Ada Apa di Taman Mini Indonesia Indah (TMII)?
Nurul Atikah Sarji
5/2/2025
Taman Mini Indonesia Indah (TMII) merupakan satu destinasi pelancongan yang terletak di ibu kota Indonesia, Jakarta. Berlokasi di Jakarta Timur, TMII adalah satu destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi bagi setiap pelancong untuk mendekati budaya Indonesia yang unik.
Sebenarnya, taman ini merupakan satu kompleks yang mempunyai miniatur daripada pelbagai budaya, seni bina yang menarik daripada setiap etnik di Indonesia. Antara tarikan yang ada di sini adalah seperti di bawah.
Anjungan Daerah
Salah satu tarikan utama TMII adalah miniatur bangunan serta rumah adat dari seluruh negeri di Indonesia. Dikenali sebagai Anjungan Daerah, anda dapat melihat pelbagai koleksi kebudayaan dari 33 negeri di Indonesia. Semua ini dipaparkan dalam Anjungan Daerah yang setiap miniatur mempunyai seni bina tradisional serta menampilkan pelbagai busana, tarian dan tradisi daerah. Menariknya lagi, Anjungan Daerah ini dibina di sekitar tasik dengan miniatur kepulauan Indonesia. Kawasan ini dibahagikan kepada enam zon iaitu Jawa, Sumatera, Kalimantan, Sulawesi, Bali, Nusa Tenggara, Maluku dan Papua.
Istana Anak-anak Indonesia
Bangunan berbentuk istana ini seakan-akan istana dalam dongeng kanak-kanak, Cinderella. Bangunan utama istana iaitu Graha Widya Tama, berdiri dengan empat tingkat dan memiliki menara tinggi melangit.
Taman Lagenda Keong Emas
Taman ini adalah taman hiburan klasik yang memiliki 14 muzium yang bertemakan ilmu pengetahuan, budaya dan teknologi. Sangat sesuai bagi ibu bapa yang ingin membawa anak-anak bersiar-siar dan menikmati pemandangan memukau.
Sky World
Sky World merupakan satu taman rekreasi yang terdapat dalam TMII. Bertemakan angkasa lepas dan aeronautik, taman ini sangat menarik untuk semua lapisan masyarakat untuk mendekati angkasa lepas dengan lebih mendalam.

Dunia Air Tawar
Dunia Air Tawar pula adalah destinasi rekreasi yang menyajikan koleksi yang bertemakan 'Indonesia dan dunia air tawar.' Taman ini dipenuhi dengan pelbagai jenis akuarium yang berfungsi sebagai tempat rekreasi, pendidikan, penyelidikan dan juga pemuliharaan alam. Terletak di sebelah selatan kawasan TMII, taman ini berlokasi di antara Muzium Serangga dan Taman Bunga Keong Emas. Bangunan ini berwarna hijau air yang menenangkan serta mempunyai dua tingkat dengan keluasan 5,500 meter persegi. Lokasinya berada di tepi sebuah tasik buatan yang mengelilingi dan membentuk lingkaran air tawar.