[Jom, Makan Mana?] Bufet Ramadan: Hotel 5 Bintang Citarasa Zaman Berzaman di Seri Pacific Hotel KL
Ayu Nadirah
2/16/2024
Rating: ★★★★☆

Bulan Ramadan yang membawa rahmat dan keberkatan akan menjelang kembali. Selain memperbanyakkan ibadah di bulan yang mulia ini, sudah tentu antara perkara yang dinanti-nantikan umat Islam adalah bufet berbuka puasa. Minggu lalu, kami telah berkesempatan untuk ke Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur dan merasai keunikan pelbagai hidangan Melayu yang bertemakan citarasa zaman berzaman. Mereka bijak mengetengahkan resipi lama yang tidak lapuk dek zaman. Pastinya membuahkan memori menjamah hidangan yang dimasak oleh nenek atau ibu di rumah.
Rambang mata dibuatnya apabila melihat barisan bufet yang disediakan di Zende Restaurant, Seri Pacific Hotel. Antara yang menarik perhatian kami adalah kambing panggang, oyster berkeju, pek nga, sup gear box, gulai kawah dan juga tentunya aneka pemanis mulut. Tidak sah majlis bufet tanpa adanya kambing panggang. Ia juga menjadi hidangan utama di Seri Pacific Hotel dan ditunggu-tunggu ramai. Perapan daging kambingnya cukup kena dengan selera tempatan. Daging lembut berjus dipadankan pula dengan sos cendawan atau sos lada hitam amat memuaskan perut yang sedang lapar. Tidak terkira berapa kali kami berulang-alik dari tempat kambing panggang ke meja santapan.

Selain itu, hidangan Melayu yang mengimbau kenangan lama seperti pek nga juga tidak mengecewakan. Ia adalah hidangan lempeng yang diadun bersama parutan isi kelapa. Rasanya yang manis dan lembut kenyal dengan isi kelapa cukup sesuai dimakan bersama sambal ikan bilis yang pedas. Tidak cukup dengan itu, sup gear box pula mengingatkan kami kepada masakan di rumah. Supnya cukup bahan, cukup rasa. Ditambah pula dengan sambal kicap yang memberi rasa yang lebih membangkitkan. Dagingnya juga lembut dan hidangan ini dikira sempurna dengan taburan bawang goreng yang dimasak sendiri.


Anda juga boleh harapkan hidangan lain seperti aneka bubur, pisang goreng, kerabu, murtabak, roti canai, sate, nasi arab, aneka lauk-pauk, ayam golek dan banyak lagi. Kalau anda mahu menjamah makanan selain hidangan Melayu autentik, boleh cuba hidangan lain seperti makanan laut segar, oyster berkeju dan dim sum. Oyster segar yang diletakkan keju diatasnya dan kemudian dibakar juga menjadi kegemaran kami! Rasanya yang manis-manis berlemak cukup membangkitkan selera.





Setelah perut penuh diisi dengan hidangan utama, hidangan manis tidak sesekali dilupakan. Hotel ini menghidangkan aneka pemanis mulut tradisional dan moden. Pemanis mulut tradisional seperti kuih seri muka dan kuih kaswi menjadi antara yang dinantikan. Untuk pemanis mulut moden pula, antara yang mereka hidangkan adalah aneka kek, tiramisu, aneka puding dan cromboloni. Tidak dilupakan juga barisan air penghilang dahaga dan air jagung pekat manis adalah yang tidak boleh dilepaskan.

Selain itu, anda juga boleh menempah dan bawa pulang hidangan pilihan di hotel ini iaitu sup ekor dan kari kepala ikan dengan harga berbaloi RM90+ setiap satu.

Tempat: Zende Restaurant
Tarikh: Bermula dari 14 Mac sehingga 7 April 2024
Waktu: 6.30 petang - 10 malam
Harga: RM160 untuk dewasa dan RM80 untuk kanak-kanak dan warga emas
Untuk maklumat lanjut atau melakukan tempahan bufet di hotel lima bintang ini, anda boleh hubungi Zende Restaurant di +60142893404 atau Bufet Citarasa Zaman Berzaman. Sebarang info lanjut, anda boleh layari laman web mereka di Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur.