Boleh ke Masuk Makkah Balik Hari?
Hanan Latip
8/29/2024
Pernah tular di media sosial yang mana seorang influencer di Malaysia telah memuat naik video pergi ke Makkah dan balik hari tetapi tidak sempat melakukan ibadah umrah. Individu itu turut menyatakan bahawa tujuannya ke sana untuk membeli minyak wangi yang hanya terdapat di tanah suci itu.
Menjawab persoalan ini, kami telah telah mendapatkan pendapat daripada Ustaz M.Iqbal Hanif bin Mohamed Rusdi, mutawif di ikhlas.com.
Boleh ke masuk Makkah balik hari?
Menurut Ustaz Iqbal, umat Islam boleh masuk Makkah balik hari jika ada urusan. Tetapi jika tiba-tiba dia hendak melakukan umrah sesudah sampai di Mekah hendaklah dia berniat di tempat miqat terlebih dahulu. Jika lakukan ibadah haji, miqatnya dari tempat tinggalnya atau dari masjid Al-Haram tetapi jika ibadah umrah pula, miqatnya ialah di mana-mana tanah halal namun yang paling afdhal adalah di Ji’ranah, Tan’im dan Hudaibiyah.
"Jika dalam perjalanannya ke Makkah baru ada keinginan untuk melakukan haji atau umrah maka hendaklah dia langsung berniat dan berihram dari tempat yang dia berkeinginan melakukan haji atau umrah." (Rujuk kitab Attaqrirat Assadidah mukasurat 489 & 490)
Bagi menjawab persoalan di atas, perbuatan untuk balik hari ketika berada di Makkah adalah dibolehkan tetapi adalah lebih baik untuk melakukan umrah terlebih dahulu kerana sudah berada di tanah suci ini. Alangkah ruginya melepaskan peluang memperoleh keberkatan dan pahala menunaikan ibadah umrah. Wallahualam.