari institusi kewangan.
Selain itu, ikhlas.com juga menanyakan pendapat mengenai hal ini kepada pendakwah bebas iaitu Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani. Menurutnya, menunaikan umrah melalui pembiayaan mahupun pinjaman institusi kewangan dibolehkan. Akan tetapi, hal ini dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak (peminjam dan pemberi pinjam).
Selain itu, tenaga pengajar Maahad Dar Al-Maliki, Ampang iaitu Ustaz Muazzin Zhafran Bin Md Zain turut menjelaskan bahawa diharuskan untuk melakukan pinjaman untuk melaksanakan haji mahupun umrah.
“Terdapat khilaf dari beberapa ulama', dan mengikut pendapat Imam Yusuf Al-Qardawi, hukumnya adalah HARUS dan ini adalah pendapat kebanyakan ulama', dengan syarat:
“Hutang tersebut terhindar dari unsur riba', contohnya harga asal pakej umrah RM7000 tapi sebab dia hutang, dia bayar RM7500 (kerana ada penambahan caj interest) maka transaksi ini dilarang."
"Selain itu, syarat kedua iaitu orang yang berhutang mampu melunaskan hutang tersebut dan tidak memaksakan diri," katanya kepada ikhlas.com
Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-20 telah membincangkan isu menunaikan haji atau umrah melalui pembiayaan atau pinjaman dari institusi kewangan. Mereka menyatakan bahawa hukum membenarkan orang yang berhutang untuk menggunakan skim pinjaman wang dari institusi kewangan untuk menunaikan fardhu haji atau umrah, dengan syarat orang tersebut yakin mampu membayar balik hutang dan tidak menjejaskan kehidupan normal mereka.
Dengan memenuhi syarat-syarat yakni pinjaman tidak mempunyai unsur riba serta pendapatan haruslah melebihi sara diri, ibadah haji atau umrah yang dibiayai melalui pinjaman tetap sah dan dibenarkan dalam Islam. Tidak dilupakan juga, seseorang itu perlulah mempunyai niat yang benar, yakni pinjaman tersebut diambil dengan niat yang ikhlas untuk menyegerakan pelaksanaan perintah Allah SWT, bukan semata-mata untuk berkunjung ke tanah suci.
Semoga artikel ini bermanfaat kepada pembaca di luar sana. Tekan pautan ini untuk semak pembayaran secara ansuran untuk menunaikan umrah bersama ikhlas.com.
