Itinerari 3H2M ke Bandung Tanpa Bajet Besar
Nurul Atikah Sarji
2025-08-24
Bandung, Indonesia dikenali sebagai "Paris Van Java" (Paris dari Jawa), kota yang penuh warna, sejuk dan mendamaikan. Terletak hanya dua jam dari Jakarta, Bandung adalah destinasi yang terkenal dengan syurga membeli-belah, makanan tradisi Sunda, serta pemandangan semula jadi yang menakjubkan. Kalau anda cari percutian yang ‘healing’ tapi masih boleh shopping sepuasnya, ini itinerari tiga hari dua malam yang boleh anda ikut!
Hari Pertama: Berjalan Sekitar Kota Bandung
Selamat tiba di bumi Bandung! Selesai urusan imigresen dan mengambil bagasi, kami disambut oleh pemandu pelancong dari ikhlas.com yang ramah. Dari sini, perjalanan menarik kami bermula!
Menghargai Sejarah dan Keunikan Kota Bandung
Kami memulakan lawatan bandar dengan melihat Bangunan Konferensi Asia Afrika iaitu mercu tanda bersejarah yang menjadi lokasi pertemuan penting pemimpin Asia dan Afrika pada 1955. Bangunan ini kini menjadi muzium yang menampilkan koleksi gambar, artifak dan dokumentasi sejarah.
Kemudian, kami ke Alun-Alun Bandung, dataran utama yang menjadi titik tumpu sejarah sejak zaman penjajahan Belanda. Di sini kami dapat melihat gabungan seni bina lama dan baharu, serta merasai suasana tempatan yang meriah.
Selain itu, kami tidak ketinggalan dalam bergambar di Braga Street, lorong klasik dengan bangunan kolonial dan kafe hipster. Kami juga singgah di Gedung Sate, bangunan ikonik dengan tusuk sate di puncaknya, simbol rasmi wilayah Jawa Barat.

Solat di Masjid Al-Jabbar
Selepas makan, kami terus menunaikan solat di Masjid Al-Jabbar. Sebuah masjid moden yang gah dengan reka bentuk futuristik dan landskap taman air yang menenangkan. Ruang solatnya luas dan sangat selesa untuk pelawat yang datang.
Masa Membeli-belah di Jalan Riau
Kemudian, kami meneruskan aktiviti kegemaran ramai iaitu membeli-belah di Jalan Riau! Di sini terdapat pelbagai factory outlet ternama yang menawarkan pakaian berjenama pada harga diskaun. Daripada jeans Levi’s, baju kemeja, kasut, hingga ke aksesori, semuanya ada bagi memenuhi cita rasa ramai!
Makan Malam dan Daftar Masuk Hotel
Hari pertama diakhiri dengan makan malam di restoran makanan asli Indonesia, sebelum daftar masuk ke hotel. Masa untuk rehat dan segarkan badan bagi hari esok yang lebih menarik!
Hari Kedua: Lembang – Alam Semula Jadi & Fantasi
The Lodge Maribaya
Destinasi pertama hari ini ialah The Lodge Maribaya. Ini merupakan satu lokasi yang menawarkan panorama alam semula jadi yang luar biasa. Terletak di kawasan berbukit dengan hutan pine yang sejuk dan segar, tempat ini sesuai untuk mereka yang suka bergambar. Aktiviti menarik termasuk sky bike, hammock dan menjejak air terjun.

Lembang Floating Market
Seterusnya, kami meneruskan langkah ke Lembang Floating Market, sebuah pasar unik di mana gerai makanan terapung di atas air! Anda boleh menaiki sampan kecil dan menikmati pelbagai makanan tradisional seperti batagor, siomay, tahu gejrot dan minuman segar. Pemandangan tasik yang tenang menambahkan suasana santai di kawasan ini.
Lembang Farm House dan Hobbit House
Setelah makan, kami pergi pula ke Farm House Lembang, tempat yang sangat popular dengan suasana ala Eropah. Ia lengkap dengan rumah Hobbit, taman bunga dan haiwan ternakan kecil seperti kambing dan arnab. Kami sempat bergambar dengan pakaian tradisional Eropah yang boleh disewa di sini!

Shopping Lagi di Rumah Mode
Lawatan diteruskan ke Rumah Mode, antara factory outlet terbesar dan terkenal di Bandung. Pilihan barangan di sini lebih eksklusif dan bergaya. Suasana dalamannya juga tenang dan nyaman, lengkap dengan kafe dan landskap taman kecil.
Hari Ketiga: Tiba Waktu untuk Pulang
Pasar Baru Trade Centre
Sebelum bergerak ke lapangan terbang, kami singgah dahulu di Pasar Baru. Ia adalah pasar yang mesti anda siggah kalau sudah berada di Bandung. Di sini anda boleh membeli telekung, kain batik, t-shirt Bandung, makanan ringan seperti keropok udang dan dodol, serta pelbagai ole-ole menarik dengan harga borong!
Tibalah masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Bandung yang indah dan pulang ke Kuala Lumpur dengan memori yang tidak akan dilupakan.
Teruja dengan intinerari ini? Layari pautan ini untuk melihat tawaran ke Bandung bersama ikhlas.com Travel dengan pakej yang murah!
Related Articles
Packages






























