logo

Skip to content

Skip to footer

Dekati al-Quran Dalam Kehidupan Seharian

Ayu Nadirah

4/29/2024

_Ayesha_Syahira_Dekati_al-Quran_Dalam_Kehidupan_SeharianKongsi_Cara_Berkomunikasi_Dengan_Allah.jpg

Berbicara tentang kata-kata daripada Allah SWT, Sang Pencipta telah lama berkomunikasi dengan kita sejak turunnya al-Quran. Setiap susunan ayat dalam kitab suci umpama Allah sedang bercerita kepada kita tentang banyak perkara merangkumi dunia dan akhirat. Rugilah kalau tidak mempelajari dan mendalami ayat al-Quran, kerana semua perintah dan larangan sudah terbentang jelas di dalamnya. Segala permasalahan juga ada cara penyelesaiannya menurut al-Quran.

Selepas bercerita tentang komunikasi dengan Allah, kali ini Ayesha Syahira berkongsi pula tentang perjalanan dirinya dalam mendekati al-Quran dengan lebih mendalam. Semoga ia menjadi inspirasi buat semua untuk berusaha mendalami kalam Allah ini. 


Bagaimana bermulanya langkah Ayesha dalam mendalami al-Quran?

"Saya bermula dengan membaca terjemahan al-Quran. Daripada situ, saya nampak lebih jelas akan suruhan Allah seperti menutup aurat, solat, menghormati kedua orang tua dan sebagainya. Oh, rupanya semua itu ada tertulis dalam al-Quran. Sejak itu juga saya mula menulis nota tentang ayat yang saya jumpa, yang seterusnya menjadi permulaan kepada aktiviti Quran Tag.

"Selain itu, saya juga berdoa agar saya dipertemukan dengan guru al-Quran yang sabar mengajar saya. Sehinggalah saya sertai satu Islamic camp yang menjadi titik pertemuan saya dengan seorang ustazah. Dia mengajar saya dengan penuh kesabaran, apatah lagi saya mengalami kesukaran dalam makhraj, ada perkataan yang susah untuk saya sebut dengan betul. Ustazah adalah insan yang paling sabar yang saya kenal."


Bagaimana caranya untuk kekal disiplin dalam membaca al-Quran setiap hari?

"Mungkin Allah telah memilih saya untuk berada di jalan ini. Saya tidak bekerja pejabat dari 9 pagi ke 5 petang. Selepas tamat belajar, saya memulakan bisnes sendiri atas sebab nak kumpul duit untuk ke kelas agama. Masa saya juga saya boleh tentukan sendiri. Sebelum berkahwin, saya mempunyai banyak peluang dan masa untuk belajar agama. Malah selepas berkahwin pun, saya masih dapat teruskan perkara yang sama.

"Belajar tentang agama ini memerlukan komitmen yang tinggi. Awal-awal dulu memang merangkak ketika mengaji, kerana saya kurang pandai tajwid. Saya tetapkan selama dua minit setiap hari untuk membaca al-Quran. Saya lakukan rutin ini untuk memupuk disiplin terlebih dahulu. Selepas sudah biasa dengan rutin ini, bacaan pun semakin lancar, saya tambah masa menjadi kepada lima minit, kemudian 10 minit, hinggalah satu jam atau lebih. Dengan adanya kemudahan di telefon bimbit masa kini, lebih mudah untuk baca al-Quran di mana-mana saja. 

"Saya yakin ramai di luar sana yang setiap hari berjuang dengan kekangan masa untuk bekerja, menguruskan keluarga dan sebagainya. Susah nak dapatkan masa terluang. Kalau anda bekerja, cuba untuk curi masa membaca al-Quran. Selit juga seminit atau dua minit sehari. Saya yakin anda akan dapat ganjaran yang lebih. Dalam kesibukan menjalani urusan dunia, anda tetap selitkan masa untuk Allah. Berbeza pula dengan situasi saya. Saya rasa kalau saya yang Allah beri banyak masa lapang ini, tidak juga membaca al-Quran, takut di akhirat nanti Allah akan persoalkan."


