8 K-Drama Terbaru Wajib Tonton di Netflix

Ayu Nadirah

2/6/2024

Adakah anda seorang pencinta drama Korea? Sanggup maraton banyak episod hingga ke lewat malam? Di sini, kami ingin senaraikan lapan K-Drama terbaru di Netflix yang mesti anda tonton. Elok untuk melepaskan tekanan yang bersarang pada siang hari atau melayan emosi romantis yang membuai angan-angan!

Doctor Slump

Doctor_Slump.png

Drama berkisarkan cinta ini mengisahkan tentang dua profesional bidang perubatan yang dahulunya pesaing hebat ketika di bangku sekolah. Beberapa tahun telah berlalu, takdir menemukan semula mereka sewaktu keduanya menghadapi cabaran besar dalam kerjaya. Nam Ha Neul (lakonan Park Shin Hye) adalah pakar anesthesia yang bergelut dengan stres dan keletihan di tempat kerja, seterusnya memutuskan untuk berhenti. Sementara itu, Yeo Jeong Woo (lakonan Park Hyung Sik) adalah seorang pakar bedah plastik terkenal yang mengalami kejatuhan kerjaya yang teruk selepas terlibat dalam kes kematian pesakitnya. Watak hero dan heroin ini menyimpan beberapa kisah yang tidak diungkapkan yang menjadikan drama ini penuh dengan pelbagai jenis emosi.

Gyeongseong Creature

Gyeongseong_Creature.png

Kisah bertemakan seram thriller ini menampilkan bintang hebat Korea Selatan iaitu Park Seo-joon, Han So-hee dan Claudia Kim. Berlatar belakangkan tahun 1945 semasa pendudukan Gyeongseong (nama lama Seoul) oleh Tentera Empayar Jepun, kisah ini mengangkat kekejaman yang dilakukan oleh tentera Jepun ke atas orang awam. Antara yang menjadikan drama ini menarik adalah apabila mereka memperlihatkan bagaimana tentera menggunakan lelaki dan wanita sebagai eksperimen biologi rahsia, pemberontak berani yang menentang dan makhluk raksasa yang terhasil daripada eksperimen mereka.

The Bequeathed

The_Bequeathed.png

Drama ini membawa kisah tentang Yoon Seo-ha (lakonan Kim Hyun-joo) seorang pensyarah kolej yang terkejut dengan hakikat pemergian bapa saudaranya, kemudian turut menjadikan dia sebagai pewaris tunggal kepada tanah perkuburan keluarga itu. Berita berkenaan telah mengimbau kembali memori pahit di mana bapanya meninggalkan dia dan ibunya. Semasa di tempat pengembumian, abang tiri Seo-ha, Kim Young-ho menuntut agar namanya juga dimasukkan sebagai pewaris. Situasi itu telah mencetuskan beberapa siri peristiwa yang tegang dan tidak menyenangkan. Sejak menerima warisan berkenaan, Seo-ha terlibat dengan banyak insiden pembunuhan hingga mengancam nyawanya. Setelah itu, hadir pula seorang detektif yang cuba menyiasat kes yang berlaku di tanah perkuburan milik keluarga Seo-ha.

My Demon

My_Demon.png

Do Do-hee (lakonan Kim You-jung) ialah pengganti kepada Future Group. Dia seorang yang keras kepala dan berpersonaliti sombong yang tidak mempercayai sesiapa pun. Do-hee terlibat dengan syaitan bernama Jeong Gu-won (lakonan Song Kang) dan membuat perkahwinan kontrak dengannya, yang telah membawa perubahan besar dalam hidupnya. Gu-won boleh hidup selamanya dengan membuat perjanjian berbahaya dengan manusia yang menanggung kehidupan umpama di neraka. Dia berkeliaran di dunia dengan penuh bongkak. Namun, sejak kehadiran Do-hee, dia seperti kehilangan semua kuasanya secara tiba-tiba. Demi menjaga dirinya, Gu-won mesti melindungi Do-hee yang sepertinya telah mengambil semua kuasanya. Hubungan cinta mereka juga kian berkembang.

