Tip Mengubati Post Umrah Depression Setelah Pulang ke Tanah Air

Ayu Nadirah

5/1/2025

Kerinduan yang melampau kepada tanah Makkah dan Madinah sering dikaitkan dengan post umrah depression. Pernahkah anda mengalami perasaan di mana anda berasa sedih, kosong dan menanggung beban rindu setelah pulang daripada mengerjakan umrah? Hari-hari yang dilalui pasti akan mengingatkan anda kepada setiap tempat dan momen indah sewaktu beribadah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Untuk pengetahuan anda, post umrah depression adalah perubahan emosi dan gangguan psikologi yang dialami oleh seseorang, setelah kembali daripada menunaikan ibadah umrah di tanah suci. Pengalaman spiritual yang mendalam saat umrah memberi impak yang cukup besar, apatah lagi buat mereka yang pertama kali menunaikannya.

Tip Mengubati Post Umrah Depression Setelah Pulang ke Tanah Air.png

Adakah Normal untuk Seseorang Mengalami Post Umrah Depression?

Sudah menjadi kebiasaan bagi kebanyakan jemaah untuk berasa murung dan sedih setelah tiba di tanah air. Suasana di tanah suci amat berbeza berbanding tanah anda berpijak setiap hari.

Selama ini banyak masa dihabiskan di tempat kerja dan sibuk dengan urusan duniawi. Namun, semuanya anda tinggalkan sebaik sahaja kaki melangkah ke bumi Makkah dan Madinah dengan tujuan beribadah. Hati dah fikiran diserahkan sepenuhnya kepada Sang Pencipta. Masa-masa di sana dipenuhi dengan ibadah. Diri pula terasa sangat dekat dengan Allah.

Perubahan rutin dan perasaan ini bakal membuahkan sedikit gangguan emosi kepada jemaah yang sudah pulang. Setiap hari, hati akan meronta-ronta untuk kembali ke sana. Terbayang keindahan Kaabah di depan mata, saat anda betul-betul merayu dan merintih berdoa kepada Allah.

Usah khuatir, kerana perasaan murung sebegini adalah normal sejurus meninggalkan tanah suci. Anda tidak berseorangan dalam menanggung beban emosi ini.

Bagaimana Cara Mengatasi Post Umrah Depression?

Namun, jangan terlalu hanyut dengan emosi sedih yang melampau. Cukuplah sekadar merindui dan memasang niat untuk datang kembali ke rumah Allah. Hakikatnya, Allah berada di mana-mana sahaja dan sentiasa dekat dengan anda. Sifat Allah itu tidak bertempat.

Tip Mengubati Post Umrah Depression Setelah Pulang ke Tanah Air 2.png

Setiap hari banyakkan doa bersungguh-sungguh semoga anda berkesempatan menjadi tetamu Allah berulang kali. Selain itu, tingkatkan amalan yang boleh menjemput kasih dan redaNya. Banyakkan solat sunat, berzikir dan membaca al-Quran umpama anda berada di tanah suci.

Amalan yang biasa anda lakukan di Makkah dan Madinah, jangan sesekali anda tinggalkan setelah pulang ke tanah air. Tetapkan hati untuk istikhamah dalam beribadah, biarpun berpisah beribu batu jauhnya daripada tanah penuh berkat.

Ayuh amalkan doa meminta rezeki menunaikan umrah dan haji ini:

“Ya Allah, berikanlah kami rezeki untuk ziarah rumahMu yang mulia, rasulMu yang mulia, pada tahun ini, pada setiap tahun, dalam sebaik-baik keadaan.”