Cara Sediakan Senarai Doa Sebelum Berangkat Umrah

Ayu Nadirah

6/17/2025

Cara Sediakan Senarai Doa Sebelum Berangkat Umrah.pngMenunaikan ibadah umrah dinilai sebagai perkara terbesar yang dialami oleh seorang Muslim sepanjang hidupnya. Bagi kebanyakan orang, bukan mudah untuk menjejakkan kaki di bumi Makkah dan Madinah. Ada yang seumur hidup hanya mampu sekali sahaja menunaikan umrah. Ada juga yang dikurniakan rezeki untuk kerap ke sana. Biar apapun situasi dan rezeki anda, pastinya setiap kali menerima jemputan Allah, ia adalah sesuatu yang cukup istimewa dan mesti dimanfaatkan sebaik mungkin.

Selain wajib menyempurnakan ibadah umrah itu sendiri yang terdiri daripada tawaf dan saie, jemaah juga perlu memanfaatkan setiap masa di sana dengan perbanyakkan ibadah dan berdoa bersungguh-sungguh di tempat mustajab doa.

Setiap hari setelah solat, anda biasa memanjatkan doa kepada Allah. Ada kalanya, bait-bait doa itu seperti diulang-ulang setiap hari sehingga hilang rasa ikhlas dalam memohon kepada Yang Maha Esa. Persoalannya kini, bagaimana untuk benar-benar berdoa setulus hati sepanjang anda berada di tanah suci yang diangkat sebagai tempat mustajab doa?

Merancang & Menulis Senarai Doa

Sebelum berangkat menunaikan umrah, anda boleh curi masa bersendirian dan senaraikan segala doa serta keinginan yang ingin dipanjatkan kepada Allah. Selami diri anda dengan baik. Setiap manusia pastinya mempunyai keinginan, masalah atau luahan hati yang ingin disampaikan kepada Allah.

Setiap apa yang terdetik di hati, anda perlu catat. Tujuannya adalah supaya anda ingat apa yang mahu didoa setibanya anda di tanah suci. Fitrah manusia, sememangnya mudah leka dan lupa. Anda tidak mahu perkara itu terjadi semasa mengerjakan umrah. Berada di tempat mustajab doa, tetapi anda tidak betul-betul luahkan segalanya, bakal menjadi sebuah kerugian yang besar sebagai seorang hamba.

Antara adab ketika berdoa adalah anda perlu meminta kepada Allah dalam keadaan diri yang bersangka baik denganNya. Anda mesti berdoa dengan penuh harap dan yakin akan diperkenankan Allah. Selain itu, sebagai adab juga adalah dengan memuji Allah sebelum meminta sebarang hajat. Banyakkan juga berselawat kepada Rasulullah SAW.

Contoh senarai doa yang boleh anda buat adalah seperti berikut:

  • Pertama, mintalah keampunan buat diri sendiri dan kedua ibu bapa. 

  • Kemudian mintalah kebaikan akhirat seperti kematian yang mulia, husnul khatimah. Minta juga cinta, redha dan syurga Allah.

  • Memohon rezeki berpanjangan yang halal dan berkat, semoga dengan rezeki itu dapatlah anda gunakan ke arah kebaikan dan menuju reda Allah. 

  • Meminta jodoh yang baik.

  • Mendoakan kebaikan suami dan anak-anak.

  • Mintalah segala perkara keduniaan yang anda inginkan, selagi mana ia bukanlah sesuatu yang salah di sisi Islam. 

  • Luahkan segala isi hati, masalah yang dialami secara terperinci. Mengadu, merengeklah kepada Allah.

  • Tutup doa anda dengan berdoa semoga Allah berikan yang terbaik buat anda, yang terbaik menurutNya dan menyerahkan segala urusan kepada Allah.

Tulis setiap kata-kata doa yang ingin anda baca dalam buku ataupun telefon pintar, supaya nanti lebih mudah untuk anda ingat dan ungkapkan ketika berdoa. Pecahkan doa mengikut kategori seperti disenaraikan di atas. Karang ayat dengan baik dengan menyebut nama-nama Allah dan pujian kepadaNya dalam setiap perkara yang anda doakan.

Selain itu, jangan lupa untuk mendoakan orang lain. Sesungguhnya berdoa kepada seseorang tanpa pengetahuannya adalah mustajab dan kebaikan yang didoakan akan berbalik kepada orang yang mendoakan.

Berdoa di MakkahDaripada Abi Darda’ RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ، إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ

Maksudnya: “Tidak ada seorang hamba yang Muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan),” Riwayat Muslim (4912).

Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Maksudnya: “Doa seseorang Muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu),” Riwayat Muslim (4914).

Menangis dan merintihlah ketika memanjatkan doa. Semoga senarai doa ini bukan sahaja berguna di tanah suci, malah dirujuk dan diulang-ulang setiap hari setelah kembali ke tanah air.

Baca juga: [Tanya Ustaz] Soal Jawab Umrah