Itinerari 6H4M Ke Korea Musim Luruh

Ayu Nadirah

1/4/2024

ikhlas_travel_autumn_thermomix.jpg

Korea Selatan Pada Musim Luruh

Pakej: 6 hari 4 malam

Harga pakej: RM4,890 untuk dewasa serta kanak-kanak dengan katil dan RM4,590 untuk kanak-kanak tanpa katil

Itinerari

Hari pertama: Nami Island, Pinocchio & Da Vinci Italian Village, Howon Garden, Welli Hilli Park Ski Resort

Hari kedua: Mount Seorak National Park, Gangneung BTS Bus Stop, Youngjin Beach Goblin Filming Place, Gangneung Traditional Market, Baramggot Haenyeo

Hari ketiga: Everland Theme Park, Safari World, ibis Ambassador Seoul Insadong

Hari keempat: Red Pine Gallery, Cosmetic Shop, Amethyst Factory


Annyeong! Salam dari bumi Korea buat semua! Kali ini kami nak kongsikan itinerari lengkap enam hari empat malam ke Korea dalam musim luruh pada bulan November. Perjalanan berkumpulan ini membawa seramai 35 orang. Sewaktu kunjungan kami, cuaca di sana adalah sejuk dan kering. Tip penting untuk tahan dengan cuaca sebegini adalah dengan memakai baju dan seluar panjang, juga bersama jaket nipis. Seterusnya, apa nak buat di sana? Nak dapatkan makanan halal di mana? Sesuai atau tak untuk travel bersama dengan keluarga? Jom baca selanjutnya apa aktiviti menarik yang kami lakukan sepanjang berada di Korea Selatan. 


HARI PERTAMA

Bertolak ke Korea menaiki AirAsia X menjadikan perjalanan terasa senang dan selesa. Setibanya kami di Incheon International Airport, kami terus ke Nami Island yang terletak di bandar Chuncheon, berdekatan Seoul dengan menaiki bas selama kira-kira satu jam. Kemudian perjalanan diteruskan dengan menaiki feri selama 15 minit.


Nami Island

Sepanjang tahun tak mengira musim, Nami Island menjadi destinasi menarik yang mesti dikunjungi. Pencinta K-Drama mesti tahu yang lokasi ini kerap kali muncul dalam drama popular mereka. Babak romantis dalam drama disuntik dengan elemen keindahan pulau kecil yang dikelilingi pokok pine, gingko dan redwood.

nami_island_2.jpg

Apa yang lebih menarik adalah Nami Island membawa pesona berlainan mengikut musim. Setiap musim membentangkan kecantikan pulau ini dengan warna yang tersendiri dan mempesona. Kunjungan kami pada musim luruh dapat merasai suasana yang lebih ‘cool’ dan romantis dengan rimbunan dedaun berwarna kuning coklat kemerahan. Kami berjalan sepanjang laluan berpokok tepi sungai dan tak lupa juga bergambar bersama tugu patung drama Winter Sonata di Gongsaengwon Garden. Betul-betul mengimbau kenangan sewaktu menonton drama ini, yang menjadi antara drama Korea pertama yang mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. 


Howon_Garden.jpg

Pinocchio & Da Vinci Italian Village

Petite France adalah perkampungan bertemakan Perancis berlokasi di Gapyeong, Gyeonggi-do. Ia popular sebagai lokasi penggambaran K-Drama, My Love from the Star. Pinocchio and Da Vinci Italian Village adalah satu-satunya taman tema di Korea yang berkerjasama secara rasmi dengan Collodi Foundation, dengan mempersembahkan kisah fairytale pengarang Itali, Carlo Collodi iaitu The Adventures of Pinocchio dalam bentuk pameran dan persembahan. Bolehlah merasa persekitaran seperti berada di Itali. Struktur bangunan klasik dengan pelbagai warna memang menarik perhatian ramai, apatah lagi buat peminat kisah Pinocchio itu sendiri. 


Howon Garden

Setelah penat berjalan, kini perut pula disajikan dengan hidangan bufet barbeku ayam di Howon Garden. Restoran yang terletak di Chuncheon ini diperakui halal! Kami dapat merasai keunikan ayam perapan gochujang dan digril. Ia boleh dimakan bersama nasi atau salad. Mereka juga sediakan hidangan sampingan seperti kimchi, jeruk bawang, jeruk lobak dan rumpai laut. Sambil makan, kami juga disajikan dengan pemandangan indah sekitar restoran ini yang berada di kawasan pegunungan.

_Welli_Hilli_Park_Ski_Resort2.jpg

Seterusnya, kami meneruskan perjalanan ke Hoengseong untuk check-in di Welli Hilli Park Ski Resort. Sampai saja di sini, kami terpesona dengan pemandangan putih penuh salji daripada lokasi ski mereka. Resort yang sangat besar ini bertempat di daerah yang kerap menerima salji lebat, menjadikannya lokasi terbaik untuk aktiviti ski. Namun ketibaan kami adalah ketika musim luruh, jadi memang tiada yang bermain ski di sini. Salji juga belum turun, yang ada hanyalah salji buatan. 

