Tempat Shopping Mesti Singgah di Korea
Nurul Atikah Sarji
1/18/2024
Tahukah anda bahawa Seoul merupakan syurga untuk pelancong membeli belah! Bukan sahaja kaya dengan produk kecantikan, anda juga akan menghabiskan masa anda untuk melihat pelbagai barangan aksesori bagi wanita, kraf tangan, pakaian dan barangan antik.
- Ukuran pakaian di Korea Selatan mengikut saiz orang Asia iaitu ianya jauh lebih kecil daripada ukuran negara barat.
- Sesetengah pusat membeli-belah besar tidak membenarkan anda untuk mencuba pakaian daripada rak. Pelajari untuk kenali saiz pakaian anda sebelum membelinya.
- Pakai makeup yang nipis kerana ada sesetengah kedai kosmetik tidak membenarkan untuk anda mencuba barangan kosmetik mereka jika anda sudah mengenakan makeup yang tebal.
- Kebanyakan stor di sana terutamanya di Seoul menerima debit/kredit kad, tapi cuba sediakan juga wang tunai untuk membayar barangan yang bernilai kecil bagi menjimatkan wang jika ada caj tambahan untuk penggunaan kad.
Jom kita ketahui lapan tempat menarik untuk membeli belah di kota Seoul:
Dongdaemun

Dongdaemun merupakan salah satu kawasan membeli belah borong dan runcit yang terbesar di Seoul. Di kawasan ini juga mempunyai kira-kira 26 pusat membeli belah dan mempunyai 30,000 buah kedai. Anda boleh mendapatkan pelbagai variasi barangan seperti tekstil, pakaian, kasut, barang kemas, barangan kulit, mainan dan sebagainya.
Selain daripada membeli-belah, anda juga boleh melihat pelbagai pertunjukan fesyen dan persembahan muzik di sepanjang jalan.
Myeong-dong

Myeong-dong merupakan salah satu kawasan yang harus anda lawati jika berniat untuk membeli-belah di Seoul. Di sini, anda boleh ke Lotte Department Store, Lotte Young Plaza dan Noon Square Shopping Mall. Kesemua pusat beli-belah ini menyediakan pelbagai produk penjagaan kulit dan kosmetik terkini kerana terdapat lebih daripada 1,000 jenama Korea yang terkenal seperti Nature Republic, Etude House, The Face Shop dan sebagainya.
Selain daripada kawasan yang menjual pelbagai produk kecantikan, anda juga boleh mencuba pelbagai makanan tradisional Korea seperti tteokbokki, ayam goreng pedas Korea bulgogi dan banyak lagi. Pastinya di sini ada pilihan makanan halal juga mesra Muslim ya!
Hongdae
Kawasan Hongdae yang terletak di tengah-tengah Seoul merupakan kawasan yang kaya dengan fesyen. Selain itu, kawasan ini terletak berhampiran dengan Universiti Seni Hongik dan menjadikan ramai golongan muda yang bersiar-siar di kawasan ini.
Selain daripada menyediakan pelbagai kedai-kedai kosmetik dan butik fesyen, terdapat juga galeri seni dan kafe yang boleh anda lawati. Yang penting, semua sudut di kawasan ini sangat ‘instagramable’ tau !
Starfield COEX Mall
Mempunyai lebih dari 300 jenama, anda boleh mendapatkan pelbagai barangan fesyen, kecantikan sehingga barangan elektronik. Selain itu, Starfield COEX Mall juga sangat berbeza dengan kawasan membeli belah yang lain kerana mempunyai perpustakaan yang menyediakan rak buku 13 meter yang mempunyai lebih daripada 50,000 bahan bacaan.
Bagi pengembara yang membawa si cilik, anda boleh membawa mereka ke CEOX Aquarium yang mempunyai lebih daripada 650 spesies marin.
Apgujeong

Bagi yang menyukai barangan berjenama anda boleh mengunjungi Apgujeong yang merupakan kawasan yang mempunyai pelbagai barisan butik-butik mewah seperti Goyard, Valentino, Saint Laurent dan banyak lagi.
Di sekitar kawasan ini juga terdapat Galleria Department Store yang menjual pelbagai kasut, beg, aksesori, peralatan sukan dan pakaian yang berjenama daripada pereka yang terkenal.
Selain itu, di kawasan ini juga terdapat kafe-kafe mewah dan restoran yang berkonsepkan fine dining.
Itaewon

Kawasan ini mempunyai lebih daripada 100 kedai yang menjual pelbagai barangan fesyen import, barangan kulit, beg tangan, kasut, cenderamata mahupun barangan antik. Selain itu, jika ada yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan penjahit tempatan juga ada di sini.
Insa-dong
Bagi peminat barangan antik, anda boleh berkunjung ke Insa-dong. Selain itu anda akan dapat melihat pelbagai kedai yang menjual teh tradisional dan juga deretan kedai buku di sepanjang lorong.
Bagi yang suka akan seni dan tradisi Korea, di sini memang tempat yang sesuai buat anda kerana kawasan ini terletaknya pelbagai galeri seni, seperti Galeri Hakgojae yang mempamerkan seni rakyat. Selain itu, anda juga boleh melawat Galeri Seni Gana yang mempamerkan karya-karya seniman Korea Selatan.
Pakaian tradisional warga Korea Selatan seperti hanbok juga boleh didapati di sini. Selain daripada mempunyai ruang pejalan kaki, setiap sudut di Insa-dong juga sangat ‘istagramable’!
Jangan lupa untuk menikmati konsert klasik, pameran seni, dan mencuba makanan jalanan Korea yang sedap semasa anda singgah ke kawasan ini.
Samcheong-dong

Ingin merasai aura retro? Anda boleh berkunjung ke Samcheong-dong yang mempunyai deretan pelbagai kedai yang unik. Di kawasan ini juga terdapat pelbagai kafe-kafe mewah dan popular.
Jadi, ingin membeli belah di Korea Selatan? Jom kita menerokai Korea Selatan bersama IKHLAS Travel sekarang!