8 Sebab Kenapa Korea Negara Mesra Pelancong
Ayu Nadirah
1/18/2024

Bila sebut saja tentang Korea, apa yang terlintas di fikiran anda? Pasti anda terbayang-bayangkan sosok artis K-Pop atau babak romantis K-Drama mereka yang kerap menjadi bualan ramai. Ini adalah antara sebab utama kenapa ramai yang tergila-gilakan negara ini, nak pergi ke Korea kerana nak merasa sendiri bumi berpijak artis kesayangan mereka. Selain itu, tahukah anda bahawa Korea juga antara negara yang selamat untuk dikunjungi pelancong kerana kemudahan yang ada di sana?
Selanjutnya, jom kami kongsikan lapan sebab kenapa Korea adalah negara mesra pelancong yang akan membuatkan anda tak perlu lagi ragu untuk berkunjung ke sana.
1. Kadar jenayah rendah
Tak perlu risau untuk berjalan di sekitar Korea kerana suasana di jalannya adalah selamat. Kadar jenayah di negara ini boleh dikategorikan sebagai rendah, sukar untuk melihat kecurian atau gangguan di sana. Selain itu, polis pelancong juga ada di kebanyakan lokasi tumpuan. Mereka sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan.
2. Akses keperluan tanpa tutup
Mudah untuk anda dapatkan sebarang keperluan atau makanan di Korea kerana banyak convenience store, restoran dan mesin ATM dibuka 24 jam setiap hari. Jadi tak perlu risau jika terjadi sebarang kecemasan seperti anda perlukan ubat atau wang tunai pada tengah malam.
3. Papan tanda dengan bahasa Inggeris
Kebanyakan tempat awam seperti stesen subway dan stesen bas mempunyai papan tanda dalam bahasa Inggeris. Lokasi tarikan utama juga mempunyai papan tanda dengan bahasa lain seperti Jepun dan China.
4. Perkhidmatan kesihatan yang cekap
Kemudahan perubatan di Korea boleh dikatakan bertaraf tinggi dengan barisan profesional yang menawarkan servis yang pantas dan terbaik. Klinik kecil juga mudah dijumpai di kawasan utama dan tumpuan ramai.
5. Kemudahan wifi di mana-mana
Untuk penggunaan internet, sebenarnya anda tak perlu pun untuk membeli simkad di sana. Kemudahan wifi telah dibangunkan di kebanyakan tempat tumpuan awam seperti di stesen subway, kafe, pusat beli-belah dan kawasan pelancongan lain. Jadi sangat mudah untuk lakukan sebarang carian dengan adanya akses wifi di kawasan yang anda pergi.
6. Pembelian tanpa tunai
Untuk urusan pembelian di Korea, anda boleh gunakan kad kredit. Kebanyakan tempat menerima penggunaan kad kredit walaupun untuk pembelian yang kecil. Tiada keperluan untuk anda bawa sejumlah wang tunai yang banyak sewaktu melancong ke Korea.

7. Pengangkutan awam yang mudah
Nak bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain sangat mudah dengan adanya sistem subway dan bas antara bandar. Jika anda membeli kad pengangkutan, anda boleh dapatkan pertukaran percuma antara subway dan bas lokal.
8. Penghantaran makanan yang mudah dan cepat
Korea mempunyai rangkaian restoran dan kafe dengan pelbagai jenis makanan yang mudah untuk anda pesan. Ia akan dihantar terus ke lokasi pilihan anda.
Jadi, tunggu apa lagi? Anda dah boleh tempah tiket penerbangan ke Korea sekarang! Tapi, sebelum tu, boleh baca dulu apa aktiviti menarik yang boleh anda lakukan di sana: Itinerari 6 Hari 4 Malam Ke Korea Musim Luruh