Itinerari 5H4M ke Jepun Musim Sejuk

Nurul Atikah Sarji

2025-06-01

Konichiwa! Musim sejuk menjadi waktu yang sesuai untuk ke negara matahari terbit. Kali ini, ikhlas.com ingin berkongsi itinerari lengkap selama lima hari empat malam dalam musim sejuk. Sebelum bergerak lanjut ke itinerari lengkap, anda perlu ingat untuk membawa baju dalam kuantiti yang banyak. Suhunya boleh mencecah 10 darjah Celcius atau lebih rendah, jadi amat digalakkan untuk mengenakan pakaian berlapis di sana.

262.png

Apa yang menarik di sekitar Jepun? Jom baca artikel ini selanjutnya. 

Hari Pertama: Selamat Datang ke Tokyo

Perjalanan bersama ikhlas.com Travel bermula dari Terminal KLIA2. Setelah menaiki penerbangan AirAsia X yang cukup selesa, kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pada waktu petang. Selesai urusan imigresen, kami disambut mesra oleh pemandu pelancong tempatan yang fasih berbahasa Inggeris dan Melayu. Kemudian, kami terus dibawa ke hotel untuk daftar masuk dan menikmati set bento halal.

Hari Kedua: Terokai Tokyo & Nikmati Wagyu Halal

Hari kedua yang indah di bumi Nippon ini dimulakan dengan sarapan bento di hotel. Destinasi pertama adalah Asakusa, kawasan bersejarah yang menempatkan kuil tertua di Tokyo iaitu Sensoji Temple. Di sini, kami dibawa untuk berjalan melalui Kaminarimon Gate dan Nakamise Shopping Street yang penuh dengan cenderahati menarik.

Sensoji temple.png

Setelah bersiar-siar di Sensoji Temple sehingga tengahari, sudah tentu perut pun terasa lapar. Berbeza dengan agensi travel yang lain, ikhlas.com Travel membawa pengunjung semua untuk menikmati wagyu halal berkualiti tinggi yang boleh didapati di Yakiniku Panga. Sudah tentu, ini pengalaman yang sangat berharga buat kami. Selepas itu, kami singgah solat di Masjid As-Salaam Okachimachi.

266.png

Perjalanan hari kedua diteruskan ke Ameyoko Street di Ueno yang menjadi syurga barangan tempatan. Seterusnya, kami dibawa ke Ginza untuk mengunjungi gedung Uniqlo yang terbesar di Jepun yang dibangunkan dengan 12 tingkat.

Kami turut dibawa ke Nissan Crossing. Galeri ini persembahkan teknologi canggih dan terkini daripada Nissan yang mampu menarik tumpuan peminat kereta. Setelah penat berjalan, kami tutup hari kedua dengan menikmati makan malam sajian Jepun sebelum pulang ke hotel.

Hari Ketiga: Keindahan Gunung Fuji & Syurga Beli-Belah

Setelah siap menikmati sarapan bento di hotel, kami dibawa menikmati keindahan Gunung Fuji. Perjalanan dari hotel menuju ke Gunung Fuji mengambil masa selama dua jam 30 minit. Sepanjang perjalanan, mata disajikan dengan pemandangan yang amat memukau. Rugi kiranya tidak merakamkan setiap momen di sini. Setelah sampai di kawasan kaki gunung, kami singgah di Saiko Iyashino Sato Nemba. Lokasi ini adalah sebuah perkampungan tradisional yang tenang dengan pemandangan Gunung Fuji. 

Gunung Fuji.png

Kami kemudiannya makan tengahari di restoran halal dan bergambar di Oishi Park yang juga mempunyai pemandangan indah berlatar belakangkan Gunung Fuji. Seterusnya, kami melangkah pula ke Masjid Fujikawaguchiko untuk solat jamak zohor dan asar sambil menikmati suasana tenang kawasan pegunungan.

Kepada shopping lover, jangan lepaskan peluang untuk ke Gotemba Premium Outlet. Pusat membeli-belah terbesar di Jepun ini menempatkan lebih 200 jenama terkenal. Setelah penat membeli-belah, kami disajikan dengan makan malam halal sebelum pulang semula ke Tokyo.

Hari Keempat: Shibuya, Harajuku & Shinjuku 

Hari keempat bermula dengan lawatan ke Azabudai Hills More JP Tower yang merupakan bangunan tertinggi di Jepun. Kami dapat melihat pemandangan bandar Tokyo dari Sky Lobby yang sangat indah.

Melangkah pula ke Shibuya iaitu kawasan paling sibuk dan meriah di Tokyo. Di sini kami dapat menyaksikan sendiri Shibuya Crossing yang ikonik dan bergambar bersama patung Hachiko. Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk ke Shibuya PARCO yang menempatkan kedai Nintendo dan Pokemon pertama di Jepun! 

Waktu petang pula dipenuhi dengan aktiviti sekitar Takeshita Street di Harajuku. Syurga fesyen barangan vintaj ini menjadi pilihan ramai yang sukakan barangan berkualiti dengan harga berpatutan. Bolehlah kami dapatkan beberapa barangan yang boleh dibawa pulang ke tanah air. Akhir sekali, kami sempat pergi ke Shinjuku dan melawat Stesen JR Shinjuku yang menjadi stesen kereta api paling sibuk di dunia. 

Hari Kelima: Odaiba & Roppongi

Hari terakhir di bumi Nippon bermula dengan sarapan pagi dan daftar keluar dari hotel. Sebelum ke lapangan terbang, kami dibawa ke pulau buatan Odaiba yang sangat terkenal dengan patung Gundam Unicorn bersaiz sebenar. Setelah itu, kami dibawa untuk melihat Tokyo Tower. Sebuah menara merah putih yang menjadi simbol kebangkitan Jepun selepas Perang Dunia Kedua. Lawatan diteruskan ke kawasan seni Roppongi termasuk Art Triangle dan Hard Rock Café Roppongi, iaitu tempat terbaik untuk beli cenderahati sebelum pulang.

Tokyo tower.png
Penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dijadualkan pada waktu malam. Semuanya pulang dengan selamat, membawa 1001 memori indah di Jepun!