Kenali Adab dan Budaya Orang Korea Selatan

Hanan Latip

1/24/2024

Kenali_Adab_dan_Budaya_Orang_Korea_Selatan.jpg

Sebelum anda melancong ke Korea, apa kata anda kenali dahulu adab dan budaya yang diamalkan di Korea? 

Korea Selatan mempunyai keindahan dan keunikannya sendiri. Dari bahasa, adab, perayaan, tarian, pakaian dan seni bina rumah, amat berbeza berbanding dengan di Malaysia. 

Ingin mengetahui maklumat lanjut, jom kenali adab dan budaya orang Korea!


Bahasa

Di Korea Selatan, mereka menggunakan Bahasa Korea. Setiap perkataan dibina dari Hangul. Hangul adalah huruf Korea yang diciptakan oleh Raja Sejong pada abad ke-15. Ia memiliki 24 huruf dan telah menjadi dasar dari bahasa Korea moden. 

Mereka juga ada dialek juga tau! Secara am, ada 5 hingga 9 dialek yang digunakan di Korea Selatan antaranya seperti dialek Seoul, Gyeongsan, Jeolla dan Jeju.


Agama dan Kepercayaan

Menurut Korean Statistical Information Service (KOSAS), sebanyak 60% daripadanya rakyatnya tidak mempunyai agama. Diikuti dengan Protestan dan Buddha, masing-masing mempunyai 17% dan 16% individu yang beragama. Hanya 6% daripada orang Korea beragama Katolik dan selebihnya beragama lain-lain sebanyak 1% sahaja. 


Adab

Di Korea Selatan, mereka juga ada adab-adab tertentu. Bagi individu yang ingin ke Korea, pastikan anda menghormati adab-adab mereka. 

  • Mengutamakan orang yang lebih tua.
  • Menggunakan bahasa formal dengan orang yang baru dikenali.
  • Bersalaman menggunakan kedua belah tangan.
  • Menerima sesuatu dengan kedua belah tangan.
  • Tidak bermain-main penyepit makanan ketika sedang makan.
  • Tanggalkan kasut ketika masuk ke dalam rumah.
  • Tidak membiarkan penyepit makanan dicucuk ke dalam mangkuk nasi.
  • Tidak boleh melambai teksi dengan tapak tangan terangkat.


Antara Tarian Tradisional di Korea Selatan

Tarian Seungmu

Tarian Seungmu terhasil daripada Beopgo-chum (tarian memukul beduk) pada Dinasti Joseon dan dikembangkan oleh gisaeng (wanita penghibur raja dan bangsawan) menjadi seungmu yang dikenali sekarang.

Tarian ini juga pada awalnya ditarikan oleh biksu (sami). Turut diiringi tarian ini ialah alat muzik Buddha seperti yeombul, dodeuri, taryeong, jajin taryeong, gutgeori, dwit gutgeori, gujeong nori dan saesanjo. 

Tarian Talchum

Talchum pula tarian topeng Korea yang melibatkan nyanyian dan tarian. Di dalam tarian ini, mereka akan menyampai cerita atau drama kepada penonton dengan menggunakan topeng-topeng yang dipakai. Topeng ini akan menggambarkan orang, haiwan dan juga makluk ghaib. 

Talchum merupakan sebahagian daripada ritual pemujaan dan kemudiannya menjadi terkenal sebagai satu hiburan. 

Tarian Hallyangmu

Tahukah anda, tarian Hallyangmu adalah tarian yang menggambarkan kehidupan bangsawan Dinasti Joseon? Hallyang adalah sekumpulan pemuda bangsawan yang pemalas dan gemar menghabiskan waktu dengan berfoya-foya. 

Tarian ini tidak mempunyai gerakan yang tetap dan tarian ini akan memaparkan beberapa peranan seperti gisaeng, biksu, pejabat tingkat bawah dan karakter bangsawan. 

Tarian Cheonyongmu

Tarian ini akan menggunakan topeng cheoyong merah dengan senyuman dan bergigi putih. Topeng ini mempunyai elemen yang dipercayai untuk mengusir syaitan seperti 2 subang, rantai, topi hitam dengan bunga peony, ranting pokok dan 7 buah pic. 

Tarian Buchaechum

Tarian Buchaechum ialah tarian kipas yang akan ditarikan oleh sekumpulan penari wanita dengan menggunakan kipas berhiaskan bunga peony untuk membuat formasi yang menarik dan memakai hanbok.

