Itinerari 4H3M ke Krabi Thailand
Ayu Nadirah
2025-08-25
Krabi sememangnya antara destinasi percutian paling menarik di Thailand. Dikelilingi pantai berpasir putih, pulau indah dan pemandangan semula jadi yang menenangkan, Krabi menjadi tempat yang sesuai untuk semua. Sama ada anda mencari percutian santai, aktiviti lasak, lokasi team building syarikat atau sekadar ingin menikmati makanan tempatan yang lazat, Krabi mampu memenuhi keperluan itu!

Baru-baru ini team ikhlas.com sendiri berpeluang merasai percutian ala team building santai di bumi Krabi. Dengan hanya empat hari tiga malam, rupanya banyak sangat aktiviti yang boleh kami lakukan. Tapi yang paling penting adalah tujuan kami ke sini untuk berehat seketika daripada bebanan kerja yang ada. Inilah masanya untuk tenangkan fikiran, sekali gus mengumpul semula tenaga untuk hari mendatang.
Hari Pertama: Tiba di Krabi Resort
Bermula dengan hari perlepasan ke Krabi, kami seramai 60 orang menaiki sudah semestinya pesawat AirAsia yang mengambil masa kira-kira satu jam 15 minit. Setelah mendarat, kami terus dibawa ke hotel menaiki van. Perjalanan selama 40 minit cukup mengujakan dengan pemandangan indah yang disajikan sepanjang jalan di Krabi.
Baca juga: Wajib Isi Kad Ketibaan Digital untuk Masuk ke Thailand
Tibalah kami di Krabi Resort yang berlokasi di Ao Nang Beach. Lokasinya pada kami amat strategik kerana sekitar hotel menempatkan banyak kedai makan halal, pusat spa dan kedai cenderamata dalam jarak hanya berjalan kaki. Krabi Resort juga cukup luas dan anda boleh habiskan masa beriadah di sekitar pantainya tanpa perlu bersesak dengan orang ramai.

Resort ini hadir dengan beberapa jenis kamar iaitu:
Deluxe Hotel
Luxury Grand Room
Luxury Grand Pool
Suite Hotel
Plunge Pool Hotel
Tropical Pool Villa
Beachfront Pool Villa
Contohnya kamar jenis Luxury Grand Pool, anda boleh lihat sendiri betapa luasnya kamar tidur dan kamar mandi yang tersedia. Terdapat juga balkoni sebagai tempat santai sambil menikmati pemandangan luar dan kolam renang yang luas. Ia juga cukup sesuai untuk percutian keluarga.




Malam itu, kami luangkan sedikit masa untuk sesi manjakan diri di spa bersebelahan resort. Ada yang melakukan manicure dan ada juga yang melakukan urutan seluruh badan selama satu jam. Puas tak terkira, apatah lagi dengan harga yang cukup berpatutan iaitu tidak mencecah RM100 pun!
Setelah itu, kami berjalan kaki untuk ke Ao Nang Landmark Night Market. Perjalanan mengambil masa sekitar lima minit dari hotel. Meriah betul suasana pasar malam ini. Mata kami disajikan dengan aneka makanan yang kebanyakannya halal. Antara yang menarik minat kami adalah Pad Thai, Kerabu Megi, Thai Tea, Kerabu Mangga dan banyak lagi. Rambang mata dibuatnya! Selain itu, boleh juga dapatkan cenderamata Thailand di sini.

Hari Kedua: Explore Race & Gala Dinner
Hari baru bermula awal kerana kami telah merancang untuk aktiviti berkumpulan. Explore race ini kami bawakan dengan tema yang lebih santai dengan tujuan hanya untuk mengeluarkan peluh sambil bergembira. Inilah masanya untuk melihat kekuatan setiap individu dalam acara berpasukan. Semangat betul team ikhlas.com apabila dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan perlu berlari dari satu checkpoint ke checkpoint yang lain demi menghabiskan tugasan yang diberi.



Aktiviti ini menggunakan seluruh kawasan hotel dari view point, pantai, kolam renang, gazebo serta kawasan mini golf dan memanah. Semua kumpulan akhirnya berkumpul di kolam renang berdekatan dengan kamar jenis Deluxe Hotel untuk tugasan terakhir bagi menentukan siapa pemenangnya. Markah diambil berdasarkan masa yang diambil untuk habiskan tugasan. Setelah kira-kira tiga jam, aktiviti pun tamat. Kumpulan yang menang berdasarkan kiraan markah akan diumumkan pada majlis Gala Dinner malam nanti.





Team ikhlas.com diberi masa untuk berehat sebelum acara Gala Dinner. Bertempat di ruang makan terbuka yang luas, team kami menghias setiap meja dengan sedikit sentuhan percutian pantai yang penuh elegan. Waktu malam telah tiba, team ikhlas.com pun seorang demi seorang datang dengan persalinan mengikut tema. Setelah seharian penat berlari ke sana sini, kulit terbakar dek pancaran terik cuaca di Krabi, ini adalah masa untuk berikan sedikit 'ganjaran' buat semua.

Majlis bermula dengan persembahan berkumpulan, sambil makan malam. Malam ini kami disajikan dengan variasi makanan laut segar seperti ikan bakar, sotong bakar, udang bakar dan aneka lauk-pauk selera Thailand yang membangkitkan selera. Semua orang makan bertambah ya! Seterusnya, tidak lengkap majlis tanpa adanya cabutan bertuah! Masing-masing teruja mendengar jika nama sendiri naik saat hadiah cabutan bertuah diumumkan. Penat menjamu selera, gelak ketawa dan bergambar, majlis tamat pada jam 11 malam.
Hari Ketiga: Santai Sekitar Resort
Seterusnya, hari yang baru ini kami lebih banyak habiskan masa berjalan sekitar resort bagi menikmati suasana damainya. Tenang rasa apabila dapat duduk di tepi pantai sambil minum air kelapa segar, disapa pula dengan angin laut yang meniup manja. Resort ini sememangnya terhias indah dengan latar belakang pemandangan laut dan alam semula jadi yang mendamaikan. Boleh dikatakan, anda tidak akan bosan sekiranya tidak keluar ke mana-mana dan hanya habiskan masa di Krabi Resort.

Makan tengahari pula kami singgah ke kedai makan bernama Sareefah Halal Food. Mereka menghidangkan aneka juadah autentik Thailand, dengan pilihan nasi goreng yang menepati selera ramai. Rasanya cukup lain berbanding nasi goreng yang ada di negara sendiri. Antara yang menjadi pilihan kami adalah Nasi Goreng Green Curry, Nasi Goreng Tomyam, Nasi Goreng Nanas, Kerabu Megi, Tomyam dan Mango Shake. Boleh dikatakan setiap hari pasti kami akan singgah makan di sini sekurang-kurangnya sekali.

Kalau sudah datang ke bumi Thailand, mestilah luangkan masa untuk ke 7-Eleven mereka! Apa lagi, kami pun borong pelbagai jenis burger 7-Eleven untuk dibawa pulang ke tanah air. Thai Tea pun sempat kami beli bagi menghilangkan dahaga saat perlu berjalan kaki pulang ke bilik hotel.
Buat pencinta aktiviti lasak, ada yang ambil kesempatan hari lapang ini untuk menyewa motor dan bersiar-siar di kawasan sekitar dengan bayaran 150 baht untuk satu jam. Ada juga yang melakukan sukan air seperti kayak dengan bayaran 250 baht untuk satu jam. Apa yang lebih menarik adalah di Krabi juga anda boleh melakukan aktiviti lain seperti golf dan menembak.
Hari Keempat: Pulang ke Malaysia
Hari terakhir dan kami perlu mengucapkan selamat tinggal kepada Krabi! Berat rasa hati ingin meninggalkan resort yang cantik dan suasana tenang di sini. Semoga kelak akan ada lagi kesempatan buat kami untuk datang ke Krabi ataupun destinasi lain pula di Thailand.
Related Articles
Packages