Welcome to Samdal-ri

Welcome_to_Samdal-ri.png

Kisah romantis ini pula berkisarkan tentang hubungan dua rakan zaman kanak-kanak Cho Yong-pil (lakonan Ji Chang-wook) dan Cho Sam-dal (lakonan Shin Hye-sun). Selepas kehilangan ibunya yang berpunca daripada laporan cuaca yang salah, Yong-pil memutuskan untuk menjadi peramal cuaca untuk melindungi orang tua di kampungnya. Namun, keghairahan dan keengganannya untuk melepaskan maklumat yang salah telah menjejaskan reputasinya. Sementara itu, Sam-dal berhijrah ke Seoul bagi mengejar impiannya menjadi seorang jurugambar fesyen yang berjaya. Namun, tiba-tiba sahaja pelbagai ujian timbul dan telah menghancurkan hidupnya di Seoul. Dia membuat keputusan untuk kembali ke kampung halaman dan hal ini telah mempertemukan semula dia dengan Yong-pil. Biarpun ada insiden yang telah memisahkan mereka, namun keduanya dapat merasakan perasaan sayang itu masih wujud di antara mereka.

Captivating the King

Captivating_the_King.png

Drama bersiri ini menggabungkan elemen percintaan dan strategi politik. Berlatar belakangkan dinasti Joseon, plot drama ini berkisar tentang Raja Yi In (lakonan Cho Jung-Seok) yang terperangkap dalam konflik diraja dan politik. Dia seorang raja yang terulung tetapi secara dalamannnya tidak selamat. Ada juga seorang wanita bernama Kang Hee-soo (lakonan Shin Se-kyung) yang menjadi pengintip demi membalas dendam akan apa yang terjadi kepadanya, sekali gus mahu menggulingkan raja. Beberapa insiden berlaku yang menjadikan kisah percintaan mereka berdua agak kompleks dan bermain dengan emosi.

Daily Dose of Sunshine

Daily_Dose_of_Sunshine.png

Sebuah drama yang cukup menyentuh perasaan. Ia menceritakan tentang seorang jururawat bernama Jung Da-eun (lakonan Park Bo-young) yang telah dipindahkan ke neuropsychiatry dari jabatan perubatan dalaman. Pengalaman pertama dia bekerja dalam neuropsychiatry membuahkan situasi yang agak janggal dan mencabar buatnya. Namun, dia tidak sesekali berputus asa. Malah Da-eun terus berusaha sehabis baik dengan merawat dan melayan pesakit di sana. Perkembangan karakternya sebagai seorang jururawat banyak dibantu oleh Ketua Jururawat Song Hyo-jin (lakonan Lee Jung-eun). Dong Go-yun (lakonan Yeon Woo-jin) pula bekerja sebagai doktor dan pakar dalam proktologi. Melihat Da-eun dan caranya yang penuh keikhlasan telah membuatkan Go-yun sedar bahawa dia gembira dengan kehadiran jururawat itu. Pelbagai realiti pahit manis kehidupan yang berjaya dikupas dalam drama ini.

A Killer Paradox

A_Killer_Paradox.png

Drama berunsurkan thriller pembunuhan ini menceritakan tentang seorang pelajar kolej bernama Lee Tang (lakonan Choi Woo-shik) yang telah berubah menjadi pembunuh bersiri. Selepas tidak sengaja membunuh seorang lelaki, dia menyedari hakikat bahawa mangsa berkenaan adalah seorang pembunuh bersiri. Waktu terus berjalan, Lee Tang kini memiliki keupayaan untuk menghidu kejahatan dan memulakan pembunuhan beramai-ramai, di mana dia cuba berselindung dengan misi untuk menghapuskan penjenayah.

Jadi, K-drama mana yang anda sudah tonton ataupun mungkin sudah masukkan ke dalam senarai menonton di Netflix?

  • Nak lawati sendiri lokasi popular pengambaran K-Drama? Ayuh jelajah Korea bersama IKHLAS Travel!