Welli Hilli Park juga menawarkan kemudahan terbaik termasuk adanya gondola yang boleh membawa 20,000 orang dalam satu jam, juga sistem pengurusan salji mengikut keadaaan semasa dan aktiviti. Mereka mempunyai 20 cerun, termasuk tujuh cerun yang diperakui antarabangsa. Kemudahan struktur binaan kawasan ini telah diperakui yang membolehkan pertandingan diadakan, di mana mereka menjadi resort ski pertama di Asia yang menganjurkan World Snowboard Championships pada tahun 2009. 

_Welli_Hilli_Park_Ski_Resort.jpg

Untuk orang yang tak biasa dengan aktiviti ski atau snowboard, boleh bermain salji dan santai sekitar kawasan ini. Kalau anda nak merasai pengalaman salji yang banyak di Welli Hilli Park, boleh datang pada minggu pertama bulan Disember. Ia dikatakan menerima kadar salji tertinggi pada waktu tersebut. Selain itu, resort ini adalah mesra keluarga. Kemudahannya pula disesuaikan untuk semua lapisan umur. Kami menginap di bilik standard, namun agak besar dengan adanya dapur kecil, kamar mandi dengan bathtub dan pemandangan tempat bermain ski. Dalam hotel juga tersedia CU Mart yang besar, selain variasi menu sarapan dan makan malam yang menyelerakan. 


HARI KEDUA

Perjalanan hari kedua dimulakan dengan menuju ke Mount Seorak National Park, kemudian beralih ke lokasi tarikan wajib singgah kalau anda peminat K-Pop dan K-Drama. Boleh abadikan banyak gambar dan video di sekitar pantai yang dituju. 


Mount Seorak National Park 

Kawasan ini menjadi antara tarikan popular di Korea. Di sini kami dapat melihat beberapa puncak gunung yang mengagumkan, pembentukan batu yang unik, air terjun, kuil dan juga kereta kabel yang membawa ke sebuah kubu terbiar iaitu Gweongeumsung Fortress. Namun, ketika kami tiba, cuaca dengan angin kuat tidak mengizinkan kami untuk menaiki kereta kabel untuk ke atas. Jadi, kami habiskan masa di sini dengan menikmati pemandangan alam yang memukau, mengambil gambar dan berehat minum di kedai kopi yang ada. 


Gangneung BTS Bus Stop

ikhlas_travel_autumn_thermomix_2.jpg

Apabila berkunjung ke Gangneung, wilayah Gangwon, peminat K-Pop dan K-Drama mesti singgah ke Jumunjin Beach untuk melihat BTS Bus Stop dan lokasi penggambaran drama Goblin di Jumunjin Breakwater. 

Peminat bintang BTS, mesti singgah ke lokasi BTS Bus Stop. Perhentian bas ini dikatakan menjadi kulit album, You Never Walk Alone oleh BTS. Namun, hakikatnya BTS tak pernah sampai di BTS Bus Stop ini. Walaupun ia sememangnya tempat penggambaran kulit album BTS berlangsung, tujuh penyanyi itu tidak pernah menjejakkan kaki ke perhentian bas tersebut. Difahamkan, perhentian bas ini adalah replika yang dibina oleh Dewan Bandaraya Gangneung pada 2018 iaitu setahun selepas album BTS itu dikeluarkan. Ia dibina untuk menarik lebih ramai pelancong dan juga sebagai tempat bergambar peminat BTS, selain dapat menikmati muzik mereka di sini.


Youngjin_Beach.jpg

Youngjin Beach Goblin Filming Place

Jumunjin juga ada Youngjin Beach yang menjadi sebahagian daripada babak ikonik dalam drama Goblin lakonan Gong Yoo. Tempat ini sentiasa menjadi tumpuan ramai kerana pemandangan laut dan air birunya yang indah. Terasa tenang dan tak nak pulang bila kami dapat luangkan masa di sini. Asyik melayan angin sepoi-sepoi bahasa dan berdamping dengan pemandangan alam yang terbentang indah. Paling best, dapat meniru semula babak romantis antara Gong Yoo dan Kim Go Eun dalam drama Goblin!


Gangneung Traditional Market

Setibanya kami di Gangneung, kami boleh lihat terdapat beberapa pasar di sini. Gangneung Jung Ang Market adalah yang terbesar di daerah ini. Pelbagai jenis barang dijual seperti pakaian, kasut, juga makanan lokal Korea yang boleh dicuba. Tempatnya juga terlihat bersih dan teratur. 


Baramggot_Haenyeo.jpg

Baramggot Haenyeo

Kami singgah di restoran ini untuk menjamah makan tengahari. Restoran ini terkenal dengan menu hot pot makanan laut yang segar seperti sotong dan udang. Seperti biasa, tak lengkap hidangan utama di Korea jika tiada hidangan sampingan seperti kimchi, jeruk lobak dan jeruk bawang. 


