Aku Datang dengan Dosa, Pulang dengan Air Mata
Marini Mat Zain
2026-01-05
Aku bukan orang yang sempurna. Sering alpa mengingat Allah, doa pun tak selalu panjang. Tapi entah mengapa, Allah tetap izinkan aku sampai ke Tanah Suci. Saat kaki melangkah di bumi Makkah, aku sedar, mungkin ini bukan tentang siapa yang paling layak, tetapi tentang kasih sayang Allah yang tidak pernah menilai seperti manusia.
Pasti ramai menyimpan rasa yang sama. Sukar untuk dipercaya ketika memijak kaki kali pertama di bumi anbiya. Perasaan berbelah bahagi, semua berlabuh di dalam. Rasa cemas, ragu-ragu, dan kecil di hadapan kebesaran-Nya. Namun di balik setiap langkah, ada tenang yang perlahan-lahan datang, seolah jiwa ini mula mengenal jalan pulang.

Keraguan tadi berubah jadi syukur, dan setiap hembusan angin terasa seperti panggilan lembut untuk lebih dekat, lebih tunduk, lebih mengerti erti hadir di tanah yang diberkati. Alhamdulillah, sebagai insan paling kerdil di sisi-Nya, Allah mendorong jalan mudah untuk segala urusan.
Masjid Bir Ali atau Masjid Miqat Dzul Hulaifah menjadi persinggahan miqat jemaah dari Madinah. Usai solat dan berniat di bawah kelolaan mutawwif, kami langsung meneruskan perjalanan ke kota Makkah. Hati semakin berdebar ibarat mahu bertemu janji dengan kekasih buat kali pertama.
Niat umrah: Sahaja aku berumrah dan berihram untuk umrah kerana Allah.
Niat bersyarat: Jika sekiranya aku terhalang dengan halangan maka aku bertahallul di mana tempat aku terhalang dengan kehendakNya.

Setelah sembilan jam penerbangan dan dicampur lebih empat jam perjalanan darat, tibalah kami di kota Makkah. Langitnya kelihatan sama, tetapi udaranya berbeza. Ada tenang yang tidak terucap.
Sebelum bertemu ‘sang kekasih’, kita pasti ingin membersihkan diri. Namun dalam kesucian ihram, ada batas yang harus dijaga, jangan menarik rambut, memotong kuku dan sebagainya. Setiap larangan mengajar tentang disiplin dan keikhlasan bahawa ibadah ini bukan sekadar fizikal, tetapi penyerahan diri sepenuhnya.
Ramai risau tentang rambut yang gugur ketika mandi atau berpakaian. Mutawwif selalu berpesan, basahkan tubuh sekadar perlu, jangan menggosok ubun-ubun. Andai perlu bersyampu, keringkan lembut tanpa menyentuh kulit kepala kerana setiap helaian rambut itu juga amanah dalam ihram.
Bagi mereka yang punya masalah kesihatan pula, persediaan fizikal amat penting. Pengambilan ubat dan rehat secukupnya menjadi bekal tenaga untuk melakukan tujuh kali pusingan kaabah ketika tawaf dan tujuh kali ulang-alik di antara Bukit Safa dan Marwah ketika ibadah sa'i. Inilah rukun yang menguji bukan hanya kaki, tapi hati.
Niat Sa'i: "Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku hendak mengerjakan saie antara Safa dan Marwah tujuh kali sebagai Saie umrah kerana Allah Taala."
Saat Kaabah mula kelihatan dari kejauhan, dada terasa sempit oleh debaran. Tangan menggigil memegang telefon, ada doa tersimpan di dalamnya. Teringat perbualan kecil di atas kapal terbang tadi.
“Baca apa? Panjang nampak?”
“Doa saya tulis sendiri,” jawabnya.
“Kamu tak tulis doa?” Soalnya kembali.
Saya hanya tersenyum, lalu bergurau, “Saya tengah merajuk.”
Sahabat itu hanya tertawa kecil, namun kata-katanya selepas itu membuat saya diam. “Jangan merajuk dengan Tuhan. Tukarlah rajuk itu menjadi rintih, dan rintih itu jadi reda.”
Lantas, saya mula menulis doa sendiri. Baru dua baris, air mata jatuh. Rupanya rintihan yang ditahan selama ini adalah bentuk cinta yang tak tahu bagaimana mahu disampaikan.

Ketika melakukan tawaf, hanya sekali saya membaca doa yang tersusun. Selebihnya, yang keluar hanyalah dialog jujur, tanpa hafalan, tanpa hiasan. Hampir mendekati pusingan ketujuh, hati terasa sebal, seakan tidak mahu ibadah ini berakhir. Namun saya terus berdialog dengan Ilahi, mengadu dalam diam di tengah lautan manusia.
Biar dirempuh emosi namun, langkah mesti dijaga. Bahu kiri kekal menghadap Kaabah, bibir basah dengan zikir. Kerana di rumah Allah, adab adalah sebahagian dari cinta. Kemudian kami sudahi dengan ibadah sa'i.
Sempat tinggal beberapa hari di Makkah, melakukan ziarah luar dan dalam. Dalam sela waktu itu, banyak hal dipelajari. Bukan sekadar melihat, tetapi mendalami. Setiap langkah membuka kisah, setiap tempat menyimpan sejarah. Tanah suci ini tidak hanya mengajar tentang ibadah, tetapi tentang asal-usul pengorbanan, kesabaran, dan cinta para pendahulu yang menghidupkan agama ini.
Niat Tawaf Wida': "Niat sahaja aku Tawaf Wida' sebanyak tujuh pusingan mengelilingi kaabah kerana Allah Ta'ala."
Sebelum meninggalkan kota Makkah, jemaah disunatkan solat tawaf. Tawaf Wida’ ini bukan sekadar selamat tinggal, ia seperti janji hati untuk kembali lagi. Biasanya dilakukan lapan jam sebelum berangkat pulang, dalam keadaan berwuduk dan penuh kesedaran. Sepanjang tawaf, doa bebas, yang penting, ikhlas.

Namun perlu diingat, selepas tawaf ini tidak lagi dibenarkan berlama-lama, membeli-belah, atau bersedekah, termasuk merakam gambar atau video, seolah-olah Allah mahu setiap jiwa pergi dengan tenang, tanpa keterikatan dunia.
Saat langkah terakhir di bumi Makkah, dada terasa sesak.Perpisahan ini berat, meski hati tahu ia bukan pengakhiran. Setiap inci tanah ini menyimpan rindu, setiap hembusan angin menyebut nama-Nya.
Barangkali kunjungan kali pertama ini belum sempurna. Namun doa saya tetap satu — semoga diizinkan kembali, bukan hanya sebagai tetamu, tetapi sebagai hamba yang benar-benar mengenal Tuhannya.
Related Articles
Packages


.png)





.png)































