Sebaiknya Tunai Umrah Ketika Muda, Ini Sebabnya!
Hanan Latip
2025-09-03
Ibadah umrah memerlukan banyak pergerakan. Fizikal jemaah perlu bersedia kerana perjalanan untuk ke tanah suci sahaja memerlukan lapan ke sembilan jam, dicampur pula pergerakan menaiki bas dan sudah tentu ibadah tawaf dan saie itu sendiri.
Tawaf: Satu pusingan (dekat dengan Kaabah) lebih kurang 500 meter. 500 meter x tujuh pusingan bersamaan dengan 3.5 km.
Saei: Bukit Safa ke Bukit Marwah 450 meter (sekali jalan). 450 meter x tujuh bersamaan dengan 3.15 km.

Apakah Kelebihan Mengerjakan Umrah ketika Muda?
Peluang Mencipta Kenangan Manis di Usia Muda
Sekiranya anda berpeluang untuk melakukan umrah ketika muda, ia bermakna anda telah dipanggil oleh Allah SWT dalam keadaan tubuh yang kuat. Setiap langkah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi akan menjadi kisah indah yang boleh diceritakan kepada generasi akan datang.
Anda juga bebas menentukan sama ada mahu mengikut pakej umrah ataupun menunaikan umrah secara DIY. Pada usia yang muda, anda juga tiada masalah untuk melakukan aktiviti ziarah tambahan seperti mendaki Jabal Nur untuk ke Gua Hira.
Menolong Jemaah Uzur dan Kurang Upaya
Kehadiran golongan muda amat membantu golongan yang lebih tua dan kurang upaya, biarpun hanya sekadar memimpin mereka ketika berjalan, menolak kerusi roda, membimbing ketika tawaf dan sebagainya. Anggap saja mereka sebagai ibu ayah dan datuk nenek anda. Pastinya kebaikan ini akan dipandang Allah.
Mempunyai Stamina dan Kesihatan yang Baik
Umrah memerlukan tenaga yang banyak untuk melaksanakan tawaf, saie, ziarah luar dan rutin ke masjid pada setiap waktu solat. Ketika muda, badan anda masih lagi kuat dan mudah untuk melakukan ibadah dengan lebih sempurna. Nikmat ini yang patut disyukuri dengan sentiasa mencari ruang untuk perbanyakkan ibadah dan mengumpul bekalan pahala.

Panggilan Allah untuk Mendekatkan Diri di Usia Muda
Usia muda amat mencabar dengan pelbagai godaan duniawi. Tidak usah menunggu usia tua untuk melaksanakan umrah. Masa muda adalah kesempatan terbaik untuk kembali kepada Sang Pencipta dan taat menurut perintahNya.
Merehatkan Diri daripada Kesibukan Dunia
Apabila berada di Makkah dan Madinah, anda pasti akan berasa dekat dengan Allah SWT. Tambahan pula, tujuan anda ke sana untuk beribadah dan mendekat diri denganNya. Ketika berada di sana, anda hanya perlu fokus beribadah dan tenangkan diri tanpa perlu memikirkan soal kerja.
Ibadah umrah pada usia muda ternyata lebih mudah atas faktor kekuatan fizikal serta kemampuan daripada segi masa dan tenaga. Seeloknya, anda gunakan kesempatan ini dengan baik. Waktu sihat dan kuat inilah anda perlu mantapkan kualiti ibadah, sebelum tibanya saat sedikit demi sedikit nikmat itu diambil semula oleh Yang Maha Besar.
Ayuh gunakan kesempatan sihat sebelum sakit dengan menunaikan umrah!
Related Articles
Packages




























.png)
.png)