Apa yang menjadi motivasi untuk jadikan al-Quran sebagai pendamping harian?

"Kita selalu dengar, ada saja alasan untuk tidak mengaji. Tidak pandai tajwid, tiada masa dan sebagainya. Semua itu sebenarnya bukanlah penyebab anda tidak membaca al-Quran. Tetapi sebab membacanya bukan menjadi niat utama dalam kehidupan anda. Ia bukan sesuatu yang anda betul-betul mahukan. 

"Cuba bayangkan, jika anda tidak bekerja. Tentu anda tidak dapat duit untuk dapatkan keperluan. Jadi, mesti sukar untuk anda teruskan hidup dengan baik. Melalui situasi ini, kita dapat tahu yang setiap sesuatu yang kita buat, memerlukan motif atau tujuan. Apa tujuan membaca al-Quran? Sebab ia adalah komitmen seorang hamba kepada Allah. Kita semua mahukan redha Allah. Ia menjadi tiket untuk kita menuju ke syurgaNya. Kita nak lakukan semua perkara yang Allah suka dengan harapan mendapatkan ganjaran terbesar di akhirat kelak. Jadi, sibuk mahupun tidak, kena juga berusaha belajar tajwid untuk lancarkan bacaan. Kuatkan tujuan membaca al-Quran sehingga tiada lagi alasan untuk meninggalkannya. 

"Mungkin faktor persekitaran yang kurang memberi tekanan kepada penghayatan al-Quran yang menyebabkan ramai memandang ringan soal ini. Tetapi saya percaya yang fitrah kita sebagai manusia sememangnya dengan Allah. Sampai suatu masa, akan ada momen yang menarik kita untuk kembali kepada Allah dengan menjaga solat, berdoa, membaca al-Quran dan sebagainya. Ini adalah cara Allah memanggil kita untuk kembali dekat dengan Dia."


Apakah langkah awal yang perlu dibuat dalam mendekati al-Quran?

"Paling penting adalah sentiasa berdoa kepada Allah untuk mendapatkan keberkatan waktu. Dengannya, anda dapat selitkan waktu untuk membaca ayat suci Allah. Barangkali perasaan berat untuk mendekati al-Quran adalah kerana dosa yang banyak. Jadi, perbanyakkan juga taubat, memohon keampunan daripada Allah setiap hari. 

"Kembalilah kepada al-Quran dan tadabbur. Cuba dekati dan fahami ayat cinta daripada Allah. Tak kenal, maka tak cinta. Allah berulang kali menyebut tentang ganjaran syurga dan keindahannya dalam al-Quran. Tanya kepada diri sendiri, kenapa kita masih malas untuk mengejarnya?"


Apakah satu ayat al-Quran yang memberi makna besar dalam hidup Ayesha?

dekati_al-Quran.png

"Apabila melihat kepada ayat ini, ia bukan terhad kepada ujian semata, tetapi juga tentang peluang. Contoh, jika anda diberikan peluang untuk melakukan sesuatu di luar keselesaan anda, anda biasanya akan menolak kerana tak yakin dengan diri sendiri. Padahal, Allah telah meletakkan anda di tempat itu, sebab Allah tahu yang anda boleh lakukannya. Saya berikan contoh situasi yang berlaku kepada diri saya sendiri, di mana sebelum ini saya telah menolak beberapa kali peluang menulis buku. Biarpun dipujuk Editor, hati masih belum terbuka ketika itu. Namun, apabila saya terjumpa potongan ayat ini dalam nota saya, hati terdetik untuk membuka peluang buat diri sendiri. Saya yakin bahawa jika Allah yang mendorong peluang ini kepada saya, mesti Dia juga yang akan menolong saya. Daripada sudut ujian pula, berlapanglah hati dalam menjalaninya. Panjatkan doa kepada Allah supaya kita dapat lalui semua itu dengan mudah dan tidak membawa kita jauh dari Allah."


Baca pula, Ayesha Syahira Kongsi Cara Berkomunikasi Dengan Allah