Tarian Ganggangsullae 

Tarian Ganggansullae ialah sejenis upacara di mana wanita akan menari bersama-sama dalam bulatan sambil berpegangan tangan untuk mendoakan tuaian yang baik. Mereka akan menari dan menyanyi mengikut arah jam. Sedikit demi sedikit, kelajuan tarian akan meningkat. 

Tarian Taekkyon 

Taekkyon ialah seni mempertahankan diri iaitu Taekwondo yang digabungkan dengan tarian. 


Perayaan

Seperti di negara lain, sudah pastinya Korea Selatan mempunyai perayaan yang mereka raikan, antaranya:

Soellal (Tahun Baru Korea) 

Seollal ialah sambutan Tahun Baru Korea kerana jatuh pada hari pertama di dalam kalender Lunar. Ketika ini, semua orang akan pulang ke kampung halaman untuk bertemu dengan ahli keluarga. Antara perkara lain yang dilakukan ialah dan upacara penghormatan roh nenek moyang, bermain permainan rakyat, makan makanan tradisional dan sebagainya. 

Di pagi hari tahun baru, masyarakat Korea akan memakai seolbim (pakaian ketika hari Seollal) untuk menghormati nenek moyang. Turut dihidangkan makanan utama iaitu tteokguk (sup yang diperbuat dari hirisan kek beras, daging lembu, telur, sayur-sayuran dan bahan-bahan lain) sebagai simbolik memulakan tahun baharu dengan minda dan tubuh yang baru dan bersih.

Tahun ini, Seollal akan jatuh pada 10 Februari 2024. Ketika cuti ini berlangsung, kebanyakkan shopping mall dan kedai akan tutup selama 2 hari. 

Chuseok (Hari Kesyukuran Korea )

Perayaan ini turut dikenali dengan nama Pesta Pertengahan Musim Luruh atau Perayaan Bulan. Ahli keluarga akan pulang ke kampung halaman untuk meluangkan masa dengan keluarga dan upacara penghormatan roh nenek moyang. Kebiasaannya, mereka akan menyambut Chuseok selama 3 hari dengan melakukan ritual, membersihkan kawasan kubur, menghidangkan makanan tradisional dan bermain permainan tradisional.

Hal ini kerana mereka mempercayai bahawa tanaman yang dituai merupakan hasil titik peluh dari nenek moyang mereka. Oleh sebab itulah, mereka menganggap musim luruh sebagai musim terbaik

Pada tahun ini, Chuseok akan berlaku pada 16 - 18 September 2024.


Pakaian

Hanbok merupakan pakaian tradisional orang Korea Selatan dan telah wujud sejak zaman Dinasti Joseon lagi. 

Kini, hanbok akan dipakai ketika acara formal atau semi-formal seperti upacara pernikahan, pemakaman, Dol Janchi, Chuseok, dan Soellal dan lain-lain.

Hanbok orang lelaki merangkumi: 

  • Paji (seluar yang longgar dan mempunyai tali pinggang untuk mengikat paji)
  • Jeogori (lapisan luar yang menutupi lengan dan tubuh)

Hanbok orang wanita pula mempunyai: 

  • Sogot (lapisan dalam baju yang berwarna putih)
  • Chima (lapisan panjang sehingga menutupi kaki)
  • Jeogori (lapisan luar yang menutupi lengan dan atas tubuh)

Wanita akan menggunakan warna yang cerah seperti biru, oren, hijau dan sebagainya kerana menurut kepercayaan, warna-warna ini dapat mengusir roh jahat di dalam badan. 


Rumah Tradisional

Hanok ialah rumah tradisional orang-orang Korea yang menggunakan seni bina Korea Kuno. Rumah ini dibina menggunakan kayu dengan atap yang melengkung.

Bahan utama untuk membina hanok ialah kayu, tanah liat, jubin, batu dan jerami. Tahukah anda, walaupon hanok telah wujud lama, mereka tetap mempertimbangkan keadaan geografi dan musim untuk membina sebuah hanok. Kebiasaannya ia dibina di atas bukit dan menghadap ke selatan untuk menerima cahaya matahari. 

Kini, antara lokasi popular pelancong untuk merasai pengalaman melihat hanok ialah di Bukchon Hanok Village, Seoul!

Diharapkan perkongsian di atas dapat menambahkan lagi pengetahuan anda mengenai adab dan budaya yang diamalkan di Korea Selatan. Walaupon berbeza adat dan budaya, itulah yang menyebabkan sesebuah negera itu berbeza dan menarik. 

Untuk merasai pengalaman di atas di Korea, apa kata anda sertai percutian menarik Ikhlas Travel ke Korea?