Terlepas Tengok Sakura? Ini 5 Bunga Lain yang Ada di Jepun

Hanan Latip

6/10/2024

Rata-rata yang berkunjung ke Jepun, pasti ingin melihat sendiri keindahan bunga sakura yang merupakan bunga kebangsaan negara Matahari Terbit itu. Jepun begitu popular dengan bunga-bungaannya yang cantik dan ia sememangnya antara tarikan utama pelancong pergi ke sana. Namun jika anda terlepas untuk tengok bunga sakura, jangan risau, anda masih berkesempatan untuk lihat bunga-bungaan yang lain. Nak tahu lebih lanjut? Teruskan membaca artikel ini!

1. Shibazakura

Alang-alang sudah berada di Tokyo, teruskan saja perjalanan anda ke Gunung Fuji kerana terdapat Festivall Shibazakura yang sememangnya terkenal di Jepun dan seluruh dunia.  Shibazakura ataupun The Moss Phlox popular kerana telah membuatkan Gunung Fuji dihiasi indah dengan hamparan karpet dari bunga Shibazakura, dengan kombinasi warna merah jambu dan putih. 

Suasana ini sememangnya sedap mata memandang lebih-lebih lagi ia berlatar belakangkan Gunung Fuji yang indah. Gunung Fuji saja sudah cantik, apatah lagi ditambah dengan hiasan bunga-bungaan di kawasan sekitar kawasannya. Beruntungnya jika anda dapat merasai sendiri juga merakam momen sebegini!

2. Wisteria

Anda pernah lihat pokok yang tergantung cantik dan jatuh berjurai seperti ini? Bunga ini antara yang paling cantik selepas bunga sakura dan juga dirujuk sebagai pokok yang paling indah di dunia. Rata-rata pelancong dan penduduk tempatan akan ke kawasan-kawasan ini untuk melihat bunga wisteria ini.

  • Kawachi Fujien Wisteria Garden
  • Ashikaga Flower Park
  • Mandaraji Park
  • Byakugou-ji Temple dan banyak lagi

Kawachi Fujien Wisteria Garden dan Ashikaga Flower Park pernah disenaraikan sebagai 31 Tempat Paling Cantik di Jepun dan 10 Destinasi Impian 2014 oleh CNN. Mustahillah jika Jepun tidak melakukan festival bunga jika ada bunga yang secantik ini. Festival Wisteria sering kali diadakan di Kameido Tenjin yang terletak di daerah Koto, Tokyo dan lebih daripada 50 spesis bunga wisteria ada di sini!

Tempat ini juga popular kerana dikenali sebagai “Tempat paling terkenal untuk wisteria di Tokyo” kerana bunga-bungaan dan pemandangannya juga dapat dilihat indah melalui refleksi di kolam. Seperti melihat cermin! Sungguh indah dan harus difotokan!

3. Azalea

Pokok renek azalea berbunga cantik kerana berwarna cerah seperti warna pink, putih, ungu, kuning dan merah pasti membuatkan pengunjung teruju dan gembira kerana warnanya yang berbeza, menyerlah dan berbau harum!

Jika diperhatikan kelopak bunganya secara dekat, anda boleh perhatikan ada kelopak yang berbentuk rata, melengkung, dan bergelombang. Walaupun cantik dan kelihatan menarik, tapi awas bunga ini beracun daripada semua bahagian seperti daun, bunga, hingga serbuk sari. Ia mengandungi racun yang disebut grayanotoxins.

Pengunjung boleh berkunjung ke Azalea Park dan puncak Mount Tokusenjo untuk melihatan kecantikan bunga Azalea ini. Jika anda merancang ke Mount Tokusenjo, pendakian anda ke puncak ditemani dengan bunga-bungaan pasti tidak terlalu melelahkan! Istimewanya di sini, ada 2 jenis pokok azalae yang ditanam iaitu azalea gunung dan azalea Jepun. 

4. Baby Blue Eyes

Bunga Baby Blue Eyes atau nama saintifiknya Nemophila merupakan tanaman berbunga yang liar tapi boleh dibuat untuk berkebun dan sering dilihat menghiasi halaman rumah! Pada musim bunga, anda boleh melihat bunga ini sekitar hujung April hingga pertengahan May dan sejauh mata memandang di Miharashi Hills sekitar 3.5 hektar berwarna biru lembut seakan-akan permaidani biru. Miharashi Hills yang sememannya terkenal dengan kunjungan ramai pelancong luar, maka anda diingatkan untuk melawat lebih awal dan elakkan datang pada hujung minggu ataupun musim cuti. 

Pemandangan yang menakjubkan seperti lautan biru ini pasti tidak akan dilupakan untuk dibawa pulang ke Malaysia nanti. Anda juga boleh melancong ke Hitachi Seaside Park, taman yang juga di dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga seperti daffodil, tulip dan nemophila!

5. Tulip

Tahukah anda, bunga tulip merupakan bunga rasmi wilayah Toyama dan bandar Tonami adalah salah satu pengeluar utama mentol tulip di Jepun? Bunga tulip mentol ini telah mula ditanam di Tonami sejak 1918. Ketika musim bunga, Tonami Tulip Park pasti akan mengadakan pameran terbesar bunga tulip yang akan mempamerkan 3 juta pokok dan beraneka warna. 

Jangan lupa untuk bersiar-siar dan bergambar dengan hamparan bunga kerana ada lebih 300 jenis tulip dan tulip hidroponik terapung di dalam kolam. Menarik bukan? Antara tarikan utama yang terdapat di sini ialah disediakan persembahan tarian juga nyanyian. Ada juga lokasi lain yang boleh dikunjungi untuk melihat bunga tulip ialah di Nabana no Sato dan Hirugano Kogen Bokka no Sato.

Teringin nak bercuti ke Japan tapi takut susah nak bergerak? Jomlah melancong dengan ikhlas.com Travel! Semuanya dah disediakan anda tinggal siapkan bagasi je!