HARI KETIGA

Hari baru, destinasi baru! Kami melangkah pula ke Seoul! Teruja betul hari ni sebab dapat habiskan masa seharian di taman tema utama yang ada di Korea. Semua tanpa mengira usia terlihat begitu teruja bermain tarikan yang ada di sini tanpa rasa penat. 


Everland.jpg

Everland Theme Park

Everland Theme Park adalah taman tema terbesar di Korea Selatan. Terletak di Everland Resort di Yongin, Gyeonggi-do, taman tema ini menyediakan 40 tarikan, kawasan bertema, restoran dan area santai keluarga. Memang penat berjalan pagi ke petang melayan adrenaline rush! Siapa yang suka roller coaster, taman tema air, kereta kabel dan melihat keindahan taman dengan empat musim, wajib pergi ke Everland Theme Park. Selepas itu, kami sempat juga berehat sambil menjamu selera di kafe yang ada, kemudian membeli sedikit cenderamata.


Safari World

Di Everland Theme Park juga menempatkan Safari World. Sangat menakjubkan bila dapat melihat banyak haiwan dan hidupan unik hidup di sini sewaktu melalui perjalanan keliling safari menggunakan kenderaan tram yang disediakan. Anak kecil memang nampak sangat teruja bila masuk ke kawasan ini!


Puas hati menikmati keseronokan di Everland Theme Park, kini masanya untuk ke hotel kami di Seoul iaitu ibis Ambassador Seoul Insadong. Hotel ini terletak di tengah-tengah Insadong yang terkenal dengan estetika tradisional, kedai antik dan galeri seni, selain berhadapan dengan perkampungan Ik-seon dong Hanok iaitu rumah tradisional Korea. Kami menginap di bilik yang cukup selesa dan diberi kemudahan seperti akses wifi, pusat kecergasan, sauna dan dobi. Kami juga dapat akses ke bumbung hotel untuk melihat panorama bandar yang sangat indah.


Untuk pengetahuan anda juga, hotel ibis Ambassador Seoul Insadong terletak berdekatan dengan jalan utama Insadong yang kebanyakan kedainya dibuka sepanjang malam. Tarikan utama sekitar kawasan ini adalah Dongdaemun Design Plaza, Namsan Park dan The Palace.


HARI KEEMPAT

Hari seterusnya di bumi Seoul, kami melangkah menuju ke tiga lokasi yang mengangkat keunikan yang ada di Korea berbanding negara lain. Ubatan herba, kosmetik dan batu permata antara yang menjadi kebanggaan di sini.


Red Pine Gallery

Lawatan bermula dengan berkunjung ke pusat jualan ubatan herba red pine. Dapat juga melihat demonstrasi dan ujikaji untuk membuktikan keberkesanan ubat tersebut. Selain itu, kami diberi peluang mencuba rawatan dan mengetahui keadaan darah dalam badan serta keadaan kesihatan secara menyeluruh. 


Cosmetic Shop

Berjalan pula ke cosmetic shop untuk melihat variasi produk kecantikan yang ada. Korea sememangnya terkenal dengan kemewahan produk kosmetik yang menarik dengan harga berpatutan. Kami berpeluang melihat demonstrasi dan penerangan tentang produk yang ada. Apa lagi, selepas itu kami rambang mata dan nak membeli! Harga pula tak membebankan poket.


Amethyst Factory

Perjalanan kami diteruskan ke Amethyst Factory. Batu permata orang Korea iaitu amethyst membawa maksud keamanan, keikhlasan dan kesihatan. Di tempat ini, kami dapat melihat pelbagai jenis batu pertama dan mendengar penerangan tentang pembuatannya. 

Sewaktu makan tengahari, kami diberi kebebasan untuk makan di tempat pilihan sekitar Myeongdong. Inilah juga masanya kami membeli cenderamata atau buah tangan untuk dibawa pulang. Setelah seharian berjalan, kami pulang ke hotel untuk berehat dan bersihkan diri, kemudian bebas untuk berjalan ke tempat berdekatan hotel sebelum berangkat pulang pada keesokan hari. 


airport.jpg

Hari kelima dan hari terakhir, tibalah masanya untuk kami pulang ke tanah air. Perjalanan ke Korea bersama IKHLAS berjalan lancar dengan adanya pemandu pelancong yang berpengalaman, itinerari ke tempat menarik, selain semua tempat makan yang dituju adalah disahkan halal. Kami juga tak perlu risau tentang solat kerana kebanyakan tempat seperti di Nami Island, Everland Theme Park dan juga restoran memang menyediakan ruang solat. Di hotel juga ada. Sepanjang di sana, kami banyak bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain menggunakan bas persendirian, selain menggunakan subway pada waktu bebas untuk melakukan aktiviti sendiri. 

Untuk dapatkan info lanjut tentang pakej ke Korea bersama IKHLAS, anda boleh lihat di sini: https://ikhlas.com/travel/

Selamat melancong ke Korea!